KUALA LUMPUR: Kutipan cukai langsung pada 2016 dijangka menurun lagi akibat
keadaan ekonomi tidak menentu dan kejatuhan harga minyak, kata Ketua Pegawai
Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.
Mohd Shukor bagaimanapun berkata, pihaknya optimis untuk mengekalkan
angka kutipan tiga digit bagi tahun ini.
"Sasaran (kutipan cukai) bagi 2016 adalah lebih rendah
sedikit berbanding 2015 kerana akibat kejatuhan harga minyak, kerajaan
bersetuju untuk kita meminda jumlah yang lebih rendah berbanding 2015.
"Bagaimanapun kita mempunyai masa dua bulan lagi untuk
meneruskan usaha-usaha (perolehan kutipan cukai)," katanya kepada
pemberita selepas majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2016 di sini,
Khamis.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee
Leong.
Terdahulu, dalam ucapan Chee Leong berkata, LHDN berjaya mengutip
kutipan cukai langsung berjumlah RM121.236 bilion pada 2015.
Sejak kegawatan ekonomi melanda negara pada 1997, LHDN mencatatkan
kutipan tiga digit bermula 2011 berjumlah RM109.609 bilion, dan jumlahnya terus
meningkat sehingga 2014 dengan RM133.7 bilion.
Menurut Laporan Ekonomi 2016, kutipan cukai langsung bagi tahun ini
dijangka berjumlah RM115 bilion.
Mohd Shukor berkata, selain kejatuhan harga minyak, senario dua tahun
kebelakangan ini disebabkan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada
1 April 2015.
Dengan pengenalan GST, katanya, kerajaan menurunkan kadar cukai
pendapatan yang mendorong kepada penurunan jumlah kutipan cukai.
"Kita berharap apabila GST dapat distabilkan, keadaan ekonomi
akan pulih semula dan LHDN akan meneruskan usaha untuk memastikan kejatuhan
harga minyak tidak memberi kesan negatif kepada pungutan cukai," ujar Mohd
Shukor.
Menurut Mohd Shukor, pelbagai usaha untuk memastikan kutipan cukai
pada 2016 kekal dengan tiga digit iaitu lebih RM100 bilion.
Beliau menambah, antaranya adalah pengubahsuaian Bajet 2016 awal tahun
ini dan tawaran pengurangan penalti bagi pengakuan secara sukarela pembayar
cukai dan pengelak cukai.
"Kita dapati bila pengakuan secara sukarela diperkenalkan pada
2015, LHDN memperoleh tambahan RM1 bilion di kalangan pembayar cukai.
"Bagi tahun ini, kita berharap terdapat pertambahan jumlah
kutipan menerusi pengakuan secara sukarela. Dengan pertambahan itu, maka
keadaan tidak begitu teruk," katanya.
Awal tahun ini, LHDN menawarkan pengurangan penalti pada kadar
tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac sehingga
15 Disember.
Ia bertujuan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela
melaporkan pendapatan tahun ke belakang dan menyelesaikan jumlah tunggakan
cukai.