FAQ



From          :   xxxx
To               :  mr.radzi@yahoo.com
Subject       :  Potongan Cukai Bulanan
Date           :  6 April 2016

Soalan : 
Salam Tuan,
Saya mempunyai 2 persoalan:

1) Bagi kes individu dengan perniagaan milik tunggal, maka perlu menghantar Borang B. Jika individu tersebut tidak mempunyai pekerja, adakah perlu untuk beliau mendaftar diri sendiri untuk PCB? Adakah PCB wajib untuk diri sendiri bagi individu dengan punca pendapatan tanpa pekerja?

2) Saya bekerja dengan sebuah syarikat. Di samping itu, saya juga ada menerima punca pendapatan daripada perniagaan lain (majikan saya ialah pemilik tunggal). Bagaimana cara untuk saya membuat deklarasi pendapatan saya untuk kedua-dua punca tersebut? Saya juga dibayar kurang daripada RM 2500 oleh majikan pemilik tunggal tersebut tetapi tidak pernah ditolak PCB. 

Harap dapat membantu dalam menjawab persoalan saya.
Terima kasih.

Jawapan :

Salam Tuan,

Untuk makluman pihak Tuan, setiap individu yang menjalankan Perniagaan di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah cukai pendapatan.
1.  Bagi perniagaan jenis milikan tunggal, sekiranya tiada pekerja maka pemilik perniagaan tersebut tidak perlu mendaftar diri sendiri untuk PCB. Hal ini adalah kerana, PCB adalah merupakan Potongan Cukai Berjadual yang diwajibkan ke atas Individu yang menerima gaji (penggajian) dari majikan kebiasaanya melebihi RM2,800 dan keatas. Cara pemotongan boleh dirujuk melalui jadual PCB yang disediakan dilaman web LHDN.

Untuk makluman, bagi Individu yang menjalankan perniagaan, tiada PCB yang diwajibkan keatas Individu tersebut tetapi pihak LHDN akan mengeluarkan satu borang yang lain iaitu Borang CP500. Borang ini akan menyatakan bayaran ansuran cukai yang perlu dibuat oleh Individu tersebut. Fungsi borang ini adalah sama seperti PCB iaitu ansuran cukai dan pembayaran perlu dilakukan mengikut tempoh masa yang dinyatakan dalam borang tersebut.

2.  Bagi situasi ini, sekiranya Tuan menerima penggajian daripada kedua-dua pekerjaan, maka kedua-dua gaji tersebut perlu diisytiharkan melalui satu borang sahaja iaitu Borang BE. Borang BE ini digunapakai bagi Individu yang menerima penggajian sahaja. Tarikh akhir penghantaran dan pembayaran cukai (sekiranya ada) adalah sebelum 30 April setiap tahun.

Tetapi sekiranya punca pendapatan Tuan adalah dengan menerima penggajian dan menjalankan perniagaan dalam masa yang sama, maka kedua-dua pendapatan tersebut perlu diisytiharkan melalui satu borang iaitu Borang B.  Tarikh akhir penghantaran dan pembayaran cukai (sekiranya ada) adalah 30 Jun setiap tahun.

Mengenai PCB pula, sekiranya gaji Tuan tidak berada ditahap yang diwajibkan bagi pemotongan PCB, maka tiada masalah sekiranya majikan Tuan tidak melakukan pemotongan PCB tersebut.
    
Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuan.


Sekian, terima kasih.

From          :   xxxx
To               : mr.radzi@yahoo.com
Subject       :  Pengisytiharaan Cukai
Date           :  18 Mac 2016

Soalan :

Assalamualaikum...
Saya xxxx , saya dapat maklumat melalui email & website. Saya ada soalan beberapa soalan tentang cukai yang saya tidak faham. Saya baru saja mengambil alih dan tukar nama pemilik sebuah syarikat 'ENTERPRISE' (take over) dari owner yang lama. Jadi saya adalah pemilik tunggal yg baru syarikat ini. Syarikat Enterprise yang baru saja saya ambil alih ini sudah beroperasi hampir selama 10th dan tidak pernah "Declare" cukai.

Soalan Saya :
1.Bolehkah saya pemilik syarikat baru ini "declare" cukai untuk perniagaan yang akan datang saja? tetapi tidak perniagaan yang sebelum ini iaitu "Owner Lama".

2.Adakah saya sebagai pemilik syarikat baru ini akan dikenakan tindakan atau penalti disebabkan "Owner" lama tidak pernah membayar cukai?

3. Setelah "Owner Lama" manarik diri dari syarikat ini, adakah dia masih bertanggungjawab atau LHDN tetap akan mencariya walaupun syarikat ini bukan lagi miliknya setelah namanya sudah dikeluarkan dari SSM atau di Batalkan di SSM?

4. Waktu bilakah saya sebagai pemilik baru syarikat ini boleh Daftar atau Declare pada LHDN?

Semoga pihak tuan dapat menghuraikan dengan jelas soalan soalan saya ini. Saya juga bercadang ingin melantik pihak untuk membuat "Account Declare"untuk syarikat saya, supaya masa akan datang saya mudah berurusan dengan  bank atau apa apa yang berkaitan.

