Monday, October 28, 2013

MAKLUMAN KEMPEN PERINGATAN CUKAI TERTUNGGAK MELALUI TELEFON



Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa, mulai 7 Oktober 2013 satu kempen peringatan cukai tertunggak akan dilaksanakan di seluruh negara.

Kempen ini akan berlangsung setiap hari kecuali pada hari Sabtu. Waktu operasi kempen adalah seperti berikut:  

Hari
Waktu
Isnin - Jumaat
9.00 pagi – 7.00 malam
Ahad
9.00 pagi – 6.00 petang

 Kempen ini merupakan satu langkah proaktif LHDNM dalam memberikan peringatan kepada pembayar cukai yang masih mempunyai baki cukai tertunggak agar segera menjelaskan tunggakan tersebut.  

Pembayar cukai juga akan diberikan khidmat nasihat yang sewajarnya berkenaan dengan permohonan bayaran cukai secara ansuran sekiranya mereka menghadapi kesulitan untuk menjelaskan tunggakan cukai tersebut sekaligus. Justeru, LHDNM berharap agar pembayar cukai yang dihubungi dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada pegawai yang menghubungi mereka.

Sebagai langkah keselamatan dan untuk mengelakkan penipuan daripada panggilan palsu, pembayar cukai yang dihubungi boleh membuat pengesahan amaun baki cukai tertunggak mereka dengan LHDNM terlebih dahulu sebelum membuat bayaran. Bayaran cukai tertunggak tersebut pula hendaklah dibuat terus ke akaun LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA. Pembayar cukai adalah dilarang untuk membuat bayaran atas nama orang perseorangan atau penerima selain daripada LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA.

Sebagai kemudahan dalam membuat bayaran, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan e-Bayaran LHDNM melalui aplikasi ezHasil di Portal Rasmi LHDNM www.hasil.gov.my.

 Sekian, harap maklum.