Thursday, March 26, 2015

Artikel : LHDN menindas wanita?


Cukai : Lelaki, Wanita Tanggungjawab sama

RAMAI yang rasa kurang senang apabila menerima borang penilaian cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ada saja yang tidak puas hati dengan kaedah pemotongan cukai mereka dan ada yang menganggap agensi itu hanya tahu mengikis duit rakyat.

Hakikatnya, saban tahun, semua rakyat yang makan gaji atau bekerja sendiri wajib mengisytiharkan cukai pendapatan mereka sebagai tanggungjawab kepada negara. Kini musim taksiran pendapatan sudah bermula. Justeru bagi warga pekerja yang mempunyai pendapatan melebihi RM2,500 sebulan perlu mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu (pendapatan selain perniagaan), selewat-lewatnya 30 April manakala mereka yang terbabit dalam aktiviti perniagaan dikembalikan sebelum 30 Jun.

Justeru, orang ramai perlu mengisi borang cukai pendapatan termasuk boleh juga menggunakan kaedah e-filing untuk mengelakkan penalti. Bagi mereka yang gagal mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan sebelum tarikh berkenaan, bakal berhadapan dengan tindakan serius iaitu boleh dikenakan denda antara RM200 hingga RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Apa juga alasannya tidak kira lelaki atau wanita sesibuk mana juga urusan seharian mereka, tanggungjawab sebagai pembayar cukai perlu ditunaikan. Menyentuh mengenai pembayar cukai wanita, sejauh mana kepatuhan mereka terhadap tanggungjawab itu terutama kini dengan peningkatan jumlah penyertaan golongan hawa dalam pasaran pekerja, sudah pasti mereka juga tidak terlepas menjadi sasaran.

Ketika ini, kira-kira 40 peratus daripada 1.5 juta pembayar cukai individu adalah wanita. Tidak kira wanita berkahwin, bujang atau ibu tunggal, cukai pendapatan perlu dilunaskan. Persoalannya, adakah penilaian taksiran bayaran cukai itu adil, tiada diskriminasi dan tidak menindas wanita.

Ketika diajukan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Shukor Mahfar, menjelaskan semua rakyat, tidak kira lelaki atau wanita, tanggungjawab membayar cukai adalah sama dan tiada perbezaan dari segi gender.

Dulu, kaedah penilaian itu mungkin dilihat wujud ketidakseimbangan dari segi penilaiannya terutama kepada wanita yang sudah berkahwin apabila rekod pendapatan mereka disatukan bersama suami.

Sebelum Tahun Taksiran 2004, jelasnya, Borang Nyata Cukai Pendapatan dikeluarkan atas nama suami dan isteri dikehendaki mengisi pendapatan di ruangan yang disediakan pada borang berkenaan.

Jika suami atau isteri ingin memilih Taksiran Bersama, mereka boleh membuat pilihan di ruang yang disediakan, memilih Taksiran Bersama sama ada atas nama suami atau atas nama isteri. Jika suami atau isteri tidak membuat pilihan, maka akan dianggap sebagai Taksiran Berasingan.

Bagaimanapun, apabila Sistem Taksir Sendiri diperkenalkan kepada pembayar cukai individu mulai Tahun Taksiran 2004, suami dan isteri menerima Borang Nyata Cukai Pendapatan atas nama masing-masing.

Suami dan isteri dikehendaki mengisi borang masing-masing dan taksiran dilakukan secara berasingan. Namun begitu, suami atau isteri masih boleh memilih Taksiran Bersama dengan memaklumkannya dalam ruangan tertentu di borang masing-masing.

“Dengan adanya fail sendiri di kalangan isteri, mereka melakukan taksiran sendiri. Ini sekali gus meringankan beban masing-masing. Tanggungjawab suami dan isteri terhadap pendidikan anak atau lain-lain berkaitan keluarga yang mendapat pengecualian cukai boleh dibahagi dua.

“Bagi memastikan sama ada Taksiran Bersama atau Taksiran Berasingan, mana satu lebih menguntungkan, suami dan isteri perlu membuat perbandingan terlebih dulu sebelum membuat pilihan jenis taksiran.

“Masing-masing boleh memilih mana potongan cukai secara berasingan. Contohnya bagi insurans perubatan dan pendidikan anak, jika isteri sudah menuntut pengecualian cukai, maka suami tidak perlu,” katanya yang turut mengingatkan semua pembayar cukai supaya menunaikan tanggungjawab menghantar borang itu secepat mungkin dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter.

Mengulas mengenai kepatuhan dalam membayar cukai, Mohd Shukor berkata, berdasarkan pemerhatiannya memperlihatkan wanita lebih bagus menjalankan tanggungjawab itu. Mungkin ia boleh dikaitkan dengan sifat kewanitaan yang menyebabkan golongan itu lebih patuh.

LHDN mensasarkan kutipan hasil pendapatan lebih tinggi tahun ini iaitu sebanyak RM91 bilion berbanding RM86 tahun lalu.

INFO:

WANITA berkahwin boleh memilih membuat taksiran cukai secara bersama suami atau secara berasingan. Bagaimanapun, isteri digalakkan memilih taksiran berasingan. Ini kerana taksiran cukai secara berasingan, isteri mempunyai tanggungan dan hak yang sama seperti suami, dari segi tuntutan potongan, rebat cukai dan pengenaan cukai.

Tuntutan yang layak dibuat isteri:

1. Potongan untuk diri sendiri RM9,000. Jika individu itu kurang upaya, potongan tambahan dibenarkan sebanyak RM6,000 sejak 2006.