Yang Benar,
xxxxx

Jawapan :
Assalamualaikum Tuan,
Setiap individu yang menjalankan Perniagaan di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah cukai pendapatan. Cukai pendapatan tersebut akan jatuh keatas Individu (pemilik) yang akan dikira melalui pengiraan cukai bermula dengan keuntungan atau kerugian daripada perniagaan mereka. Pengiraan cukai Individu akan dilakukan melalui Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir bagi penghantaran dan pembayaran cukai (sekiranya ada) adalah pada 30 Jun setiap tahun.
Bagi pertanyaan Tuan seperti diatas :

1. Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi perniagaan jenis milikan tunggal tanggungjawab untuk mengisytihar pendapatan akan jatuh keatas individu itu sendiri. Oleh itu, bagi pengisytiharan pendapatan, Tuan perlu mengisytiharkan pendapatan Tuan bermula dari tahun kewangan yang telah diambilalih. Ini adalah kerana cukai bagi perniagaan jenis milikan tunggal akan jatuh ke atas pemilik perniagaan itu sendiri. Sekiranya ingin membuat pengisytiharan bagi tahun sebelum pengambilalihan, maka pemilik sebelum yang perlu membuat pengisytiharaan tersebut.

2. Kebiasaannya tiada penalti yang dikenakan kerana tanggungjawab mengisytiharkan pendapatan perniagaan sebelum ini adalah diatas tanggungjawab pemilik perniagaan sebelum ini.

3.  Pihak kami tidak dapat memastikan samada pemilik lama perniagaan akan dicari oleh pihak LHDN atau tidak selepas pertukaran nama dalam pemilikan perniagaan.

4.  Sebagai pemilik baru perniagaan milikan tunggal ini, tanggungjawab Tuan adalah untuk melakukan pengisytiharaan pendapatan dengan mengemukakan Borang B bermula dari Tahun Kewangan yang telah diambil alih sehingga yang terkini.

Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuan.

Sekian, Terima kasih.




From   : xxxx
To        : mr.radzi@yahoo.com
Subject : Cukai & Perniagaan
Date     : 5 Januari 2016

SOALAN

Assalam En.Radzi.

Saya baru terbaca tentang cukai enterprise apabila membuka laman LHDN.
Saya ingin bertanya...saya ada membuka lesen enterprise untuk suka2. Ada menjalankan perniagaan tetapi bukan tetap. Maksud saya...jika ada peluang sahaja baru saya jalankan. Jika tiada..maka lesen enteprise hanya akan diperbaharui setiap tahun sebagai syarat sahaja.
Soalan saya...adakah layak saya dikenakan cukai jika pendapatan sebulan saya tidak menentu dan kadang2 tidak ada langsung perniagaan dijalankan.

Sekian terima kasih.


JAWAPAN

Waalaikumussalam Puan,

Terima kasih atas soalan yang diberikan.

Setiap pendapatan yang diterima daripada sebarang perniagaan yang dijalankan haruslah dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1), Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagi Individu yang menjalankan Perniagaan, borang cukai yang akan digunakan ialah Borang B (Borang Nyata Pendapatan Cukai bagi Individu Yang Menjalankan Perniagaan). Tarikah akhir serahan  borang dan pembayaran cukai (sekiranya ada)  ini ialah selewat-lewatnya 30 Jun tahun berikutnya.

Berdasarkan Seksyen 112(1), mana-mana individu yang tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan atau tidak memaklumkan layak dikenakan cukai boleh dikenakan penalti.

Bagi menjawab persolan Puan, untuk mengetahui samada layak dikenakan cukai atau tidak, pengiraan cukai hendaklah dibuat. Tetapi, sebelum pengiraan dibuat, akaun perniagaan perlu disediakan terlebih dahulu. Ini adalah kerana maklumat seperti Penyata Kewangan dan Kunci Kira-Kira diperlukan dalam mengisi borang cukai nanti.

Berbalik kepada pengiraan cukai, pendapatan yang diambil kira ialah pendapatan selama setahun dan bukan pendapatan secara bulanan semata-mata. Ini bermaksud, sekiranya Puan masih menerima hasil jualan walaupun bukan secara tetap setiap bulan, Puan masih perlu mengisytiharkan pendapatan tersebut. Sekiranya berdasarkan pengiraan cukai itu menunjukkan Puan dikenakan cukai, maka Puan perlu membuat pembayaran cukai tersebut dalam masa yang ditentukan.


Disini kami lampirkan contoh pengiraan cukai yang boleh digunakan dalam menentukan samada terdapat cukai perlu dibayar atau tidak.


           
RM
Keuntungan / (Kerugian) bersih perniagaan
xxx
Tambah
: Perbelanjaan tidak dibenarkan
xxx
Pendapatan dilaras
xxx



Tolak
: Elaun Modal                
xxx
Pendapatan Berkanun
xxx



Tolak
: Pelepasan
xxx
Pendapatan Bercukai
xxx

Kadar kiraan cukai adalah berdasarkan Pendapatan Bercukai. Jadual kadar cukai bagi Individu boleh dirujuk di laman web LHDN.


Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu.

                                                                                                                                                                                                                      


From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Cara Merekod Transaksi Tunai Dari Akaun Peribadi Milikan Tunggal.
Date : 30-11-2015

Soalan :

Assalamualaikum....

Saya baru nak memulakan kerja sebagai kerani akaun disebuah syarikat baru (milikan tunggal). Saya nak tahu samada tunai yang dikeluarkan dari akaun peribadi pemilik milikan tunggal untuk membuat bayaran kepada pemiutang tersebut dianggap sebagai hutang syarikat kepada beliau atau modal perniagaan.

Tanah pemilik tersebut di mana bangunan didirikan perlukah dimasukkan sebagai aset tetap syarikat. Yang mana lebih baik, pemilik milikan tunggal tersebut di beri gaji yang mana akan direkodkan didalam penyata pendapatan ataupun dibuat ambilan yang akan direkodkan dikunci kira-kira.

Jawapan:

Wasalam Cik/Puan,

Terima kasih diatas persoalan yang diberikan.

