Thursday, July 13, 2017

Elak penalti, LHDN minta pembayar cukai serah borang B
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggesa pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada perniagaan supaya mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2016 bagi mengelakkan penalti lewat hantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dikenakan terhadap mereka.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN berkata tarikh akhir mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2016 menurut subseksyen 77(1)(a) ialah pada 30 Jun namun bagi memberikan kemudahan kepada pembayar cukai, tambahan masa diberikan sehingga 15 Julai untuk mereka kemukakan borang tersebut melalui kaedah eFiling.
Ini bermakna mereka mempunyai kira-kira lima hari sahaja lagi untuk mengemukakan Borang B dan seterusnya menjelaskan semua bayaran cukai pendapatan Tahun Taksiran 2016 yang dikenakan, katanya.
Katanya menurut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan BNCP dalam tempoh yang dibenarkan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan penalti sehingga tiga kali ganda daripada amaun cukai yang ditaksirkan.
Menurut LHDN, sehingga 30 Jun pihaknya telah menerima sebanyak 336,382 Borang B Tahun Taksiran 2016 berbanding 334,572 Borang B Tahun Taksiran 2015 dalam tempoh yang sama.