Saturday, June 29, 2013

Jenayah Percukaian


Cyberjaya, 29 Ogos – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini mengingatkan semua pembayar cukai agar tidak mengambil mudah urusan percukaian mereka sekiranya tidak mahu didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Tiga jenis kesalahan cukai yang telah diwartakan oleh kerajaan Malaysia pada 7 Oktober 2010 sebagai kesalahan berat dalam AMLATFA 2001 adalah:

1. Kegagalan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi sesuatu tahun taksiran
2. Mengemukakan penyata yang salah
3. Mengelakkan diri daripada dikenakan cukai

Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Bin Hj. Mahfar dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau lagi, LHDNM boleh membekukan, menyita atau melucut hak harta mereka yang disyaki bersalah semasa siasatan dijalankan. Sepanjang tahun 2011,
LHDNM telah membekukan sebanyak 1,389 akaun bank milik syarikat dan individu yang dipercayai melakukan atau bersubahat melakukan kesalahan di atas.

Beliau menegaskan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak LHDNM
membuktikan LHDNM amat serius untuk membanteras penjenayah-penjenayah cukai
yang menjejaskan keamanan, ekonomi dan kestabilan politik negara.

Dipetik daripada laman web rasmi lembaga hasil dalam negeri - www.hasil.gov.my