Perbelanjaan yang dikeluarkan bukan bertujuan untuk perniagaan tidak boleh diambil kira dalam pengiraan cukai perniagaan. Oleh itu, didalam situasi dimana pemilik perniagaan menggunakan wang persendirian untuk membayar pemiutang, ia boleh direkod sebagai modal pemilik dalam perniagaan.

Berkenaan tanah pemilik pula, samada ingin direkod sebagai aset atau tidak adalah bergantung kepada pemilik perniagaan tersebut sendiri. Dari segi percukaian, aset tanah tiada elaun modal yang boleh dituntut. Elaun modal bagi Aset Perniagaan adalah merupakan satu potongan tahunan yang dibenarkan dalam maksud pengiraan cukai yang diberikan kepada sesebuah perniagaan yang mempunyai harta atau aset perniagaan. Potongan elaun ini diberi sebagai potongan daripada Pendapatan Larasan Perniagaan.

Walaubagaimanapun, puan boleh merekod segala perbelanjaan baikpulih atau penyelenggaraan bangunan tempat Puan menjalankan perniagaan tersebut sebagai salah satu daripada perbelanjaan perniagaan Puan.

Berkenaan gaji, terdapat dua cara untuk merekod gaji bulanan dan EPF (sekiranya ada) yang diterima oleh pemilik perniagaan iaitu :

  1. Direkod sebagai ambilan di Kunci Kira-Kira atau.
  2. Direkod sebagai belanja gaji di Penyata Pendapatan
Pendapatan Penggajian dari Milikan Tunggal adalah merupakan pendapatan bagi pemilik. Maka, jika ianya direkod sebagai ambilan di Kunci Kira-Kira, ia tidak akan dilaras semula didalam pengiraan cukai. Pelarasan ialah menambah semula perbelanjaan yang tidak dibenarkan iaitu perbelajaan peribadi dan tidak berkaitan dengan perniagaan tersebut.

Sekiranya gaji direkod sebagai belanja dibawah Penyata Pendapatan, maka didalam proses perngiraan cukai, gaji pemilik ini perlu diselaraskan semula. Ia adalah kerana gaji pemilik adalah dianggap sebagai belanja peribadi atau juga ambilan.

Terima kasih.
                                                                                                                                                                                                                 

From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Ejen Dalam Membuat Penyata Kewangan Syarikat Enterprise.
Date : 30-11-2015

Soalan :

Assalamualaikum Tuan Radzi...moga dalam lindungan Allah sentiasa.

Maaf tuan saya menganggu..
Saya nak tanya..suami saya telah membuka syarikat enterprises (perkongsian) pada 11 Julai 2012. Sehingga hari ini Syarikat suami saya belum berdaftar dgn LHDN dan tidak pernah lagi membayar cukai kerana tidak tahu yang syarikat enterprises juga wajib membayar cukai sehinggalah saya terbaca di blog tuan.

Kebanyakkan resit dan invois juga sudah tidak ada. Boleh kah Tuan membantu? Adakah Syarikat suami saya memerlukan ejen untuk membuat penyata kewangan kerana suami dan partner memang tidak tahu cara yang harus dilakukan.

Saya berharap agar tuan dapat memberikan jawapan dan pandangan.

Jika Syarikat suami saya ingin menggunakan khidmat Syarikat Tuan Radzi boleh ke.

Terima kasih..

Jawapan :

Assalamualaikum Puan,

Terima kasih diatas pertanyaan yang diberikan. Terlebih dahulu pihak kami ingin memohon maaf diatas kelewatan membalas email Puan.

Untuk makluman Puan, setiap perniagaan yang dijalankan bertanggunggjawab untuk mendaftar di LHDN dan mematuhi segala pematuhan yang telah ditetapkan oleh LHDN. Mengikut dari maklumat Puan, perniagaan Puan telah dijalankan bermula Tahun 2012.

Tetapi sekiranya perniagaan Puan tidak aktif pada Tahun 2012 dan mula aktif pada tahun selepas itu, maka pendaftaran hendaklah dilakukan sebaik sahaja perniagaan itu aktif. Mengikut maklumat yang Puan berikan, perniagaan ini merupakan perniagaan jenis perkongsian. Oleh itu, pendaftaran yang perlu dilakukan ialah untuk :

i. Pekongsi 1

ii. Pekongsi 2

iii. Perniagaan

Perniagaan seperti diatas bermaksud, entiti perniagaan perkongsian itu sendiri perlu didaftarkan untuk mendapatkan fail nombor cukai. Pada kebiasaannya, perniagaan jenis perkongsian akan membuat perjanjian diantara pekongsi mengenai pembahagian keuntungan dan elaun modal. Tetapi sekiranya tiada perjanjian yang dibuat dan dipersetujui, maka pembahagian keuntungan dan elaun modal hendaklah sama rata iaitu 50% - 50%.

Setiap Individu yang menjalankan perniagaan perlu menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1). Apabila pekongsi ingin mengisytiharkan cukai individu masing-masing, maka pekongsi harus lah mengistiharkan pendapatan yang diterima dari perniagaan.

Untuk makluman Puan, bagi perniagaan jenis Perkongsian, peniaga perlu menghantar dua jenis borang iaitu:
  1. Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang B ialah 30 Jun tahun berikutnya. (Setiap Pekongsi)
  2. Borang P (Borang Nyata Perkongsian). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang P ialah 30 Jun tahun berikutnya.
Adalah dinasihatkan agar Puan menyediakan akaun Perniagaan dengan tepat untuk mendapatkan maklumat Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang betul. Maklumat ini diperlukan bagi mengisi Borang P dan B untuk dihantar ke LHDN selain perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Puan.