2. Potongan bagi yuran pendidikan untuk diri sendiri bagi mendapat kemahiran atau kelayakan dalam bidang teknikal, vokasional, industri, sains atau teknologi, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi di institusi yang diiktiraf kerajaan.

Bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (sebarang bidang atau kursus pengajian), potongan yang dibenarkan adalah sehingga maksimum RM5,000 dan tuntutan perlu disokong dengan resit asal.

3. Potongan perbelanjaan rawatan perubatan ibu bapa sehingga maksimum RM5,000 dan tuntutan disokong dengan resit asal.

4. Potongan perbelanjaan pembelian alat sokongan asas untuk diri sendiri, suami, anak atau ibu bapa yang cacat atau hilang upaya sehingga maksimum RM5,000.

5. Potongan perbelanjaan rawatan penyakit serius untuk diri sendiri, suami atau anak sehingga maksimum RM5,000. Isteri juga boleh menuntut potongan perbelanjaan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh yang dihadkan, maksimum RM500. Jumlah tuntutan belanja pemeriksaan kesihatan ini termasuk sebahagian daripada had potongan maksimum untuk belanja rawatan penyakit serius RM5,000.

6. Potongan RM6,000 bagi:
a) Caruman kepada kumpulan wang simpanan atau kumpulan wang pencen yang diluluskan, seperti Kumpulan
Wang Simpanan pekerja (KWSP).
b) Bayaran premium atas polisi insurans nyawa yang diambil atas nama diri sendiri, suami atau kedua-duanya.

7. Potongan bayaran premium insurans untuk pendidikan atau manfaat perubatan yang dihadkan tuntutan kepada maksimum RM3,000. Polisi insurans pendidikan atau manfaat perubatan adalah untuk diri sendiri, suami dan anak.

8. Potongan bagi perbelanjaan membeli buku, jurnal, majalah dengan had maksimum RM1,000.

9. Potongan atas faedah yang dibelanjakan untuk faedah pinjaman perumahan. Potongan cukai terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi tahun taksiran berturut-turut, bermula dari tarikh faedah mula dibayar.
Syarat kelayakan adalah seperti berikut:
a) Pemastautin warga negara Malaysia.
b) Pembelian rumah kediaman terhad pada satu unit saja.
c) Perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010; dan
d) Rumah kediaman tidak boleh disewakan.

10. Isteri boleh memilih menuntut keseluruhan atau sebahagian potongan untuk anak.

11. Isteri boleh membuat tuntutan potongan bagi bayaran premium anuiti yang dibeli melalui skim anuiti, yang disahkan oleh KWSP yang dihadkan kepada maksimum RM1,000.

12. Tuntutan rebat cukai sebanyak RM400 jika pendapatan bercukai tidak melebihi RM35,000.

13. Isteri layak menuntut rebat cukai atas bayaran zakat dan fitrah terhad kepada jumlah cukai dikenakan.

Jika seorang wanita itu bercerai dengan suaminya:

a) Status beliau akan kembali sebagai individu sebelum berkahwin. Fail cukai pendapatan sebelum dia berkahwin akan dibuka semula jika fail itu wujud sebelum perkahwinan. Jika tiada nombor rujukan lagi, wanita terbabit akan didaftarkan nombor rujukan yang baru.

b) Selepas mempunyai nombor fail pendapatan sendiri, dia akan mengisytiharkan pendapatannya sendiri (termasuk bayaran nafkah daripada bekas suami, jika ada) dan dikenakan cukai secara berasingan.

c) Jika bekas suami sama-sama menanggung perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak, masing-masing layak diberi potongan anak pada kadar 50 peratus daripada pelepasan anak yang layak dengan syarat mereka menyara anak itu dalam tahun asas tahun taksiran berkenaan.

Monday, March 9, 2015

Cukai Pendapatan dan Buku Akaun

Soalan : 

Assalamualaikum En Radzi 

Saya sekarang sedang menolong seorang kawan yang telah hampir setahun membuka syarikat sdn bhd dan mempunyai 2 pemegang saham. Saya telah diberitahu bahawa beliau tidak pernah membayar syarikat Income tax dan juga buku akaun syarikat tidak pernah dibuat. 

Di bawah saya ingin jelaskan isu tersebut.

1. Income tax company tidak dibayar hampir setahun. Adakah pembayaran income tax perlu dibayar sebulan, dan bagaimana situasi apabila tidak bayar hampir setahun? 

2. Syarikat Sdn Bhd mempunyai seorang pekerja yang melakukan tanggungjawab dalam pentadbiran syarikat dan beliau juga merupakan salah seorang pemegang saham. Perlukah mencarum KWSP dan SOCSO jikalau beliau adalah pemegang saham dan bekerja sendiri? 

3. Apakah yang saya perlu buat untuk akaun syarikat dan juga report yang diperlukan oleh auditor untuk audit tahunan. 

Saya harap En. Radzi dapat membantu menjelaskan isu tersebut. 

Terima Kasih.

Wassalam. 

Jawapan:

Assalamualaikum Puan,

Terima kasih atas soalan yang diberikan.

Untuk makluman Puan, setiap perniagaan yang dijalankan bertanggunggjawab untuk mendaftar di LHDN dan mematuhi segala pematuhan yang telah ditetapkan oleh LHDN. Oleh itu, setiap pendapatan yang diterima semasa perniagaan dijalankan perlu diisyhtiharkan ke LHDN. Cukai perniagaan bagi Syarikat Sdn. Bhd. akan jatuh diatas entiti Syarikat itu sendiri.


