Wednesday, April 7, 2010

Artkel : Istihar Cukai - E-Filing



e-Filing mudahkan pembayar cukai
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

________________________________________


TAHUN ini genap tiga tahun, Nor Lyanna Shorlokman, 27, menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia iaitu melakukan proses mengisi borang nyata cukai pendapatan.
Sebaik menerima borang EA daripada pihak sumber manusia majikannya, tanpa melengah anak kelahiran Muar, Johor itu segera menyempurnakan proses berkenaan.
"Saya mula melakukan proses mengisi borang nyata cukai pendapatan sejak tahun kedua bekerja. Berdasarkan gaji yang diperoleh saya dikira layak. Inisiatif ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa tetapi ia lahir daripada diri sendiri yang ingin menyumbang kepada negara.
"Lagipun, saya difahamkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak mengambil tindakan dengan menyenaraihitam individu yang didapati sengaja mengelak daripada mengisytiharkan cukai pendapatan," jelas Nor Lyanna atau mesra disapa Lyanna, graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Tambah eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta itu, golongan anak-anak muda yang sudah bekerja dan layak membayar cukai seharusnya mengisytiharkan cukai pendapatan.
Jelas Lyanna, masih ramai golongan muda mengambil sikap sambil lewa, barangkali kurang pendedahan dan tidak mengetahui impak negatif kepada diri sendiri serta negara.
"Saya fikir, LHDN patut menggiatkan lagi usaha mengadakan kempen-kempen, bengkel atau membuka kaunter bagi menjelaskan kepada eksekutif muda tentang kepentingan mengisytiharkan cukai pendapatan. Kempen ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa tiga bulan sebelum tempoh proses itu dibuka.

HASIL cukai yang diperoleh daripada masyarakat yang layak membantu menyumbang pada meningkatkan taraf ekonomi negara
________________________________________


"Selain menekankan matlamat, objektif proses mengisi borang dan mengisytihar cukai pendapatan, saya juga berharap LHDN menerangkan lebih lanjut mengenai sistem e-Filling. Berdasarkan pengalaman peribadi pada mulanya memang sukar untuk mengisi borang dalam talian tetapi segala proses menjadi mudah dan lancar apabila mendapat tunjuk ajar daripada petugas LHDN," tutur Lyanna yang mengkhusus jurusan pengiklanan.
Bagi Norseha Jamaludin, 52, pula dia berasa lega setiap kali selepas melakukan proses mengisi borang cukai pendapatan. Anak kelahiran Selangor itu cukup memahami bahawa setiap hasil cukai yang dikutip LHDN sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi negara.
"Saya jarang menunggu sehingga ke saat akhir kerana tidak mahu berdepan dengan kesesakan talian. Kebiasaannya, saya lebih selesa melakukan proses mengisytihar cukai pendapatan menggunakan e-Filling di kaunter LHDN kerana mendapat bantuan daripada petugas.
"Jika di rumah atau di pejabat segala kemusykilan sukar untuk diutarakan. Menariknya, jika kita mengisi dan menghantar cukai pendapatan sebelum tempoh berakhir, dalam masa dua minggu pengguna menerima wang lebihan cukai," ulas guru Matematik dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur itu.
Secara ringkasnya, mengisytihar dan membayar cukai pendapatan merupakan tanggungjawab bersama memandangkan ia merupakan satu mekanisme perkongsian sumber kekayaan bagi setiap rakyat. Proses tersebut tidak boleh dipandang enteng. Masyarakat yang layak membayar cukai berdasarkan jumlah gaji dan pendapatan yang diperoleh perlu menjalankan tanggungjawab itu setiap tahun.
Proses memberangsangkan
Hasil pungutan cukai berkenaan digunakan untuk menjana ekonomi dan infrastruktur negara seperti membaiki dan menambahbaik kemudahan awam.
Dalam pada itu, Pengarah LHDN cawangan Jalan Duta, Er Lee Keng, memuji tindakan pembayar cukai yang telah selesai proses mengisi dan menghantar borang nyata cukai pendapatan.