Sekian, terima kasih
                                                                                                                                                                                                                 


From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Cukai Bagi Syarikat Enterprise
Date : 30-11-2015

Soalan :

Assalamualaikum,

Saya ada beberapa kemusykilan mengenai cukai bagi syarikat enterprise. Saya ada mendaftarkan syarikat enterprise pada tahun 2013. Tetapi perniagaan tidak begitu aktif dan tidak dilakukan dengan sistematik kerana dilakukan atas dasar suka2. Namun saya bercadang untuk mula aktif berniaga pada hujung tahun ini dan ingin menguruskan secara lebih sistematik.

Saya ada terbaca mengenai hal ehwal syarikat dan percukaian dan musykil mengenai beberapa perkara.

  1. Sekiranya saya mendaftar dengan LHDN sekarang, adakah apa2 denda akan dikenakan disebabkan tidak mendaftar dari awal penubuhan syarikat?
  2. Adakah syarikat enterprise dibenarkan untuk mengambil pekerja dan adakah gaji pemilik dan pekerja dikira sebagai kos perniagaan? Dan sekiranya ya, apakah dokumen slip gaji diperlukan bagi rujukan pihak LHDN bagi tujuan pengisytiharan cukai nanti? Kerana sebelum ini saya hanya membayar gaji melalui online banking dan tidak ada dokumen slip gaji diberikan kepada pekerja.
  3. Dan sekiranya saya membeli kereta menggunakan nama syarikat, bolehkah ansuran kereta dikira sebagai kos dan bukan perbelanjaan pemilik? Kerana melalui laman web LHDN ada dinyatakan mengenai potongan untuk kereta iaitu tolak lebih dari RM150,000 tetapi saya tidak faham sama ada ia adalah untuk syarikat sdn bhd atau enterprise.
  4. Dan yang terakhir, pendapatan yang dikenakan cukai adalah berdasarkan sales bagi setahun atau untung bersih setahun?
Diharap pihak Tuan sudi menjawab pertanyaan saya. Terima kasih.

Jawapan :

Terima kasih diatas soalan yang diajukan.

Pihak kami akan cuba untuk membantu pihak Puan dalam permasalahan ini.
  1. Mengikut Akta Percukaian 1967 setiap Individu yang menerima sebarang pendapatan di dalam Malaysia perlu mengisytiharkan pendapatan tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.Untuk makluman, sekiranya terdapat cukai yang dikenakan bagi tahun-tahun taksiran sebelum, maka penalti akan dikenakan ke atas cukai tersebut. Penalti akan dikenakan diatas kesalahan kelewatan menghantar borang cukai dan kegagalan membayar cukai yang dikenakan.
  2. Semua jenis perniagaan adalah dibenarkan untuk mengambil pekerja dan gaji pekerja tersebut boleh ditolak sebagai perbelanjaan perniagaan. Walaubagaimanapun, gaji yang diterima oleh pemilik perniagaan milikan tunggal itu sendiri adalah tidak dibenarkan kerana ini akan dianggap sebagai bukan perbelanjaan perniagaan. Gaji pemilik boleh diletak dibawah perbelanjaan akan tetapi pelarasan perlu dibuat. Pelarasan disini bermaksud setiap perbelanjaan yang bersifat peribadi atau tidak berkaitan dengan perniagaan perlu ditambah semula. Perkara ini disebut sebagai perbelanjaan yang tidak dibenarkan.Oleh itu, kebiasaannya duit/gaji yang diambil oleh pemilik akan diletakkan dibawah akaun ambilan (withdrawing).

    Bagi pembayaran gaji pekerja, adalah lebih baik sekiranya Puan dapat menyediakan slip gaji menyatakan jumlah gaji, potongan epf & socso (sekiranya ada). Jika Puan tidak dapat menyediakan slip gaji , maka penyata pembayaran secara online boleh dijadikan sebagai dokumen sokongan.
  3. Bagi pembelian kereta atas nama perniagaan, ansuran bulanan tersebut tidak boleh dimasukkan ke dalam perbelanjaan perniagaan kerana ini merupaka pembelian aset dan bukanlah suatu kos perniagaan. Tetapi, faedah atas ansuran bulanan tersebut boleh diambilkira sebagai kos perniagaan.

    Berkenaan penolakan sebanyak RM150,000 seperti yang Puan nyatakan, ia merujuk kepada perbelanjaan modal layak untuk tuntutan elaun modal. Elaun modal ialah jumlah satu potongan tahunan yang dibenarkan dalam maksud pengiraan cukai yang diberikan kepada sesebuah perniagaan yang mempunyai harta atau aset perniagaan.

    Bagi aset kenderaan, hanya kenderaan yang tidak dilesenkan untuk tujuan komersil boleh menuntut elaun modal.

    Untuk makluman, bagi aset kenderaan, terdapat had maksima perbelanjaan modal layak untuk tuntutan elaun modal seperti berikut : 
Harga Kenderaan
Tuntuan elaun modal
Kurang dari RM100,000
Harga asal kenderaan tersebut
Lebih dari RM100,000 dan kurang dari RM150,000
RM100,000 sahaja
Melebihi dari RM150,000
RM50,000 sahaja

Elaun modal ini boleh ditolak samada Syarikat atau pun perniagaan milikan tunggal dimana aset tersebut telah diisytiharkan.

4      4.    Cukai akan dikenakan keatas pendapatan bercukai perniagaan tersebut. Pengiraan cukai akan                     dilakukan keatas hasil jualan dan belanja perniagaan. Kadar cukai boleh dirujuk di lawan web LHDN            iaitu http://www.hasil.gov.my .
       Di bawah ini adalah contoh pengiraan cukai.
                                                                                                                                               

RM
Keuntungan / (Kerugian)  bersih
XXX
Tambah : Perbelanjaan tidak dibenarkan
XXX
Pendapatan terlaras
XXX


Tolak      : Elaun modal
(XXX)
Pendapatan Berkanun
XXX


Tolak      : Pelepasan
XXX
Pendapatan Bercukai
XXX


    Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu Puan.