Pengiraan cukai Syarikat perlu dilakukan apabila audit dan akaun telah dibuat. Selepas Penyata Kewangan dikeluarkan, maka pengiraan cukai akan dilakukan untuk memastikan sama ada Syarikat dikenakan cukai atau tidak.

Borang cukai yang perlu dihantar ke LHDN ialah Borang C (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Syarikat di bawah Seksyen 77A Akta Cukai Pendapatan 1967) dan pembuat pemyaran cukai(sekiranya ada)dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup perakaunan. Pembayaran cukai bagi Syarikat perlu dilakukan selepas penghantaran borang cukai (sekiranya ada).

Selain Borang C, Syarikat juga mempunyai tanggungjawab untuk menghantar Anggaran Cukai Bulanan (CP204). Anggaran Cukai Bulanan merupakan anggaran Cukai Yang Kena Dibayar bagi tahun berikutnya dan seterusnya membuat bayaran bulanan berdasarkan anggaran tersebut. Syarikat dikehendaki mengemukakan anggaran cukai yang kena dibayar melalui Borang CP204 kepada LHDN tidak lewat daripada 30 hari sebelum bermula tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran. Untuk makluman, Syarikat yang tidak aktif tidak diwajibkan untuk menghantar Borang CP204 ini.

Pembayaran cukai secara bulanan adalah merujuk kepada Borang CP204. Tetapi pembayaran ini perlulah dilakukan sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ini ke LHDN. Jika tiada sebarang penghantaran Borang CP204 ke LHDN, maka Syarikat tidak perlu membuat bayaran secara bulanan tersebut. Tetapi sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ke LHDN dan tiada pembayaran dibuat, pihak Syarikat boleh dikenakan penalti diatas kegagalan membuat pembayaran bulanan tersebut.

Untuk pengetahuan pihak Tuan, Borang C dan Borang CP204 merupakan dua borang cukai yang berbeza.

2. Bagi persoalan mengenai KWSP dan SOCSO pula, sekiranya seseorang itu bekerja dan menerima gaji dari Syarikat tersebut, makanya seseorang itu perlulah mencarum KWSP dan SOCSO walaupun beliau merupakan seorang pemegang saham.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang :

3. Bagi proses penyediaan akaun Syarikat pula, pihak Syarikat perlu menyediakan semua dokumen yang berkaitan dengan perbelanjaan dan hasil jualan Syarikat. Contoh dokumen yang diperlukan bagi penyediakan akaun adalah seperti dilampiran 1.

Apabila proses penyediaan akaun telah selesai, maka Syarikat hendaklah memastikan bahawa akaun yang telah disediakan itu diaudit oleh juruaudit yang bertauliah. Audit tersebut hendaklah dilakukan bagi menghasilkan laporan kewangan beraudit dimana laporan tersebut perlu dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 169 (15 & 16) Akta Syarikat 1965.

Sekadar untuk makluman tambahan, walaupun akaun bank Syarikat tidak dibuka namun sekiranya terdapat transaksi perniagaan sama ada secara tunai atau pun menggunakan akaun bank pihak ketiga, ianya perlulah direkodkan.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Puan.


Sekian, terima kasih.

Friday, March 6, 2015

Bayar Cukai Guna Kad Kredit Jangan Sampai Jerat Diri

Bagi memberikan keselesaan kepada pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan membayar cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan debit Visa, Mastercard atau American Express yang dikeluarkan institusi perbankan di negara ini.

Ia adalah satu lagi tambahan dalam kaedah pembayaran yang diperkenalkan LHDN untuk memastikan urusan pembayaran cukai bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga lebih pantas.

Pada masa sama kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan menerusi portal Bayar Hasil, https://byrhasil.hasil.gov.my ini juga bermatlamat mewujudkan lebih banyak masyarakat tanpa tunai yang melakukan pembayaran secara dalam talian. 

Sasaran LHDN adalah untuk meningkatkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian pada tahun ini kepada 25 peratus berbanding hanya 13.1 peratus pada tahun lalu.

Dari segi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai, kita amat menyambut baik inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh LHDN ini.

Namun, walaupun kaedah ini adalah sesuatu yang amat memudahkan, mereka yang mahu menggunakannya perlu bijak dan berhemat. Kita tidak mahu nanti, ada yang berjaya melunaskan tanggungjawab mereka membayar cukai pendapatan, tetapi hutang pula bertambah yang seterusnya mungkin menjerat mereka, bahana penggunaan kad kredit.

Dalam hal ini, pembayar cukai seharusnya melihat penggunaan kad kredit ini semata-mata sebagai satu kaedah pembayaran yang memudahkan.

Justeru, jika mahu menggunakan kaedah ini, pastikan bayar semula secara penuh kepada bank pengeluar kad kredit dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak mereka akan dibebankan pula dengan caj faedah.

Lebih buruk lagi jika ia hanya menambah kepada jumlah hutang yang sudah sedia menimbun.

Sudah kerap kita mendengar ramai yang diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit.

Dalam hal ini kita tidak mahu pula mendengar adanya pembayar cukai menerima nasib yang sama gara-gara kemudahan yang disediakan ini.

