Saturday, January 7, 2017

Cukai Baharu Lapangan Terbang Januari 2017



KUALA LUMPUR 31 Okt. - Semua lapangan terbang dalam negara akan mengalami perubahan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) berkuat kuasa 1 Januari 2017, yang turut menyaksikan caj bagi penerbangan domes­tik dan ASEAN di La­pangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 disamakan.


Perubahan caj itu menyebabkan kadar PSC yang dikenakan untuk kesemua lapangan terbang dalam negara akan meningkat antara 12 peratus hingga 80 peratus, kecuali bagi penerbangan ASEAN untuk KLIA dan lapangan terbang lain yang diturunkan daripada RM65 kepada RM35 atau penurunan 46 peratus.

Mengikut pindaan yang dibuat, PSC di KLIA, KLIA2 dan lapangan terbang lain untuk pener­bangan domestik adalah pada kadar RM11, dan RM35 untuk penerbangan destinasi ASEAN. Bagaimanapun, caj untuk penerbangan jarak jauh KLIA dan lapangan terbang lain dikenakan pada kadar RM73 manakala RM50 untuk klia2.

Bagaimanapun, kadar baharu yang bermula 1 Januari 2017 itu hanya akan dikenakan kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh tersebut. Tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2017 tidak dikenakan kadar baharu tersebut walaupun tarikh pener­bangan dijadual­kan pada atau selepas 1 Januari 2017.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), meskipun perubahan itu dibuat, kadar PSC Malaysia kekal antara yang terendah di Asia dan antarabangsa.

Jelas suruhanjaya itu lagi, pengenalan kategori baharu PSC yang lebih rendah untuk penerbangan ke negara-negara ASEAN dari lapangan terbang utama dalam negara menjadikan Malaysia negara pertama di rantau ini yang memper­kenalkan kategori tersebut.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, kajian semula caj itu bertujuan melindungi kepen­tingan pengguna dan mengga­lakkan persaingan.
“Sejak ditubuhkan pada Mac 2016, Mavcom membuat persiapan untuk mengubah industri penerbangan awam di Malaysia. Kami memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan telah melaksanakan proses permohonan pelesenan komersial yang lebih ketat bagi syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

PSC yang dikumpul oleh syarikat penerbangan semasa jualan tiket akan dibayar kepada pe­ngendali lapangan terbang selepas penerbangan. Penumpang yang tidak meneruskan penerbangan setelah membeli tiket mereka, layak mendapat bayaran balik PSC sepenuhnya. Kali ter­akhir PSC disemak adalah pada 15 September 2011.