Tuesday, February 24, 2015

Potongan Cukai Berjadual



Kuala Lumpur: Sebelum tahun taksiran 2014, individu yang bekerja perlu menghantar borang cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penilaian sama ada layak menerima bayaran lebihan baki cukai, tidak menerima atau melakukan pembayaran kepada agensi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata, bagaimanapun, kini individu bekerja boleh memilih sama ada mahu menghantar borang cukai atau sebaliknya.

“Ia boleh dilakukan hasil pengenalan konsep potongan cukai berjadual (PCB) sebagai cukai muktamad.

“Dalam konteks PCB sebagai cukai muktamad, setiap pembayar cukai boleh melakukan pengiraan sendiri pada 31 Disember setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, jika pembayar cukai berkenaan mendapati amaun dikira adalah tepat maka seseorang itu boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

Bagaimanapun, jika pembayar cukai mendapati amaun PCB dipotong lebih rendah berbanding cukai dikira atau amaun PCB lebih tinggi, maka mereka dinasihatkan supaya mengisi borang cukai seperti biasa.

“Jika ada lebihan cukai, LHDN akan membayar balik lebihan, tetapi jika sebaliknya, individu terbabit perlu membayar kembali kepada LHDN jumlah yang terkurang.

“Untuk membuat bayaran kepada LHDN, pembayar cukai perlu mengisi borang DE dan tarikh akhir menghantar borang DE ialah pada 30 April setiap tahun,” katanya.

Pembayar cukai lewat menghantar borang DE boleh dikenakan denda dan jumlahnya mengikut tempoh kelewatan iaitu antara 20 peratus hingga 35 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan.

Masrun berkata, untuk melayakkan pekerja memilih PCB sebagai cukai muktamad, mereka perlu memenuhi syarat ditentukan.

“Syarat utama ialah pekerja perlu memperoleh pendapatan hasil daripada satu sumber saja dan jika dia berkhidmat dengan dua majikan maka dia tidak boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

“Kedua, pekerja berkaitan membuat taksiran secara bersendirian dan bukannya dengan pasangan seperti isteri. Jika pasangan suami isteri mendaftarkan taksiran secara bersama maka mereka tidak layak untuk memilih PCB sebagai cukai muktamad,” katanya.