LHDN: Henti ‘serang’ PKS, siasat kekayaan luar biasa
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus menghentikan ‘serangan keganasanan cukai’ terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebaliknya menyiasat mereka yang telah membuat ‘sumbangan’ haram kepada BN atau memiliki kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini bagi membuktikan LHDN adil, tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.
Begitupun, katanya DAP mengalu-alukan usaha LHDN untuk meningkatkan hasil cukai melalui keuntungan produktiviti dan memantapkan pematuhan cukai.
“Ini tidak sepatutnya mengakibatkan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk siasatan untuk kes cukai yang melebihi 6 tahun yang lampau,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Demi kepentingan undang-undang, katanya sebarang peningkatan dalam pengutipan cukai tidak seharusnya diperolehi daripada penindasan sektor tertentu sementara mereka yang mempunyai kabel politik dilepaskan.
LHDN telah berjaya meningkatkan pengutipan hasil cukai pendapatan korporat daripada RM36.3 bilion pada tahun 2010 kepada RM46.9 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 29% serta peningkatan hasil cukai pendapatan individu daripada RM17.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM20.2 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan 13.5%. Cukai pendapatan korporat dijangka meningkat 15.5% kepada RM54.1 bilion pada tahun 2012 manakala cukai pendapatan individu dijangka meningkat 11.1% kepada RM22.4 bilion dalam tempoh masa yang sama.
Namun demikian, kata beliau komitmen baru oleh LHDN ini tidak harus menjadi alasan untuk memburu orang dengan sewenang-wenangnya.
Ini, ujarnya termasuk mengejar cukai lama yang melebihi 6 tahun serta penggunaan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menakuti PKS untuk ‘melangsaikan’ tuntutan tertunggak.
Tambahnya, PKS yang merupakan tunjang belakang ekonomi kita, juga menghadapi cabaran-cabaran domestik seperti pematuhan kepada Akta Saingan Adil 2010 dan persediaan untuk pelaksanaan gaji minima tahun ini.
Lim berkata, daripada menggunakan taktik keras dan ‘serangan keganasan cukai’ terhadap PKS dan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk membuli NGO seperti Suaram, LHDN sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersifat adil dengan menyiasat ‘sumbangan’ RM40 juta kepada Umno melalui Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mereka yang terlibat dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ serta kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin BN seperti Ketua Menteri Sarawak.
Katanya lagi, DAP menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pemindaan kepada Akta Pembatasan 1953 supaya agensi-agensi kerajaan seperti LHDN tidak diberi carte blanche untuk menyiasat tuntutan cukai tanpa statut pembatasan.
DAP, ujar beliau mencadangkan bahawa 6 tahun yang kini digunakan sebagai status pembatasan untuk syarikat-syarikat swasta yang ingin medapatkan tuntutan di bawah Akta Pembatasan 1953 juga diterima pakai oleh LHDN.
“DAP juga menyeru agar kerajaan mempertimbangkan ‘pengampunan’ bagi cukai-cukai melebihi 6 tahun yang tidak dibayar untuk membantu PKS melalui keadaan ekonomi semasa yang susah ini,” katanya yang juga Ketua menteri Pulau Pinang.