Statistik Jabatan Insolvensi 2007 hingga 2013 menunjukkan 4,874 kes muflis adalah disebabkan hutang kredit. Selain itu, statistik juga menunjukkan 70 peratus mereka yang mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah bagi kaunseling menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Jika dilihat, memang mudah untuk membayar cukai secara dalam talian menggunakan kad kredit, tetapi seseorang itu harus mengelakkan diri daripada membayar cukai dengan berhutang atau pun mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan LHDN itu untuk membayar secara ansuran.

Kita tidak mahu kaedah ini nanti akan menjadikan seseorang itu seperti apa yang dikatakan, tutup lubang, gali lubang.

Thursday, February 26, 2015

PEMBAYAR CUKAI BOLEH GUNA E-FILING MULAI 1 MAC

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahun taksiran 2014 mereka melalui e-Filing bagi borang E, BE, B, BT, P,M, MT, TP, TF dan TJ mulai 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan di sini pada Selasa memaklumkan tarikh akhir pengemukaan BNCP tahun taksiran 2014 secara borang kertas (manual) bagi borang E adalah pada 31 Mac; borang BE, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan (30 April); borang B, P, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang menjalankan perniagaan (30 Jun).

"Pembayar cukai diminta segera mengemukakan BNCP mereka dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan," menurut kenyataan itu.

e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.

Aplikasi ini boleh dicapai terus melalui laman web ezHASiL di pautan htpps://ez.hasil.gov.my/ atau melalui portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-88-5436

Tuesday, February 24, 2015

Potongan Cukai Berjadual



Kuala Lumpur: Sebelum tahun taksiran 2014, individu yang bekerja perlu menghantar borang cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penilaian sama ada layak menerima bayaran lebihan baki cukai, tidak menerima atau melakukan pembayaran kepada agensi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata, bagaimanapun, kini individu bekerja boleh memilih sama ada mahu menghantar borang cukai atau sebaliknya.

“Ia boleh dilakukan hasil pengenalan konsep potongan cukai berjadual (PCB) sebagai cukai muktamad.

“Dalam konteks PCB sebagai cukai muktamad, setiap pembayar cukai boleh melakukan pengiraan sendiri pada 31 Disember setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, jika pembayar cukai berkenaan mendapati amaun dikira adalah tepat maka seseorang itu boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

Bagaimanapun, jika pembayar cukai mendapati amaun PCB dipotong lebih rendah berbanding cukai dikira atau amaun PCB lebih tinggi, maka mereka dinasihatkan supaya mengisi borang cukai seperti biasa.

“Jika ada lebihan cukai, LHDN akan membayar balik lebihan, tetapi jika sebaliknya, individu terbabit perlu membayar kembali kepada LHDN jumlah yang terkurang.

“Untuk membuat bayaran kepada LHDN, pembayar cukai perlu mengisi borang DE dan tarikh akhir menghantar borang DE ialah pada 30 April setiap tahun,” katanya.

Pembayar cukai lewat menghantar borang DE boleh dikenakan denda dan jumlahnya mengikut tempoh kelewatan iaitu antara 20 peratus hingga 35 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan.

Masrun berkata, untuk melayakkan pekerja memilih PCB sebagai cukai muktamad, mereka perlu memenuhi syarat ditentukan.

“Syarat utama ialah pekerja perlu memperoleh pendapatan hasil daripada satu sumber saja dan jika dia berkhidmat dengan dua majikan maka dia tidak boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

“Kedua, pekerja berkaitan membuat taksiran secara bersendirian dan bukannya dengan pasangan seperti isteri. Jika pasangan suami isteri mendaftarkan taksiran secara bersama maka mereka tidak layak untuk memilih PCB sebagai cukai muktamad,” katanya.

Saturday, February 14, 2015

Artikel : Jangan Tipu Taksiran Cukai


KUALA LUMPUR: Pembayar cukai dinasihatkan supaya lebih beramanah ketika membuat taksiran cukai bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia apabila akaun mereka diaudit setiap lima tahun sekali.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin berkata, selain memudahkan pembayar cukai, tindakan LHDN itu bagi melatih setiap pembayar cukai supaya lebih telus dan amanah.

“Saya nasihatkan mereka supaya tidak memalsukan deklarasi kerana LHDN memiliki sistem ‘check and balance’ (semak dan imbang) ke atas pengisytiharan yang dibuat.

“Janganlah nanti merungut apabila dikenakan penalti dan bayaran tambahan apabila LHDN mendapati pengisytiharan mereka berkurangan,” katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan ulang tahun ke-15, LHDN ,di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

KUALA LUMPUR: Pembayar cukai dinasihatkan supaya lebih beramanah ketika membuat taksiran cukai bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia apabila akaun mereka diaudit setiap lima tahun sekali.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin berkata, selain memudahkan pembayar cukai, tindakan LHDN itu bagi melatih setiap pembayar cukai supaya lebih telus dan amanah.

“Saya nasihatkan mereka supaya tidak memalsukan deklarasi kerana LHDN memiliki sistem ‘check and balance’ (semak dan imbang) ke atas pengisytiharan yang dibuat.

“Janganlah nanti merungut apabila dikenakan penalti dan bayaran tambahan apabila LHDN mendapati pengisytiharan mereka berkurangan,” katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan ulang tahun ke-15, LHDN ,di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Sempena ulang tahun itu, LHDN turut mengorak langkah dengan menjenamakan semula identitinya iaitu penukaran bendera, ikrar, lagu korporat, pakaian seragam dalam usaha menjadikan organisasi itu relevan dan kontemporari sesuai dengan perubahan dan kehendak semasa.

