Monday, April 17, 2017

BNM, SPRM, LHDN bersama tangani jenayah kewangan


KUALA LUMPUR: Tiga agensi kewangan dan penguatkuasaan menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan usaha mencegah jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan cukai.

Kerjasama itu adalah antara Bank Negara Malaysia (BNM) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia diputuskan melalui mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi ketiga-tiga agensi itu, iaitu Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, hari ini.

Muhammad berkata, kerjasama itu akan membendung penyaluran hasil perolehan wang dan transaksi haram melalui sistem kewangan negara.

"BNM menyambut baik komitmen dan kerjasama dengan LHDN dan SPRM untuk mencegah jenayah kewangan.


"Perkara ini penting bagi mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.