Monday, November 21, 2016

Kos Penampilan Diri Memang Diberi Pelepasan Cukai

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan pihaknya memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan artis atau selebriti tempatan, sama seperti individu awam lain sejak lama dulu. 


Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrum Maslim berkata, potongan cukai diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan artis untuk tujuan pekerjaan termasuk upah jurusolek dan gaji pengurus. 

"Bagaimanapun, tidak ada pengecualian cukai diberi. Sebaliknya, potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk sewa pakaian, upah jurusolek, gaji pengurus, kos untuk ke lokasi penggambaran atau persembahan serta beberapa perbelanjaan lain berkaitan kerja. 

"Ramai golongan seni tidak tahu dan tidak membuat tuntutan ke atas perbelanjaan dikeluarkan. Apa yang diperlukan, hanyalah resit perbelanjaan dalam tempoh setahun yang berkaitan urusan kerja," katanya kepada BH Online. 

Sejak semalam, netizen hangat memperkatakan mengenai kenyataan pelakon dan usahawan jelita, Nora Danish berhubung isu percukaian golongan selebriti. Pandangan Nora bahawa artis perlu sentiasa tampil menarik bagi memenuhi tuntutan kerjaya mereka, menimbulkan pelbagai reaksi peminat dan pembayar cukai. 

Masrum berkata, pengurus artis perlu menitik berat hal berkaitan cukai pendapatan selebriti. "Jika tidak, inilah yang menjadi punca mengapa ada artis tidak tahu mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik ke atas perbelanjaan dikeluarkan," katanya. 

Menyentuh mengenai sekatan ke luar negara yang dikenakan terhadap artis, Masrum berkata LHDN mengenakan sekatan kepada semua rakyat yang gagal mengisytiharkan cukai pendapatan dan tidak mengemukakan bukti atau resit perbelanjaan mereka. 

"Bukan tidak membayar cukai, tetapi lebih kepada gagal mengemukakan bukti perbelanjaan atau dokumen mereka tidak lengkap. Itu membuatkan ada artis yang disekat daripada terbang ke luar negara. 

"Bukan saja tuntutan ke atas perbelanjaan berkaitan kerja, mereka juga boleh menuntut perbelanjaan lain seperti insurans, perubatan, perbelanjaan anak dan sebagainya seperti individu lain," katanya. Sambil menasihatkan golongan seni agar mengambil berat dan bertanggungjawab dalam membayar cukai, 

Masrum berkata tiada pengecualian atau keistimewaan yang diberi kepada artis. "Ini bagi mengelak artis daripada dihalang ke luar negara yang boleh menyulitkan mereka melakukan urusan pekerjaan di seberang laut," katanya.