Buat julung kali juga, ia disiarkan secara lintas langsung ke semua jabatan LHDN di seluruh Malaysia.

Dr Awang Adek berkata, sebanyak 80 peratus kutipan LHDN disumbangkan oleh sektor korporat manakala selebihnya daripada kutipan individu.

“Walaupun individu dilihat sebagai pembayar cukai paling ramai iaitu dengan tiga juta orang, namun hasil pendapatan negara adalah hanya 20 peratus daripada kutipan.

“Sepanjang 15 tahun penubuhannya, organisasi ini mengutip cukai RM86.475 bilion dan sasaran dijangka meningkat RM5 bilion atas faktor ekonomi semasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Shukor berkata, pihaknya menyasarkan 2.2 juta pembayar cukai akan menggunakan kemudahan e-filing kerana ia lebih mudah, menjimatkan masa dan boleh digunakan di mana-mana saja.

“Sejak kami memperkenalkan e-filing, seramai 188,000 pembayar cukai menggunakan kemudahan ini, bagaimanapun ia meningkat ke 1.9 juta pengguna pada tahun lalu,” katanya.

Wednesday, February 11, 2015

Artikel : Penutupan Syarikat Sdn. Bhd.

RM5, 000 Pelepasan kepada Pengarah yang Menutup Syarikat
Dengan MARTIN Carvalho
malacca@thestar.com.my


Jasin: Pengarah syarikat yang tidak aktif yang telah gagal untuk menyerahsimpan laporan tahunan mereka kepada Pendaftar Syarikat (ROC) akan diberi pengurangan dari RM5, 000 ke atas kompaun yang dikenakan kepada mereka jika mereka secara sukarela menutup syarikat mereka.

Peraturan baru ini mulai berkuatkuasa serta merta dengan jangkaan ribuan pengarah yang terilibat mengambil kesempatan terhadap tawaran tersebut.

Mereka hanya perlu menulis ke SSM dan membayar yuran dikenakan RM120 untuk tujuan penutupan syarikat mereka.

Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelepasan ini diberikan berikutan banyak aduan daripada pengarah syarikat yang tidak aktif menerima kompaun terkumpul setelah gagal menyerahsimpan laporan tahunan syraikat mereka.

Ketika ini, seorang pengarah syarikat perlu membayar denda sebanyak RM5,000 walaupun syarikat ditutup tanpa liabiliti.

"Pengarah yang ingin menutup syarikat yang tidak aktif mereka hanya perlu menulis untuk memberitahu kepada SSM akan niat mereka dan denda akan dikurangkan," katanya kepada wartawan ketika melawat media oleh pusat-pilihanraya di Merlimau terakhir.

Dia mengatakan ada contoh orang yang tanpa disedari atau digunakan sebagai pengarah syarikat bersama rakan-rakan.

Tiga tahun kemudian, mereka mendapati diri mereka menghadapi kompaun yang terkumpulul sebanyak RM15, 000 kerana pihak Syarikat tidak menyerahsimpan laporan tahunan syarikat .

"Ketika kami memperkenalkan kaan polisi ini yang dilaksanakan pada tahun 2006 (untuk syarikat untuk dilikuidasi), kami menerima sekitar 40.000 permohonan setiap tahun bagi syarikat untuk dilikuidasi.

"Para pengarah masih perlu membayar kompaun tersebut," katanya.

Tuesday, February 10, 2015

LHDN Kutip RM115 Bilion Cukai Setakat Awal Disember



LHDN Mencatat Kutipan Sebanyak RM115 Bilion Cukai Setakat Awal Disember

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan sebanyak RM115 bilion sehingga awal Disember lalu yang merupakan jumlah kutipan tertinggi pernah dicapai badan itu, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata berdasarkan rekod itu, pihaknya yakin sasaran RM123 bilion kutipan cukai sehingga akhir tahun ini dapat dicapai.

"Pada tahun lalu, LHDN berjaya memecah kebuntuan kutipan cukai daripada dua digit bilion kepada tiga digit bilion iaitu RM109.6 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah percukaian negara. Usaha ini diteruskan tahun ini dengan tema 'Meneroka Lautan Biru: Zon Kutipan Cukai Tiga Digit' untuk mengenal pasti ruang-ruang baru penjanaan sumber pendapatan negara bagi mengekal dan meningkatkan lagi kutipan cukai langsung," katanya berucap dalam majlis Bicara Bersama Negarawan: Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, Isnin.

Dr Mohd Shukor berkata tema 'Menerajui dan Mengurus Perubahan' ditetapkan sebagai asas perjuangan untuk tahun depan bagi mencapai kutipan cukai yang lebih tinggi.

Sementara itu Dr Mahathir berkata selain membantutkan pembangunan negara, kegagalan kerajaan memungut cukai boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain termasuk meningkatkan kadar rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, apabila kerajaan tidak mempunyai hasil yang secukupnya, maka gaji yang lebih tinggi tidak dapat diberi kepada penjawat awam sekali gus akan memaksa mereka mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan termasuk menerima rasuah.

"Kalau ini berlaku, maka pendapatan kerajaan tidak akan meningkat dan gaji juga tak akan bertambah maka ia akan jadi satu putaran berulang," katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan LHDN agar tidak mengamalkan tindakan 'keras' ketika melaksanakan amanah mengutip hasil daripada pihak tertentu kerana ia hanya akan menyebabkan berlakunya rasuah.

"Kuasa ni jangan melampaui batas, jangan salah guna seperti rampas buku akaun, kalau tak perlu jangan buat tindakan terlalu keras. Gunakan kuasa untuk mengutip hasil bukannya menindas orang lain," katanya.


