Monday, April 19, 2010

Artikel : Pendapatan Cukai Malaysia Mendatar




Pendapatan Cukai Kerajaan Mendatar Dalam Tempoh Tiga Hingga Empat Tahun

KUALA LUMPUR: Pendapatan kerajaan daripada cukai tidak meningkat sejak tiga hingga empat tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah itu adalah sekitar RM160 bilion setahun walaupun perbelanjaan telah menunjukkan trend peningkatan.

Beliau berkata satu pertiga daripada pendapatan kerajaan ialah daripada minyak dan gas, satu pertiga daripada cukai syarikat dan individu sementara selebihnya satu pertiga daripada cukai tidak langsung seperti duti setem dan kastam.

"Terdapatnya keperluan untuk meningkatkan jumlah pekerja berkepakaran agar kerajaan boleh mengutip lebih banyak cukai dan meningkatkan pendapatannya," kata beliau pada majlis pelancaran pejabat sekretariat Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dan menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti UCSI dan UMSLink Sdn Bhd berhubung program perancangan kewangan berdaftar (RFP) di sini.

Di Malaysia, Lim berkata, daripada 12.8 juta pekerja, hanya 29 peratus pekerja berkemahiran berbanding negara-negara maju yang mana 40 peratus pekerja mereka ialah pekerja berkemahiran.

"Daripada 12.8 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.65 juta membayar cukai," kata beliau.

Sektor kewangan, kata beliau ialah satu sektor yang mempunyai banyak potensi untuk mewujudkan profesional berkemahiran dengan standard persijilan.

Beliau berkata kerajaan sedang meninjau cara bagaimana pelajar lepasan Tingkatan 5 boleh mendapatkan kepakaran tertentu seperti menjadi mekanik. - BERNAMA