Monday, February 2, 2015

MPS catat kutipan cukai tertinggi




Selayang: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatat kutipan cukai taksiran tertinggi setakat ini dengan membabitkan pungutan sebanyak RM90.3 juta daripada jumlah keseluruhannya iaitu RM94.1 juta.

Yang Dipertuanya Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan merangkumi 95.91 peratus daripada jumlah sepatutnya dikumpul sepanjang tempoh 2014 lalu.

Katanya, jumlah itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan terhadap kadar kutipan cukai, malah turut menunjukkan perkembangan positif dalam sistem kutipan MPS.

“Ini antara perkembangan positif yang harus dikekalkan khususnya dalam aspek pengurusan kutipan. Selain daripada jumlah itu, kutipan tunggakan cukai sebanyak RM12 juta juga berjaya dikutip.

“Malah MPS turut mengeluarkan 32,097 waran tahanan sehingga 31 Disember lalu. Waran tahanan ini dikeluarkan bagi pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 ke atas bermula 1 Oktober lalu,” katanya pada majlis perpisahan timbalannya, Mohamad Zain A Hamid, di Dewan MPS di sini, semalam.