Monday, March 9, 2015

Cukai Pendapatan dan Buku Akaun

Soalan : 

Assalamualaikum En Radzi 

Saya sekarang sedang menolong seorang kawan yang telah hampir setahun membuka syarikat sdn bhd dan mempunyai 2 pemegang saham. Saya telah diberitahu bahawa beliau tidak pernah membayar syarikat Income tax dan juga buku akaun syarikat tidak pernah dibuat. 

Di bawah saya ingin jelaskan isu tersebut.

1. Income tax company tidak dibayar hampir setahun. Adakah pembayaran income tax perlu dibayar sebulan, dan bagaimana situasi apabila tidak bayar hampir setahun? 

2. Syarikat Sdn Bhd mempunyai seorang pekerja yang melakukan tanggungjawab dalam pentadbiran syarikat dan beliau juga merupakan salah seorang pemegang saham. Perlukah mencarum KWSP dan SOCSO jikalau beliau adalah pemegang saham dan bekerja sendiri? 

3. Apakah yang saya perlu buat untuk akaun syarikat dan juga report yang diperlukan oleh auditor untuk audit tahunan. 

Saya harap En. Radzi dapat membantu menjelaskan isu tersebut. 

Terima Kasih.

Wassalam. 

Jawapan:

Assalamualaikum Puan,

Terima kasih atas soalan yang diberikan.

Untuk makluman Puan, setiap perniagaan yang dijalankan bertanggunggjawab untuk mendaftar di LHDN dan mematuhi segala pematuhan yang telah ditetapkan oleh LHDN. Oleh itu, setiap pendapatan yang diterima semasa perniagaan dijalankan perlu diisyhtiharkan ke LHDN. Cukai perniagaan bagi Syarikat Sdn. Bhd. akan jatuh diatas entiti Syarikat itu sendiri.


Pengiraan cukai Syarikat perlu dilakukan apabila audit dan akaun telah dibuat. Selepas Penyata Kewangan dikeluarkan, maka pengiraan cukai akan dilakukan untuk memastikan sama ada Syarikat dikenakan cukai atau tidak.

Borang cukai yang perlu dihantar ke LHDN ialah Borang C (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Syarikat di bawah Seksyen 77A Akta Cukai Pendapatan 1967) dan pembuat pemyaran cukai(sekiranya ada)dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup perakaunan. Pembayaran cukai bagi Syarikat perlu dilakukan selepas penghantaran borang cukai (sekiranya ada).

Selain Borang C, Syarikat juga mempunyai tanggungjawab untuk menghantar Anggaran Cukai Bulanan (CP204). Anggaran Cukai Bulanan merupakan anggaran Cukai Yang Kena Dibayar bagi tahun berikutnya dan seterusnya membuat bayaran bulanan berdasarkan anggaran tersebut. Syarikat dikehendaki mengemukakan anggaran cukai yang kena dibayar melalui Borang CP204 kepada LHDN tidak lewat daripada 30 hari sebelum bermula tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran. Untuk makluman, Syarikat yang tidak aktif tidak diwajibkan untuk menghantar Borang CP204 ini.

Pembayaran cukai secara bulanan adalah merujuk kepada Borang CP204. Tetapi pembayaran ini perlulah dilakukan sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ini ke LHDN. Jika tiada sebarang penghantaran Borang CP204 ke LHDN, maka Syarikat tidak perlu membuat bayaran secara bulanan tersebut. Tetapi sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ke LHDN dan tiada pembayaran dibuat, pihak Syarikat boleh dikenakan penalti diatas kegagalan membuat pembayaran bulanan tersebut.

Untuk pengetahuan pihak Tuan, Borang C dan Borang CP204 merupakan dua borang cukai yang berbeza.

2. Bagi persoalan mengenai KWSP dan SOCSO pula, sekiranya seseorang itu bekerja dan menerima gaji dari Syarikat tersebut, makanya seseorang itu perlulah mencarum KWSP dan SOCSO walaupun beliau merupakan seorang pemegang saham.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang :

3. Bagi proses penyediaan akaun Syarikat pula, pihak Syarikat perlu menyediakan semua dokumen yang berkaitan dengan perbelanjaan dan hasil jualan Syarikat. Contoh dokumen yang diperlukan bagi penyediakan akaun adalah seperti dilampiran 1.

Apabila proses penyediaan akaun telah selesai, maka Syarikat hendaklah memastikan bahawa akaun yang telah disediakan itu diaudit oleh juruaudit yang bertauliah. Audit tersebut hendaklah dilakukan bagi menghasilkan laporan kewangan beraudit dimana laporan tersebut perlu dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 169 (15 & 16) Akta Syarikat 1965.

Sekadar untuk makluman tambahan, walaupun akaun bank Syarikat tidak dibuka namun sekiranya terdapat transaksi perniagaan sama ada secara tunai atau pun menggunakan akaun bank pihak ketiga, ianya perlulah direkodkan.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Puan.


Sekian, terima kasih.