Friday, January 4, 2013


Kutipan cukai ‘prabayar’ membebankan rakyat


Latifah Kasim,
Saya merujuk pada berita dalam Harakahdaily yang bertajuk ‘LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa’. Saya adalah seorang pemilik PKS dan saya tahu bahawa memang ada antara tindakan LHDN yang membebankan PKS. Antaranya adalah dengan memaksa PKS membayar cukai secara ‘prabayar’.

Mengikut sistem lama, pembayar cukai hanya perlu membayar cukai pada tahun berikutnya. Contohnya, bagi pendapatan yang diperoleh pada tahun 2012, cukai hanya perlu dibayar pada tahun 2013. Tetapi mengikut sistem kutipan cukai yang baru diperkenalkan oleh LHDN, LHDN menganggarkan jumlah pendapatan yang akan kita peroleh pada tahun 2012. Kemudian, cukai dikenakan berdasarkan anggaran pendapatan itu. Seterusnya, PKS diwajibkan membayar cukai berdasarkan anggaran jumlah pendapatan yang akan diperoleh. Kesimpulannya, mengikut sistem baru ini, cukai tahun 2012 mesti dibayar pada tahun 2012 juga.

Sistem baru ini menzalimi PKS. Hal ini kerana LHDN mengenakan cukai berdasarkan anggaran pendapatan yang akan kita peroleh. Natijahnya adalah PKS dipaksa membayar cukai atas pendapatan yang belum tentu dapat diperoleh.

Berbeza berbanding sistem lama, iaitu cukai hanya dikenakan ke atas pendapatan yang sudah pun diperoleh. Sistem baru ini sebenarnya bukan hanya menzalimi PKS, malah turut menzalimi golongan yang bekerja sendiri. Hal ini kerana mereka yang bekerja sendiri juga dipaksa membayar cukai secara ‘prabayar’.

Sistem baru ini tidak boleh disamakan dengan potongan cukai berjadual atau PCB yang dikenakan terhadap mereka yang makan gaji. Dalam sistem PCB, cukai hanya dikenakan terhadap pendapatan yang sudah pun diperoleh.

Saya berharap agar LHDN membatalkan sistem baru ini dengan serta-merta. Saya juga berharap agar agensi kerajaan lain atau syarikat utiliti tidak meniru sistem ala prabayar ini. Jika tidak, saya bimbang suatu hari nanti, syarikat utiliti juga akan menggunapakai sistem yang sama, yang mana pengguna elektrik/air dipaksa membayar bil berdasarkan anggaran penggunaan dan bukan penggunaan sebenar.