Monday, July 1, 2013

Strategi Pencegahan Jenayah Cukai




Singapura: Bank di Singapura kini sedang meneliti akaun pelanggan asing masing-masing berikutan tarikh penguatkuasaan langkah menghukum bank dengan pelanggan asing yang memiliki akaun rahsia, semakin hampir.

Pemilikan akaun rahsia adalah antara strategi pelanggan asing bagi mengelak atau lari daripada membayar cukai yang dikenakan negara asal masing-masing. 

Langkah meneliti akaun pelanggan itu juga secara tidak langsung membuatkan bank di republik berkenaan berdepan keputusan sukar, iaitu terpaksa memaksa sesetengah pelanggan asing mereka yang kaya dan memiliki akaun rahsia, menutup akaun dengan bank terbabit. 

“Berikutan amalan merahsiakan profil dan maklumat pelanggannya, Singapura kini dijadikan tempat terbaik untuk menyimpan wang jika anda tidak mahu pihak berkuasa negara anda tahu tentang hal itu,” kata Ketua Pematuhan Amalan Perbankan di DZ Privatbank Singapura, Erik Wilgenhof Plante.


Singapura kini muncul sebagai pusat kewangan luar pesisir keempat terbesar dunia, namun langkah pengawal selia undang-udang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memburu rakyat mereka yang menipu dan mengelak daripada membayar cukai memaksa kerajaan republik itu melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelak kes pengelakan cukai menerusi bank Switzerland, berlaku di negara itu.



Sebelum 1 Julai ini, semua institusi kewangan di Singapura mesti mengenal pasti akaun pelanggan yang disyaki terbabit dalam penipuan hasil dan sengaja lari daripada membayar cukai, untuk segera ditutup.



Jika didapati masih wujud kumpulan pemegang akaun berkenaan, bank yang terbabit akan dikenakan caj di bawah akta penggubahan wang haram. 


“Berikutan amalan merahsiakan profil dan maklumat pelanggannya, Singapura kini dijadikan tempat terbaik untuk menyimpan wang jika anda tidak mahu pihak berkuasa negara anda tahu tentang hal itu,” kata Ketua Pematuhan Amalan Perbankan di DZ Privatbank Singapura, Erik Wilgenhof Plante. 
Legasi masalah


“Ia meninggalkan satu legasi masalah bagi sesetengah bank,” katanya.


Pegawai pengawal selia Singapura berkata, peraturan kerahsiaan di bandar raya itu bertujuan menjaga kepentingan pelabur yang sah, bukannya menjadi syurga bagi penempatan dana haram. 



Pelaksanaan peraturan yang lebih ketat di Singapura sejajar dengan pengumuman standard baru global iaitu memperlakukan jenayah cukai sebagai satu kesalahan penggubahan wang haram.


Bank di negara itu kini dilihat terpaksa melepaskan sebahagian daripada akaun pelanggan mereka yang menguntungkan, iaitu salah satu faktor pendorong yang membantu mencetuskan ledakan dalam pengurusan aset di Singapura kepada sejumlah lebih daripada AS$1 trilion, dengan pertumbuhan 50 peratus dalam tempoh lima tahun hingga 2011, menurut data terkini kerajaan republik itu.

“Memiliki rangka kerja yang lebih mantap dalam membendung aliran penggubahan wang haram adalah perangsang untuk Singapura,” kata Pengerusi Citi Private Bank Singapura dan Pengerusi Bersama Kumpulan Industri Perbankan Persendirian, Deepak Sharma. - REUTERS