Monday, January 11, 2016

KEPERLUAN UNTUK MENDAPATKAN PERKHIDMATAN EJEN CUKAI YANG SAH

    
                               



 Cyberjaya, 26 November - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menasihatkan pembayar cukai agar mendapatkan perkhidmatan ejen cukai yang sah dan layak di sisi undang-undang bagi menguruskan hal percukaian mereka. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang masalah kepada mereka pada masa hadapan.

Keburukan menggunakan perkhidmatan ejen cukai yang tidak sah adalah seperti berikut:

i) Ejen cukai yang tidak sah boleh menyebabkan pembayar cukai mendapat nasihat yang tidak tepat atau tidak jelas berhubung peruntukan undang-undang percukaian termasuklah penyediaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang cukai;

ii) Ejen cukai yang tidak sah tidak bertanggungjawab ke atas pembayar cukai sekiranya tindakan undang-undang diambil ke atas pembayar cukai atas sesuatu kesalahan atau dikenakan denda;

iii) Ejen cukai yang tidak sah tidak boleh mewakili pembayar cukai sekiranya tindakan audit atau siasatan dijalankan oleh LHDNM; dan

iv) Ejen cukai yang tidak sah tidak boleh mewakili pembayar cukai dalam sesuatu pertikaian di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan. 

     LHDNM juga ingin memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak bertindak sebagai ejen cukai yang tidak sah. Ejen cukai yang sah mestilah diberikan kelulusan oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 153(3), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

   Sehubungan itu, mana-mana pihak yang tidak mendapat kelulusan ini tetapi menjalankan tugas sebagai ejen cukai yang memberikan perkhidmatan urusan percukaian telah melanggar peruntukan seksyen 153(1) ACP 1967. Pendakwaan boleh dikenakan ke atas mereka mengikut peruntukan subseksyen 120(1)(d) akta yang sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda RM200 hingga RM2000, atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

     Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut peruntukan subseksyen 114(1A) iaitu kesalahan ke atas seseorang yang membantu dan memberikan nasihat untuk menyediakan BNCP yang mengakibatkan cukai terkurang lapor bagi seseorang. Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini mereka boleh didenda RM2000 hingga RM20000, atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

    Justeru, pembayar cukai hendaklah sentiasa berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada LHDNM jika perlu dalam mendapatkan perkhidmatan ejen cukai yang sah. Pembayar cukai boleh menyemak senarai ejen-ejen cukai yang sah dan maklumat seperti nama ejen cukai, firma/syarikat ejen cukai, alamat beserta nombor telefon ejen cukai dan tempoh sah kelulusan ejen cukai oleh Menteri Kewangan di Portal Rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia http://www.hasil.gov.my/

Sebagai rekod, sehingga kini terdapat 1,902 ejen cukai yang sah dan telah mendapat kelulusan Menteri Kewangan untuk berkhidmat.

Sekian Terima Kasih

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri