Monday, December 19, 2016

Syarikat perlu patuhi undang-undang GST - Kastam



BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengingatkan pengusaha syarikat agar mematuhi perundangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan tidak terlibat dengan perbuatan mentaksirkan cukai lebih rendah daripada sepatutnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk T. Subromaniam berkata pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah dan mengenakan penalti sehingga 40 peratus sekiranya mengesan mana-mana syarikat yang tidak mematuhi undang-undang GST.

"JKDM memandang serius tindakan syarikat yang cuba mengelak untuk membuat pembayaran GST dengan tepat dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kami telah menggerakkan satu pasukan khas bagi melakukan Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) bermula 1 Sept lalu untuk melakukan tinjauan dan penilaian dalam usaha memastikan semua syarikat yang berdaftar mematuhi perundangan GST," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Ops CBOS yang dilakukan di sekitar kawasan Seberang Perai di sini. Turut hadir Pengarah Bahagian GST JKDM Ahmad Maher Abdul Jalil dan Pengarah JKDM Pulau Pinang Datuk Mohd Rudzi Man.

Sementara itu, Subromaniam berkata sehingga 12 Dis lepas, sebanyak 17,381 syarikat telah dilawati untuk memastikan mereka mematuhi perundangan dan membuat pembayaran GST dengan tepat.

Katanya pihaknya juga merancang untuk meneruskan Ops CBOS pada tahun hadapan dengan sasaran membuat lawatan ke 200,000 permis daripada 420,000 syarikat yang berdaftar GST pada masa kini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk membuat lawatan terhadap pengusaha restoran berikutan industri berkenaan dikenal pasti berpotensi tinggi dalam pelbagai kes penyelewengan.

Katanya JKDM akan menggunakan pertimbangan sebaiknya dalam menaksir nilai GST yang perlu dibayar sekiranya mendapati penyata GST yang dikemukakan syarikat terbabit tidak lengkap atau terdapat elemen penyelewengan.
"Kami menjangkakan akan dapat mengutip lebih daripada RM1 bilion pada tahun ini dan akan terus komited dalam menguatkuasakan perundangan GST," katanya.

-- BERNAMA