Friday, February 6, 2015

Artikel : Pemberi Maklumat Cukai

Ganjaran Untuk Pemberi Maklumat Cukai


Oleh WONG PEK MEI


PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberi ganjaran dan melindungi identiti mereka yang menyediakan maklumat dan dokumen-dokumen pada mereka yang mengelak membayar cukai.

“Mereka yang mampu menyediakan bukti konkrit, boleh dipercayai dan tepat yang orang komited satu jenayah oleh bukan membayar atau di bawah mengisytiharkan cukai mereka akan menerima ganjaran,” kata Pengarah Komunikasi Korporat LHDN, Mazlan Wan Chik.

Dalam satu temubual, Mazlan berkata LHDN akan menjaga identiti pemberi maklumat sebagai yang telah ditetapkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan makluamt itu tidak akan dikongsi dengan pihak ketiga.

“Beberapa kes mungkin melibatkan tokoh terkemuka, oleh itu pengadu takut untuk membuat aduan. Kami akan mengawal untuk memastikan bahawa tindakan yang diambil tidak akan menjurus kepada identiti pemaklum,” katanya.

Tindakan itu yang telah diwartakan pada bulan Jun tahun lepas dan dikuatkuasakan pada 15 Disember, bertujuan untuk melindungi individu-individu yang mendedahkan maklumat pada amalan rasuah atau kelakuan tak senonoh dalam sektor swasta dan awam.

Mazlan berkata LHDN menerima lebih kurang 650 laporan tahun lalu mengenai kegagalan mereka yang tidak membayar cukai. Pada 2009, sejumlah 500 laporan telah diterima.

“Semua 650 laporan telah dijelaskan,” katanya yang menyeru lebih ramai akan tampil untuk mengadu kesalahan sedemikian.

Pengelak cukai biasanya akan memberi alasan bahawa mereka tahu bagaimana untuk lari daripada membayar cukai kepada LHDN.

Ditanya mengenai unit khas LHDN memantau mereka yang menjadi jutawan melalui skim jualan langsung atau MLM, beliau berkata, sebuah unit akan mengawasi pergerakan mereka dan pendapatan mereka.

Katanya pejabat-pejabat LHDN di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang akan menumpukan lebih pada MLM sebagai perniagaan ini berleluasa di sana.

Mereka yang didapati bersalah mengelak membayar cukai boleh dikenakan di bawah Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan. Pesalah boleh didenda antara RM1,000 dan RM20,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga perlu membayar tiga kali jumlah cukai yang dikenakan.

Untuk maklumat pada bagaimana untuk mengemukakan satu laporan mengenaipengelak cukai atau mereka yang gagal mengisytiharkan cukai mereka, layari ke www.hasil.org.my

Thursday, February 5, 2015

Artikel : Ramai merungut potongan PCB



KUALA LUMPUR: Golongan pekerja digalak membuat tuntutan pelepasan cukai secara bulanan melalui majikan masing-masing, selain menyemak sendiri sama ada ia sudah dipotong dan diremitkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) selewat-lewatnya pada 10 hari terawal setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan masalah tunggakan cukai, mengelak pembayar cukai daripada berhutang dengan LHDN dan mengurangkan kos kerajaan untuk memproses bayaran balik kepada pembayar cukai.

Beliau berkata, ia boleh dicapai dengan syarat pembayar cukai perlu memastikan tuntutan pelepasan mereka adalah tepat dan sebarang pindaan serta tuntutan pelepasan perlu dimaklumkan kepada bahagian gaji majikan masing-masing.

“Melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB), kami memberi arahan kepada majikan untuk membuat potongan sewajarnya dan meremit kepada LHDN selewat-lewatnya 10 hari bulan setiap awal bulan, di mana ia membolehkan pembayar cukai menuntut pelepasan cukai dan rebat sebelum cukai sebenar ditaksirkan.

“PCB adalah tanggungjawab majikan sepenuhnya dan LHDN langsung tidak masuk campur atas tindakan pemotongan PCB, kami hanya bertanggungjawab menyediakan garis panduan, polisi serta memantau sama ada majikan patuh dengan ketetapan yang dibuat.

“Selebihnya adalah tanggungjawab pembayar cukai untuk memastikan segala potongan cukai mereka melalui PCB adalah betul dan tepat,” katanya ketika sidang media khas mengenai isu PCB di pejabat LHDN Malaysia, di sini semalam.

Mohd Shukor berkata, bagi pekerja yang mengisi borang secara e-filing, mereka boleh memeriksa potongan PCB melalui e-lejar di laman web www.hasil.gov.my bagi memastikan majikan sudah membuat potongan dan diremit ke LHDN.

Katanya, sekiranya didapati majikan tidak membuat sebarang potongan atau ia tidak diremit kepada LHDN, pekerja boleh membuat aduan kepada pihak LHDN.

Beliau berkata, PCB membolehkan pembayar cukai menikmati manfaat potongan, pelepasan dan rebat yang dibenarkan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 sebaik saja ia dibelanjakan.

“Masih ramai golongan pekerja tidak memahami kaedah PCB apabila kebelakangan ini rungutan yang diterima meningkat dari 13,598 aduan pada 2009 kepada 17,289 pada tahun lalu, berikutan rasa tidak puas hati mengenai PCB terlalu tinggi dikenakan atas mereka terutama pada Disember 2010 dan Januari lalu,” katanya.