     Sekian, Terima kasih.                                           
                                                                                                                                                                                                                 

From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Perkhidmatan Menyediakan Full Set Of Account
Date : 30-11-2015

SOALAN

Assalamualaikum,
Saya mempunyai sebuah syarikat Enterprise yang telah didaftarkan pada tahun 2010. Pada minggu lalu saya telah diberikan surat oleh pihak LHDN untuk mengemukakan Penyata Kewangan, Pengiraan cukai  & dokumen sokongan bagi tahun 2011, 2012 & 2013.

Untuk pengetahuan pihak tuan, pada tahun 2011 saya tidak membuat sebarang pengisytiharaan dengan pihak LHDN memandangkan syarikat yang baru ditubuhkan.

Saya mula membuat pengisytiharaan cukai pendapatan bermula pada tahun 2012 sehingga sekarang. Namun saya hanya menyediakan anggaran penyata pendapatan untuk dijadikan rujukan bagi menghantar Borang B kepada LHDN setiap tahun.

Maka dengan itu saya mempunyai masalah untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak LHDN sekarang.

Oleh yang demikian, saya ingin bertanya adakah pihak tuan menyediakan perkhidmatan untuk menyediakan Full Set Of Account (Akaun Untung Rugi, Kunci Kira-kira dan Lejer-lejer), Pengiraan Cukai Pendapatan berserta soft copy?

Jika ya, berapakah caj yang dikenakan bagi perkhidmatan tersebut?

Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam Tuan,

Terima kasih diatas pertanyaan yang diberikan. Terlebih dahulu pihak kami ingin memohon maaf diatas kelewatan membalas email Tuan.

Setiap Individu yang menjalankan Perniagaan di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah cukai pendapatan. Cukai pendapatan tersebut akan jatuh keatas Individu (pemilik) yang akan dikira melalui keuntungan atau kerugian daripada perniagaan mereka. Pengiraan cukai Individu akan dilakukan melalui Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Borang B ini perlu dihantar ke LHDN selewat-lewatnya 30 Jun tahun berikutnya.

Adalah dinasihatkan agar Tuan menyediakan akaun bagi Perniagaan terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang tepat. Maklumat ini diperlukan bagi mengisi Borang B untuk dihantar ke LHDN selain perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.
Dalam penyediaan akaun bagi Perniagaan, pihak Tuan perlulah menyimpan segala resit-resit perbelanjaan dan baucer jualan sepanjang tempoh perakaunan tersebut. Selain itu, penyata bank juga penting dalam proses penyediaan akaun.

Hasil daripada akaun yang disediakan, pengiraan cukai dibuat termasuk pelarasan cukai (Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan 1967) dan elaun modal bagi setiap tahun perniaagaan.

Pihak kami ada menyediakan perkhidmatan Percukaian (Pengiraan cukai dan penghantaran Borang B kepada LHDN) dan Perakaunan (Penyata pendapatan dan perbelanjaan, Kunci Kira-kira dan lejer-lejer). Sekiranya pihak Tuan berminat untuk mendapatkan khidmat kami, sebutharga perkhidmatan Radzi & Co akan diemelkan kepada pihak Tuan.

Semoga jawapan ini dapat membantu.


Terima kasih.
                                                                                                                                                                                            

From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Enterprise Sejenis Perkongsian

Soalan

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya, jikalau saya daftar perniagaan saya sebagai Enterprise dah ia adalah jenis perkongsian, adakah saya perlu membayar cukai? Saya tidak tahu jenis cukai apa yang sepatutnya dibayar oleh peniaga. Sekiranya, kami berniaga secara online, tiada kedai dan tiada aset, perlukah kami membayar cukai dan sediakan akaun? Mohon penjelasan dari Encik. Sekian, terima kasih.

Jawapan

Salam Puan,
Teima kasih atas soalan yang diberi.

Setiap Individu yang menjalankan Perniagaan di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka berdasarkan Seksyen 7, Akta Cukai Pendapatan 1967. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah cukai pendapatan.
Bagi jenis perkongsian, cukai pendapatan akan jatuh keatas pekongsi itu sendiri. Ini bermaksud, keuntungan yang diperoleh daripada Perniagaan Perkongsian tersebut akan dibahagikan kepada pekongsi. Pembahagian dilakukan mengikut pada perjanjian pembahagian keuntungan oleh pekongsi tetapi sekiranya tiada perjanjian yang dibuat oleh pekongsi, maka pembahagian ini perlulah dilakukan secara sama rata. Sila rujuk Lampiran 1.
Setiap Individu yang menjalankan perniagaan perlu menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1). Bagi jenis Perkongsian, peniaga perlu menghantar dua jenis borang iaitu:



1. Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang B ialah 30 Jun tahun berikutnya.
2. Borang P (Borang Nyata Perkongsian). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang P ialah 30 Jun tahun berikutnya.



Untuk makluman, perniagaan secara online juga perlu untuk mematuhi Akta Percukaian 1967.
Adalah dinasihatkan agar Puan menyediakan akaun bagi Perniagaan bagi mendapatkan maklumat Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang tepat. Maklumat ini diperlukan bagi mengisi Borang P dan B untuk dihantar ke LHDN selain perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.
Diharap jawapan yang diberikan dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan pihak Puan.

Terima kasih.



