Friday, March 6, 2015

Bayar Cukai Guna Kad Kredit Jangan Sampai Jerat Diri

Bagi memberikan keselesaan kepada pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan membayar cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan debit Visa, Mastercard atau American Express yang dikeluarkan institusi perbankan di negara ini.

Ia adalah satu lagi tambahan dalam kaedah pembayaran yang diperkenalkan LHDN untuk memastikan urusan pembayaran cukai bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga lebih pantas.

Pada masa sama kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan menerusi portal Bayar Hasil, https://byrhasil.hasil.gov.my ini juga bermatlamat mewujudkan lebih banyak masyarakat tanpa tunai yang melakukan pembayaran secara dalam talian. 

Sasaran LHDN adalah untuk meningkatkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian pada tahun ini kepada 25 peratus berbanding hanya 13.1 peratus pada tahun lalu.

Dari segi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai, kita amat menyambut baik inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh LHDN ini.

Namun, walaupun kaedah ini adalah sesuatu yang amat memudahkan, mereka yang mahu menggunakannya perlu bijak dan berhemat. Kita tidak mahu nanti, ada yang berjaya melunaskan tanggungjawab mereka membayar cukai pendapatan, tetapi hutang pula bertambah yang seterusnya mungkin menjerat mereka, bahana penggunaan kad kredit.

Dalam hal ini, pembayar cukai seharusnya melihat penggunaan kad kredit ini semata-mata sebagai satu kaedah pembayaran yang memudahkan.

Justeru, jika mahu menggunakan kaedah ini, pastikan bayar semula secara penuh kepada bank pengeluar kad kredit dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak mereka akan dibebankan pula dengan caj faedah.

Lebih buruk lagi jika ia hanya menambah kepada jumlah hutang yang sudah sedia menimbun.

Sudah kerap kita mendengar ramai yang diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit.

Dalam hal ini kita tidak mahu pula mendengar adanya pembayar cukai menerima nasib yang sama gara-gara kemudahan yang disediakan ini.

Statistik Jabatan Insolvensi 2007 hingga 2013 menunjukkan 4,874 kes muflis adalah disebabkan hutang kredit. Selain itu, statistik juga menunjukkan 70 peratus mereka yang mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah bagi kaunseling menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Jika dilihat, memang mudah untuk membayar cukai secara dalam talian menggunakan kad kredit, tetapi seseorang itu harus mengelakkan diri daripada membayar cukai dengan berhutang atau pun mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan LHDN itu untuk membayar secara ansuran.

Kita tidak mahu kaedah ini nanti akan menjadikan seseorang itu seperti apa yang dikatakan, tutup lubang, gali lubang.