PROSES nyata cukai pendapatan menggunakan kaedah e-Filling lebih, tepat dan selamat.
________________________________________


"Sejak proses mengisi borang cukai pendapatan secara e-Filling dibuka pada 1 Mac lalu, saya lihat pembayar cukai mula menghantar borang cukai pendapatan pada kadar segera. Proses ini dilihat semakin memberangsangkan apabila 80 peratus pengguna menggunakan sistem e-Filling berbanding secara manual.
"Kemudahan sistem e-Filling memberikan impak positif pada proses mengisytihar cukai pendapatan. Menerusi kaedah e-Filling mereka berpeluang melaksanakannya di mana-mana saja dalam tempoh 24 jam. Asalkan, mempunyai komputer dan Internet," tutur Lee Keng yang turut menyatakan kini tiada alasan bagi pembayar cukai untuk bersesak-sesak atau beratur panjang di kaunter manual LHDN.
Selain itu, Lee Keng menyeru agar semua pembayar cukai individu yang tidak mempunyai pendapatan sampingan supaya menghantar segera borang cukai pendapatan sebelum 30 April 2011.
"Ia bagi mengelakkan kesesakan talian dan pada masa yang sama memudahkan pihak kami menguruskan pembayaran semula lebihan cukai kepada mereka jika ada. Pembayar cukai yang lewat mengemukakan borang cukai pendapatan sama ada menerusi borang kertas (manual) atau e-Filling, akan dikenakan penalti.
Lengkapkan dokumen
Menyentuh mengenai keperluan yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan, Penolong Pengarah Unit Khidmat Pelanggan LHDN cawangan Jalan Duta, Norhabibah Hamidon, 37, memberitahu, pembayar cukai yang pernah menggunakan e-Filling perlu menyediakan nombor rujukan cukai pendapatan dan nombor pin.
Ini termasuklah menyediakan dokumen penting seperti penyata gaji daripada majikan iaitu borang EA atau EC dan resit-resit tuntutan sebelum memasukkan data-data ke dalam e-Filling.
"Dokumen yang lengkap memudahkan proses mengisytiharkan cukai pendapatan anda. Jika semua dokumen yang diperlukan sudah dikumpulkan, proses menyempurnakan e-Filing kurang daripada 10 minit. Sebab itulah, kami sentiasa mengingatkan pembayar cukai menyimpan segala resit dan dokumen penting untuk mendapat pelepasan.
"Namun, pembayar cukai tidak perlu menghantar borang EA atau EC, resit premium insurans, resit pembelian buku atau perubatan. Dokumen sokongan berkenaan perlu disimpan selama tujuh tahun untuk memudahkan LHDN menyemak sama ada tuntutan itu adalah benar," jelas Norhabibah ketika ditemui Kosmo! di LHDN cawangan Jalan Duta.
Bercerita tentang cabaran sepanjang mengendalikan tempoh proses mengisytihar cukai pendapatan, Norhabibah yang sudah selama 11 tahun berkhidmat di LHDN menyatakan, beliau sudah lali dengan kerenah pembayar cukai.
"Ada sesetengah individu enggan menggunakan sistem e-Filling. Mereka beranggapan proses mengisytiharkan cukai pendapatan menggunakan komputer dan Internet adalah remeh kerana ia perlu dibuat satu persatu. Bagi kelompok ini mereka lebih selesa menggunakan kaedah manual.
"Saya anggap ini sebagai cabaran dan masa yang sesuai untuk LHDN memperkenalkan kepada pembayar cukai sistem e-Filling. Apatah lagi, petugas kami sentiasa bersedia menghulurkan bantuan," jelas Norhabibah yang turut menyatakan sistem e-Filling lebih pantas dan mudah kerana dalam tempoh 10 minit ia dijamin selesai.
Justeru, enggan membiarkan para pengguna terpinga-pinga tanpa bantuan maka, LHDN memastikan setiap syif menempatkan 10 petugas di kaunter e-Filling. Ia seiring dengan pegangan Prinsip Lima Bintang yang diamalkan LHDN iaitu Sedia, Salam, Senyum, Segera dan Selesai.