Katanya, majikan yang masih tidak memahami kaedah pengiraan PCB, boleh menghubungi LHDN untuk taklimat dan majikan yang menggunakan kaedah pembayaran gaji berkomputer diwajibkan menggunakan kaedah ini dengan mendapat spesifikasi serta pengesahan LHDN.

Beliau berkata, potongan dan pelepasan rebat pilihan boleh dituntut pekerja dengan mengisi borang TP1 yang boleh dimuat turun melalui laman web LHDN Malaysia, dalam mana-mana bulan yang dipersetujui oleh majikan.

Harian Metro

Wednesday, February 4, 2015


LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menghentikan ‘serangan keganasanan cukai’ terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebaliknya menyiasat mereka yang telah membuat ‘sumbangan’ haram kepada BN atau memiliki kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini bagi membuktikan LHDN adil, tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

Begitupun, katanya DAP mengalu-alukan usaha LHDN untuk meningkatkan hasil cukai melalui keuntungan produktiviti dan memantapkan pematuhan cukai.

“Ini tidak sepatutnya mengakibatkan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk siasatan untuk kes cukai yang melebihi 6 tahun yang lampau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Demi kepentingan undang-undang, katanya sebarang peningkatan dalam pengutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.

LHDN telah berjaya meningkatkan pengutipan hasil cukai pendapatan korporat daripada RM36.3 bilion pada tahun 2010 kepada RM46.9 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 29% serta peningkatan hasil cukai pendapatan individu daripada RM17.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM20.2 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 13.5%. Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5% kepada RM54.1 bilion pada tahun 2012 manakala cukai pendapatan individu dijangka meningkat 11.1% kepada RM22.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.
Namun demikian, kata beliau komitmen baru oleh LHDN ini tidak harus menjadi alasan untuk memburu orang dengan sewenang-wenangnya.

Ini, ujarnya termasuk mengejar cukai lama yang melebihi 6 tahun serta penggunaan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menakuti PKS untuk ‘melangsaikan’ tuntutan tertunggak.

Tambahnya, PKS yang merupakan tunjang belakang ekonomi kita, juga menghadapi cabaran-cabaran domestik seperti pematuhan kepada Akta Saingan Adil 2010 dan persediaan untuk pelaksanaan gaji minima tahun ini.

Lim berkata, daripada menggunakan taktik keras dan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap PKS dan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk membuli NGO seperti Suaram, LHDN sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersifat adil dengan menyiasat ‘sumbangan’ RM40 juta kepada Umno melalui Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mereka yang terlibat dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ serta kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin BN seperti Ketua Menteri Sarawak.

Katanya lagi, DAP menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pemindaan kepada Akta Pembatasan 1953 supaya agensi-agensi kerajaan seperti LHDN tidak diberi carte blanche untuk menyiasat tuntutan cukai tanpa statut pembatasan.

DAP, ujar beliau mencadangkan bahawa 6 tahun yang kini digunakan sebagai status pembatasan untuk syarikat-syarikat swasta yang ingin medapatkan tuntutan di bawah Akta Pembatasan 1953 juga diterima pakai oleh LHDN.

 “DAP juga menyeru agar kerajaan mempertimbangkan ‘pengampunan’ bagi cukai-cukai melebihi 6 tahun yang tidak dibayar untuk membantu PKS melalui keadaan ekonomi semasa yang susah ini,” katanya yang juga Ketua menteri Pulau Pinang.

Monday, February 2, 2015

MPS catat kutipan cukai tertinggi




Selayang: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatat kutipan cukai taksiran tertinggi setakat ini dengan membabitkan pungutan sebanyak RM90.3 juta daripada jumlah keseluruhannya iaitu RM94.1 juta.

Yang Dipertuanya Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan merangkumi 95.91 peratus daripada jumlah sepatutnya dikumpul sepanjang tempoh 2014 lalu.

Katanya, jumlah itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan terhadap kadar kutipan cukai, malah turut menunjukkan perkembangan positif dalam sistem kutipan MPS.

“Ini antara perkembangan positif yang harus dikekalkan khususnya dalam aspek pengurusan kutipan. Selain daripada jumlah itu, kutipan tunggakan cukai sebanyak RM12 juta juga berjaya dikutip.

“Malah MPS turut mengeluarkan 32,097 waran tahanan sehingga 31 Disember lalu. Waran tahanan ini dikeluarkan bagi pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 ke atas bermula 1 Oktober lalu,” katanya pada majlis perpisahan timbalannya, Mohamad Zain A Hamid, di Dewan MPS di sini, semalam.

Tuesday, January 27, 2015

Tidak Declare Tax

From : Pn. xxxxxxx
To : mr.radzi@yahoo.com
Subject : Tidak declare tax



SOALAN

As-salam, Saya dah bekerja selama 8 tahun tapi x pernah declare tax. tapi PCB ada potong setiap bulan selama tempoh saya bekerja. Adakah saya akan didenda jika declare sekarang. Saya ada cuba isi efiling, nampaknya byk lebihan bayar. Adakah saya tetap akan didenda walaupun saya menyumbangkan jumlah cukai yang lebih?

JAWAPAN
Salam Puan, Terima kasih atas soalan yang diberi. 

Setiap Individu yang menerima sebarang pendapatan di dalam Malaysia perlu mengisytiharkan pendapatan tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Untuk makluman, penalti boleh dikenakan ke atas Individu yang gagal untuk mengisytiharkan pendapatan mereka kepada LHDN atas kesalahan tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 112(1), Akta Cukai Pendapatan 1967. 

