Tuesday, November 12, 2013

LHDNM Jawab Aduan Pembayar Cukai


LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin merujuk kepada keratan akhbar Utusan Malaysia ruangan umum bertarikh 25 September 2013 mengenai ''Tauke Tomyam Dari Negara Jiran Buat Duit Di Sini'' oleh pengadu yang menamakan dirinya sebagai 'Pembayar Cukai'.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengadu, 'Pembayar Cukai' atas keprihatinan beliau dalam memastikan pematuhan perundangan percukaian yang tinggi oleh rakyat Malaysia.

Ingin saya memperjelaskan bahawa LHDNM sentiasa menjalankan operasi secara berkala membuat lawatan ke semua premis perniagaan yang dikenali sebagai Operasi Mesra Hasil (OMH) di seluruh Malaysia yang bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan percukaian kepada peniaga bagi meningkatkan pematuhan mereka terhadap tanggungjawab tersebut.

Selain daripada itu, OMH ini juga dijalankan bagi mengenal pasti pembayar cukai baharu yang layak dikenakan cukai serta mengemaskini maklumat pembayar cukai sedia ada di samping dapat mengurangkan bilangan dan amaun tunggakan hasil.

Dalam meningkatkan keberkesanan operasi, LHDNM mengalu-alukan sebarang maklumat pelarian cukai dengan cara melaporkan butiran maklumat pelarian cukai iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat dan bagaimana pelarian cukai dilakukan secara bertulis, melalui emel pelariancukai@hasil/gov.my atau menghubungi kami melalui Borang Maklum Balas Pelanggan di laman web kami www.hasil.gov.my.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penulis atas peluang ini dalam memberi maklum balas berkenaan cadangan di atas.