                                                                                                                                                                                            

From : Pn. xxxxxxx
To : mr.radzi@yahoo.com
Subject : Tidak declare tax

SOALAN

As-salam, Saya dah bekerja selama 8 tahun tapi x pernah declare tax. tapi PCB ada potong setiap bulan selama tempoh saya bekerja. Adakah saya akan didenda jika declare sekarang. Saya ada cuba isi efiling, nampaknya byk lebihan bayar. Adakah saya tetap akan didenda walaupun saya menyumbangkan jumlah cukai yang lebih?

JAWAPAN

Salam Puan, Terima kasih atas soalan yang diberi. Setiap Individu yang menerima sebarang pendapatan di dalam Malaysia perlu mengisytiharkan pendapatan tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Untuk makluman, penalti boleh dikenakan ke atas Individu yang gagal untuk mengisytiharkan pendapatan mereka kepada LHDN atas kesalahan tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 112(1), Akta Cukai Pendapatan 1967. Sekiranya selepas Puan menghantar borang cukai dan mempunyai lebihan bayaran daripada hasil potongan PCB yang telah dibuat, maka Puan bolehlah menuntut semula lebihan tersebut daripada LHDN. Pihak LHDN akan memulangkan lebihan bayaran tersebut setelah segala penolakan termasuk Cukai Perlu Dibayar bagi setiap Tahun Taksiran dan penalti lambat hantar dan bayar(sekiranya ada Cukai Perlu Dibayar). Sekadar untuk makluman, walaupun Puan menyatakan bahawa Puan telah membuat bayaran lebih, tetapi pihak LHDN akan menyemak semula dan mengemaskini status kedudukan cukai Puan dahulu. Jika mereka bersetuju bahawa terdapat lebihan bayaran, maka barulah mereka akan memulangkan lebihan bayaran tersebut. Selain itu, jika Pihak Puan merupakan penjawat awam, Puan akan menghadapi kesulitan ketika bersara disebabkan oleh tidak pernah menghantar Borang Cukai ke LHDN. Oleh itu, adalah dinasihatkan kepada Puan supaya menghantar Borang Cukai bagi mengelakkan sebarang masalah dikemudian hari. Semoga jawapan ini dapat membantu.

Terima kasih.

                                                                                                                                                                                            
From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Registration of business

QUESTION

I am Ms XXXXXX, I own a tuition centre. I register the business at 3 September 2013. However, I have yet register my business as a taxpayer under IRB as I do not know the necessity. What should I do and what will happen to me or my business?

Regards,
Ms xxxxxx

ANSWER

Dear Ms XXXXXX,

Thanks for the question.

For your information, any business incorporated in Malaysia is responsible to register and comply with all compliance requirements set by the IRB. Therefore, any income received during business conducted must be declared to the IRB. Income tax imposed will fall on individuals (the owner) if the business is registered as sole proprietorship or Enterprise, but if the business incorporated as a Company then the income tax will fall on the company itself.

First of all, you are required to register with IRB to get income tax file number. After done with registration, you must comply with all compliances set by IRB. One of the compliances is to submit tax return.  A tax return is a form used to declare income and tax imposed. Different form is used for different entity.
In this situation, you must submit Form B. Form B is a return form of Individual who is residents and have business income (sole proprietorship) or partnership (the partner) under Section 4 (a) - 4 (f) of the ITA 1967. The completed form must be submitted no later than 30 June every year.
Once the form is submitted to the IRB, if there is any balance of tax to be paid, then you are required to pay within the specified time or you will be subject to 10% penalty under Sec. 103 ITA 1967 for late payment. In addition, if you made a late submission of your tax return, then you will be subject to penalty under Sec 112(3) ITA 1967.

It is advisable for you to provide an account for your business. Tax will be calculated if the business has Chargeable Income (taxable income). To identify whether you have Chargeable Income or not, you need an account to show the profit or loss of the business and tax will be calculated based on the taxable income. This process can be seen through example in Appendix 1.

Hope this simple explanation answers all your queries.


Thanks.

                                                                                                                                                                                     

PERBELANJAAN TIDAK DIBENARKAN
Assalamualaikum w.b.t,

En. Radzi, saya ada melayari blog En. Radzi berkenaan tajuk di atas tetapi saya masih tidak/kurang jelas mengenainya. Saya amat berharap En. Radzi dapat membantu saya dalam hal ini.

Saya ingin dapatkan penjelasan untuk masalah berikut:
Majikan saya (Perniagaan Milikan Tunggal) menggunakan wang Syarikat untk belanja peribadi (bercuti di luar negara), saya merekod entri tersebut dalam sistem sebagai:

            Debit   Ambilan
               Kredit    Bank

Persoalan saya di sini, adakah perbelanjaan berikut boleh di ambil kira sebagai ‘Perbelanjaan Tidak Dibenarkan” di dalam pengiraan cukai pendapatan?

Saya keliru kerana adakah pelarasan perbelanjaan ini hanya melibatkan Penyata Untung Rugi sahaja @ boleh mengambil kira item di Kunci Kira-kira (Cth: Akaun Ambilan)

Segala bantuan & penjelasan En. Radzi didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Terima kasih.

XXX


JAWAPAN

Salam Puan XXX,

Terima kasih atas kesudian Puan melayari blog kami.

Di bawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan yang dibenarkan merupakan perbelanjaan yang dilakukan dalam menghasilkan pendapatan. Manakala, perbelanjaan tidak dibenarkan adalah perbelanjaan bagi tujuan persendirian.

Berdasarkan pertanyaan Puan, jika perbelanjaan bagi tujuan persendirian direkodkan dalam akaun ambilan, maka tidak perlu dikira sebagai perbelanjaan tidak dibenarkan. Akaun ambilan tidak memberi kesan kepada Penyata Untung Rugi perniagaan.