Sekiranya selepas Puan menghantar borang cukai dan mempunyai lebihan bayaran daripada hasil potongan PCB yang telah dibuat, maka Puan bolehlah menuntut semula lebihan tersebut daripada LHDN. Pihak LHDN akan memulangkan lebihan bayaran tersebut setelah segala penolakan termasuk Cukai Perlu Dibayar bagi setiap Tahun Taksiran dan penalti lambat hantar dan bayar(sekiranya ada Cukai Perlu Dibayar). 


Sekadar untuk makluman, walaupun Puan menyatakan bahawa Puan telah membuat bayaran lebih, tetapi pihak LHDN akan menyemak semula dan mengemaskini status kedudukan cukai Puan dahulu. Jika mereka bersetuju bahawa terdapat lebihan bayaran, maka barulah mereka akan memulangkan lebihan bayaran tersebut. 


Selain itu, jika Pihak Puan merupakan penjawat awam, Puan akan menghadapi kesulitan ketika bersara disebabkan oleh tidak pernah menghantar Borang Cukai ke LHDN. 

Oleh itu, adalah dinasihatkan kepada Puan supaya menghantar Borang Cukai bagi mengelakkan sebarang masalah dikemudian hari. Semoga jawapan ini dapat membantu.

Terima kasih.

Monday, January 26, 2015

Perbelanjaan Persendirian ataupun Perbelanjaan Perniagaan ?


SOALAN

Selamat sejahtera Mr. Radzi.

Saya ingin bertanyakan tentang penyediaan akaun bagi perniagaan enterprise.

Adakah perbelanjaan pemilik sama dengan perbelanjaan perniagaan seperti perbelanjaan makanan, telefon dan perbelanjaan melancong serta perbelanjaan peribadi pemilik. bagaimana kita treat perbelanjaan tersebut. masukkan dalam penyediaan penyata kewangan ataupun tidak.?

Terima Kasih.

JAWAPAN

Salam Puan,

Untuk makluman Puan, perbelanjaan persendirian pemilik bagi Perniagaan Milikan Tunggal adalah tidak sama dengan perbelanjaan perniagaan. Hal ini adalah kerana, perbelanjaan perniagaan adalah bermaksud perbelanjaan yang dikeluarkan semata-mata untuk menghasilkan pendapatan bagi Perniagaan tersebut. Perkara ini tertakhluk dibawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan 1967 dimana ia menyatakan bahawa hanya perbelanjaan yang sepenuhnya diguna atau ‘wholly and exclusively’ untuk perniagaan.

Oleh itu, setiap perbelanjaan yang bersifat persendirian seperti perbelanjaan oleh pemilik perniagaan tidak boleh dimasukkan ke dalam Penyata Untung Rugi perniagaan. Sekiranya dimasukkan, maka segala perbelanjaan persendirian tersebut akan dilaraskan semula dan ditambah ketika proses pengiraan cukai nanti. Hal ini kerana pengiraan cukai pendapatan adalah berdasarkan Penyata Untung Rugi perniagaan. Hanya perbelanjaan yang berkaitan dengan perniagaan sahaja dibenarkan sebagai penolakan dalam pengiraan cukai pendapatan.

Jika Puan merekodkan perbelanjaan bagi tujuan persendirian tersebut sebagai salah satu perbelanjaan di Penyata Untung Rugi, maka Puan perlu mengambil kira ia sebagai perbelanjaan tidak dibenarkan.

Diharap jawapan ini dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan Puan.

Terima kasih.

Tuesday, January 13, 2015

Penggunaan maklumat dalam borang B untuk buat Penyata Pendapatan dan kunci kira-kira


From: XXXXXX
To: mr.radzi@yahoo.om
Subject: Penggunaan maklumat dalam borang B untuk buat Penyata Pendapatan dan kunci kira-kira

SOALAN

Salam En Radzi...saya ingin bertanya bolehkah Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-kira yang ada dalam borang B digunakan untuk buat Penyata Pendapatan dan kunci kira-kira yang sah untuk syarikat..syarikat saya adalah sebuah syarikat enterprise yang menjalankan franchise...
harap tuan dapat membantu selesaikan masalah saya.

JAWAPAN

Salam Puan,

Terima kasih diatas soalan yang diberikan.

Untuk makluman Puan, setiap Individu yang menjalankan Perniagaan adalah dinasihatkan untuk menyediakan akaun perniagaan bagi mendapatkan Penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira. Semua maklumat ini akan diisi ke dalam Borang B seperti yang dilakukan oleh Puan.

Berdasarkan situasi Puan yang ingin menggunakan maklumat yang terdapat didalam Borang B sebagai Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira adalah tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya maklumat yang di isytihar didalam borang tersebut adalah tepat. Ini adalah kerana, sekiranya maklumat tersebut tidak tepat, maka ianya boleh memberi masalah kepada Puan di masa hadapan jika pihak LHDN meminta maklumat selanjutnya.

Oleh itu, adalah dinasihatkan agar Puan untuk menyediakan akaun bagi Perniagaan terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang tepat. Maklumat ini yang perlu diisi kedalam Borang B dan perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang. Contoh dilampiran 1 adalah proses yang perlu dilalui bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk Borang B.

Sekiranya perlu, pihak Puan boleh mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih arif seperti akauntan, dalam perkara-perkara berkaitan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira Perniagaan Puan.

Diharap jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu puan.
Sekian, Terima kasih.