Monday, January 26, 2015

Perbelanjaan Persendirian ataupun Perbelanjaan Perniagaan ?


SOALAN

Selamat sejahtera Mr. Radzi.

Saya ingin bertanyakan tentang penyediaan akaun bagi perniagaan enterprise.

Adakah perbelanjaan pemilik sama dengan perbelanjaan perniagaan seperti perbelanjaan makanan, telefon dan perbelanjaan melancong serta perbelanjaan peribadi pemilik. bagaimana kita treat perbelanjaan tersebut. masukkan dalam penyediaan penyata kewangan ataupun tidak.?

Terima Kasih.

JAWAPAN

Salam Puan,

Untuk makluman Puan, perbelanjaan persendirian pemilik bagi Perniagaan Milikan Tunggal adalah tidak sama dengan perbelanjaan perniagaan. Hal ini adalah kerana, perbelanjaan perniagaan adalah bermaksud perbelanjaan yang dikeluarkan semata-mata untuk menghasilkan pendapatan bagi Perniagaan tersebut. Perkara ini tertakhluk dibawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan 1967 dimana ia menyatakan bahawa hanya perbelanjaan yang sepenuhnya diguna atau ‘wholly and exclusively’ untuk perniagaan.

Oleh itu, setiap perbelanjaan yang bersifat persendirian seperti perbelanjaan oleh pemilik perniagaan tidak boleh dimasukkan ke dalam Penyata Untung Rugi perniagaan. Sekiranya dimasukkan, maka segala perbelanjaan persendirian tersebut akan dilaraskan semula dan ditambah ketika proses pengiraan cukai nanti. Hal ini kerana pengiraan cukai pendapatan adalah berdasarkan Penyata Untung Rugi perniagaan. Hanya perbelanjaan yang berkaitan dengan perniagaan sahaja dibenarkan sebagai penolakan dalam pengiraan cukai pendapatan.

Jika Puan merekodkan perbelanjaan bagi tujuan persendirian tersebut sebagai salah satu perbelanjaan di Penyata Untung Rugi, maka Puan perlu mengambil kira ia sebagai perbelanjaan tidak dibenarkan.

Diharap jawapan ini dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan Puan.

Terima kasih.