Jika Puan merekodkan perbelanjaan bagi tujuan persendirian tersebut sebagai salah satu perbelanjaan di Penyata Untung Rugi, maka Puan perlu mengambil kira sebagai perbelanjaan tidak dibenarkan.

Hal ini kerana pengiraan cukai pendapatan adalah berdasarkan Penyata Untung Rugi perniagaan. Hanya perbelanjaan yang berkaitan dengan perniagaan sahaja dibenarkan sebagai penolakan dalam pengiraan cukai pendapatan.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Puan.

Sekian, terima kasih.

Semoga membantu.

____________________________________________________________________________________________


From: xxxx@yahoo,com

To: mr.radzi@yahoo.com Sent: Friday, February 22, 2013 12:33 PM Subject: Pertanyaan


Salam En.Radzi,
Saya ada view blog En.Radzi dan saya ingin bertanya kan soalan dan minta pendapat En.Radzi berkaitan situasi dibawah.
Saya bekerja sebagai pengurus di salah sebuah syarikat Sdn Bhd di Seremban. Pada Julai 2011, majikan saya memasukkan nama saya sebagai Pengarah syarikat dengan alasan kedua-dua pengarah yang ada sudah blacklist.
Bermula hujung tahun 2012 dan sehingga tarikh hari ini, syarikat saya banyak memohon pinjaman bank untuk mendapatkan modal pusingan syarikat dan saya merupakan salah seorang penjamin. Majikan saya juga ada menyatakan yang beliau dan juga ex-pengarah yang juga sudah blacklist sebelum ini, akan masuk sebagai pengarah semula pada bulan May ini.

Persoalannya disini, sekiranya permohonan tersebut lulus dan saya menandatangani perjanjian tersebut, apakah kesan-kesan kepada saya sebagai pengarah syarikat dan sebagai individu sekiranya saya berhenti kerja di masa hadapan?
Saya sudah bertanyakan soalan ini pada majikan saya dan jawapannya adalah saya hanya tanda tangan perjanjian sebagai pengarah syarikat dan sekiranya saya menamatkan perkhidmatan di syarikat ini sebagai pengarah syarikat, saya tidak akan terlibat langsung sekiranya syarikat menghadapi masalah kewangan di masa hadapan. Adakah jawapan ini betul atau sekiranya berlaku masalah kewangan di kemudian hari, saya sebagai penjamin semasa perjanjian dijalankan, perlu bertanggungjawap walaupun saya sudah menamatkan perkhidmatan?

Saya amat berharap agar En.Radzi boleh menjawap persoalan saya dan memberi pandangan sekiranya ada apa-apa keperluan berkaitan soalan saya ini.
Terima kasih.

Jawapan :

Salam,

Perkara yang perlu difahami ialah Pengarah terikat dengan Akta Syarikat apabila sudah dilantik untuk jawatan tersebut. Walaupun Pengarah tersebut hanya digunakan sebagai Penama, namun tanggungjawab sebagai Pengarah tetap ada dan tidak terlepas.

Secara teknikalnya, Pengarah adalah individu yang bertanggungjawab dalam mewakilkan Syarikat Sdn. Bhd. Sekiranya pinjaman yang dibuat mewajibkan jaminan daripada Pengarah itu sendiri, maka secara tidak langsung Pengarah tersebut bertanggungjawab walaupun Pengarah itu sudah berhenti daripada Syarikat.

Merujuk kepada situasi Tuan jika sekiranya Tuan telah berhenti kerja pada masa hadapan, pihak Syarikat perlu memaklumkan kepada pihak institusi kewangan yang berkaitan atas pemberhentian Pengarah tersebut supaya nama Pengarah tersebut dikeluarkan. Kebiasaanya, pihak bank akan meminta pengganti. Kemudian, selepas tempoh 2 tahun, barulah Pengarah yang berhenti tadi dikecualikan jika terdapat sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas Syarikat.

Jikalau Tuan tidak mendatangani perjanjian sebagai Guarantor (Kapasiti sendiri) untuk menjadi pinjamin pinjaman tersebut, maka Tuan tidak akan dikenakan tindakan. Manakala, jika Tuan mendatangani perjanjian tersebut sebagai ‘Joint & Several Guarantor’, maka Tuan juga boleh dikenakan tindakan mahkamah jika berlaku pendakwaan di kemudian hari.
Sekian, terima kasih.

p/s : Diharap membantu

                                                                                                                                                                                             
From: xxxx@yahoo,com
To: mr.radzi@yahoo.com 
Sent: Friday, February 22, 2013 7:50 PM 
Subject: Re: Jawapan untuk persoalan : Pinjaman Syarikat dan tanggungjawab Pengarah



Terima kasih En.Radzi..

Jawapan yang sangat membantu..

Boleh ke saya dapatkan pandangan En.Radzi, apakah cara-cara untuk saya berundur dari jawatan Pengarah ini?

Saya akui bahawa majikan saya tidak berlaku jujur dalam menerangkan tugas-tugas dan kesan sebenar sebagai Pengarah..

Saya baru berumur 26tahun dan belum berkahwin..Saya takut sekiranya permohonan itu lulus dan majikan saya belum lagi masuk sebagai Pengarah semula dan saya terpaksa menandatangani perjanjian tersebut seterusnya meletakkan diri saya dalam keadaan terbeban di masa akan datang..

Saya agak tidak percaya dalam pengurusan yang dijalankan oleh majikan-majikan saya..kerana itu saya amat takut sekiranya permohonan pinjaman itu lulus..

Terima kasih

Boleh En.Radzi advise saya apa-apa yang patut?

