Wednesday, February 8, 2017

LHDNM & BNM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MEMERANGI JENAYAH KEWANGAN

Perbincangan sedang berlangsung di antara YBhg. Datuk Sabin bin Samitah dengan YBhg. Datuk Muhammad bin Ibrahim.



Kuala Lumpur, 7 Feb – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam memerangi jenayah kewangan yang menyumbang kepada ketirisan cukai negara. Komitmen untuk berkolaborasi ini antara topik yang dibincangkan semasa kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin bin Samitah ke atas Datuk Muhammad bin Ibrahim, Gabenor Bank Negara Malaysia.

Bagi memastikan penguatkuasaan yang sistematik dan berkesan, LHDNM dan BNM akan terus bekerjasama menerusi perkongsian maklumat dalam siasatan ke atas jenayah kewangan. 

Hasrat ini mampu dilaksanakan berikutan peranan Bank Negara Malaysia sebagai Pihak Berkuasa Kompeten di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 AMLATFPUAA) dan selaku wakil Malaysia dalam Financial Action Task Force (FTAF), sebuah pertubuhan kerjasama antara negara dalam menangani pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan lain-lain ancaman kepada integriti sistem kewangan antarabangsa. 

LHDNM merupakan salah satu agensi yang terlibat secara langsung dalam menangani isu penggubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA. Bagi LHDNM, kerjasama strategik di antara dua agensi ini pasti akan memberikan impak yang besar kepada usaha memerangi jenayah kewangan serta mengurangkan ketirisan cukai.

Sumber : Kenyataan Media LHDN