Wednesday, September 18, 2013

LHDN-Tubuh pasukan khas pantau syarikat MLM




JOHOR BAHRU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disaran menubuhkan pasukan khas bagi memantau syarikat yang menjalankan perniagaan pemasaran bertingkat (MLM) dan peniaga dalam talian yang beroperasi di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pasukan khas itu bertujuan memastikan usahawan MLM dan peniaga dalam talian melaksanakan pembayaran cukai.

“LHDN patut mempunyai pasukan khas untuk pantau syarikat MLM dan perniagaan dalam talian sama ada mereka ada membayar cukai.

“Mereka perlu jalankan tanggungjawab membayar cukai seperti perniagaan berdaftar supaya sama-sama membantu kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Francais Komuniti Zon Selatan di Galleria@Kotaraya, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday.

Hasan berkata, peniaga dan pengusaha perlu diberi pendedahan mengenai tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan pembayaran cukai bagi membantu meningkatkan pendapatan negara.

“Kita perlu pupuk tanggungjawab sosial korporat ini dalam kalangan peniaga supaya ada semangat  saling menyokong dan membantu,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, kerajaan mensasarkan pendapatan membabitkan industri francais dikutip sebanyak RM24.3 bilion tahun depan berbanding RM23.6 bilion tahun lalu.

“Sehingga Rabu lalu, sejumlah 676 syarikat francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftar di negara ini.

“Industri ini telah memberi sumbangan besar pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara di mana sejumlah RM23.6 bilion berjaya dikutip melalui sektor ini tahun lalu,” katanya.

Katanya, kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) dengan tawaran pembiayaan mikro sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan tempatan menceburi industri francais.

“Kerajaan berhasrat menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburi perniagaan francais untuk memperbaiki taraf hidup dan mengimbangi pendapatan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ia juga dapat membantu syarikat francais mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan konsep modal lebih kecil,” katanya.

Komen
CP58
1.    Pengenalan

Berkuatkuasa 1 Januari 2012, Seksyen 83A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) mengenakan tanggungjawab kepada syarikat-syarikat untuk menyerahsimpan kepada LHDN penyata bayaran insentif melalui Borang CP58. Keperluan baharu ini terpakai kepada semua Syarikat termasuk Syarikat asing dan cawangan asing yang beroperasi di Malaysia tetapi tidak termasuk individu-individu yang menjalankan perniagaan atau di bawah perkongsian.
2.    Definisi

Borang CP58 adalah merupakan penyata bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada Ejen, Pengedar atau Pengagih(Seksyen 83 Akta Cukai Pendapatan 1967).
Ejen, Pengedar atau Pengagih adalah mana-mana orang yang telah dilantik samaada secara bertulis atau lisan, dan syarikat pembayar memberi insentif kepada Ejen, Pengedar atau Pengagih atas jualan produk/perkhidmatan yang dilakukan bagi pihak syarikat pembayar. Pihak penerima adalah individu atau Syarikat / Badan Orang yang bermastautin di Malaysia.

3.    Jenis insentif

a)      Insentif berbentuk wang tunai

i)                    Komisen / bonus
Bayaran berdasarkan kepada pencapaian prestasi jualan produk atau perkhidmatan oleh ejen, pengedar atau pengagih, sama ada yang ditetapkan di dalam kontrak ataupun tidak.

ii)                  Lain-lain
Bayaran tunai selain daripada komisen / bonus seperti insentif, subsidi, diskaun, baucar tunai, ansuran tunai ke atas insentif yang diterima dalam bentuk barangan seperti kenderaan, rumah, perabot dan komputer; serta dalam bentuk bayaran seperti sewa, rebat, bayaran bil-bil utiliti dan seumpamanya yang diterima berdasarkan pencapaian prestasi jualan produk atau perkhidmatan oleh ejen, pengedar atau pengagih.

b)      Insentif berbentuk bukan wang tunai

i)                    Kenderaan atau Rumah
              Amaun yang perlu dinyatakan adalah bersamaan amaun sebenar yang dibelanjakan      
              boleh syarikat pembayar untuk insentif tersebut.

ii)                  Pakej pelancongan / perjalanan
·                     Nilai pakej penuh yang terdiri daripada tiket perjalanan, penginapan, makanan dan minuman; atau
·                   Nilai bagi:
-             tiket perjalanan;
-             penginapan;
-             makanan dan minuman; atau
-             mana-mana kombinasi insentif di atas.

Apa-apa bayaran sebagai gantian kepada insentif yang diterima juga merupakan insentif yang perlu dilaporkan mengikut bahagian yang dinyatakan di atas. Contohnya, pakej penuh pelancongan yang digantikan dalam bentuk wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih hendaklah dilaporkan dalam jenis insentif (a) (ii).

4.    Industri yang terlibat

Antara industri yang terlibat adalah:

i)                    Industri Lelong;
ii)                   Industri Insurans;
iii)                 Individu MLM; dan
iv)                 mana-mana idustri perniagaan yang melantik ejen atau pengedar yang diberi insentif sama ada dalam bentuk wang atau barangan.

5.    Tarikh akhir mengemukakan borang CP58

Tahun taksiran
Tarikh akhir pengemukaan
2011
31 Mei 2012
2012 dan berikutnya
31 Mac tahun berikutnya

Bermula tahun berakhir 31 Disember 2012 hingga tahun-tahun berikutnya, syarikat pembayar perlu menyediakan CP58 hanya sekiranya amaun insentif melebihi RM5, 000.

6.    Kompaun

Kegagalan menyediakan borang CP58 kepada ejen, pengedar atau pengagih sebelum tarikh akhir penghantaran akan dikenakan kompaun tidak kurang RM200 hingga tidak lebih RM2, 000 atau pengarah akan dipenjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.