Jawapan :

Berdasarkan apa yang dinyatakan, kebarangkaliannya boleh terjadi.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Pengarah tetap akan bertanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Akta Syarikat walaupun ianya hanyalah digunakan sebagai penama sahaja.

Pandangan kami, bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang bakal timbul di kemudian hari, dinasihatkan supaya Tuan meletak jawatan sebagai Pengarah. Jawatan Pengarah adalah satu jawatan yang melibatkan tanggungjawab yang besar. Tuan boleh menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Pengarah kepada majikan Tuan. Hak untuk meletak jawatan adalah hak Pengarah itu sendiri dan tiada siapa boleh halang.

Sekian, terima kasih.
Diterbitkan pada 23.02.2013
Radzi & Co.

                                                                                                                                                                                                     



From: mrxxx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com

Soalan:
Soalan :

Assalamualaikum. Saya memohon jasa baik tuan agar dapatlah kiranya memberi tunjuk ajar dan beri salah satu contoh kira-kira dalam penyediaan pembayaran cukai perniagaan dan pendapatan.
Pertimbangan dan tunjuk ajar daripada pihak tuan yang budiman amatlah saya hargai.


Jawapan :
Assalamualaikum Puan,
Setiap individu yang menjalankan Perniagaan di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah cukai pendapatan. Cukai pendapatan tersebut akan jatuh keatas Individu (pemilik) yang akan dikira melalui keuntungan atau kerugian daripada perniagaan mereka. Pengiraan cukai Individu akan dilakukan melalui Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Pendapatan bercukai dikira bermula daripada keuntungan/kerugian bersih ditambah dengan perbelanjaan tidak dibenarkan seperti susut nilai aset dan perbelanjaan persendirian yang akan menghasilkan pendapatan terlaras. Pendapatan terlaras ini seterusnya akan ditolak dengan elaun modal untuk mendapatkan Pendapatan Bercukai. Elaun modal ialah jumlah satu potongan tahunan yang dibenarkan dalam maksud pengiraan cukai yang diberikan kepada sesebuah perniagaan yang mempunyai harta atau aset perniagaan.

Untuk makluman pihak Puan, setiap individu mempunyai pelepasan yang boleh dituntut. Pelepasan-pelepasan ini dituntut bagi membantu mengurangkan cukai yang dikenakan. Sebagai contoh pelepasan yang boleh dituntut ialah pembelian komputer, insuran nyawa dan yuran perubatan dan sebagainya. Pelepasan ini boleh dirujuk di laman web LHDN seperti pautan dibawah :


Selepas pendapatan berkanun diraih, ia boleh ditolak dengan pelepasan yang berkenaan seperti diatas bagi individu tersebut . Penolakan yang dibuat akan menghasilkan Pendapatan Bercukai.

                                                                                                                                                                                                          

From: xxxxxx
To: mr.radzi@yahoo.com
Subject: Percukaian Individu atau Syarikat?

SOALAN

Assalamualaikum En Razi,

Saya telah menubuhkan syarikat sendirian berhad hampir setahun serta merupakan share holder dan director syarikat. Sebelum ini saya bekerja makan gaji sahaja. Saya mempunyai kemusykilan tentang percukaian individu samada perlu membayar lagi cukai pendapatan individu setelah membayar cukai korporat bagi syarikat yang saya tubuhkan. 

Mohon pencerahan.

Sekian, terima kasih

Saiful Azuan

JAWAPAN

Assalamualaikum Tuan,

Terima kasih atas soalan yang diberikan.
Untuk makluman Tuan, setiap individu yang menjalankan Perniagaan atau Syarikat Sdn. Bhd. di Malaysia perlulah mengisytiharkan pendapatan perniagaan mereka. Pendapatan yang diisytiharkan akan digunakan untuk pengiraan jumlah Cukai Pendapatan. Perbezaan bagi perniagaan milikan tunggal  dan syarikat ialah, cukai perniagaan bagi milikan tunggal akan jatuh pada individu iaitu pemilik perniagaan itu sendiri, manakala bagi syarikat pula cukai perniagaan adalah berasingan dengan cukai individu iaitu pengarah syarikat. Ini adalah kerana, Syarikat Sdn. Bhd. dan pengarah merupakan dua entiti yang berbeza yang menyebabkan kedua-dua perkara ini perlu diisytihar secara berasingan.

Secara kesimpulannya, pengisytiharan borang adalah seperti berikut :

ENTITI
BORANG CUKAI
Milikan Tunggal
Borang B
Syarikat Sdn Bhd. dan Syarikat Berhad
Borang C
Pengarah Syarikat Sdn. Bhd. dan Berhad
Borang BE
Penggajian
Borang BE

Sekiranya pihak Tuan mendapat gaji, elaun, bonus dan kemudahan berupa barangan (kereta, rumah dan sebagainya) daripada syarikat yang ditubuhkan, maka Tuan perlu mengistiharkan pendapatan tersebut melalui Borang BE (Individu bermastautin yang tidak menjalankan perniagaan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967). Borang ini merupakan borang yang sama Tuan gunakan bagi mengisytihar pendapatan Tuan sebelum ini iaitu penggajian.

Oleh itu, sebagai seorang pengarah syarikat, Tuan bertanggungjawab ke atas cukai korporat iaitu menghantar Borang C (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Syarikat di bawah Seksyen 77A Akta Cukai Pendapatan 1967) dan juga cukai individu iaitu Tuan sendiri (Borang BE). Sekiranya pihak Tuan, masih berkerja makan gaji dengan majikan lain, maka jumlah gaji tersebut perlu diisytihar bersama-sama dengan gaji yang diterima dari syarikat yang ditubuhkan oleh Tuan.

Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuan.

Sekian, Terima kasih.