Thursday, February 5, 2015

Artikel : Ramai merungut potongan PCB



KUALA LUMPUR: Golongan pekerja digalak membuat tuntutan pelepasan cukai secara bulanan melalui majikan masing-masing, selain menyemak sendiri sama ada ia sudah dipotong dan diremitkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) selewat-lewatnya pada 10 hari terawal setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan masalah tunggakan cukai, mengelak pembayar cukai daripada berhutang dengan LHDN dan mengurangkan kos kerajaan untuk memproses bayaran balik kepada pembayar cukai.

Beliau berkata, ia boleh dicapai dengan syarat pembayar cukai perlu memastikan tuntutan pelepasan mereka adalah tepat dan sebarang pindaan serta tuntutan pelepasan perlu dimaklumkan kepada bahagian gaji majikan masing-masing.

“Melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB), kami memberi arahan kepada majikan untuk membuat potongan sewajarnya dan meremit kepada LHDN selewat-lewatnya 10 hari bulan setiap awal bulan, di mana ia membolehkan pembayar cukai menuntut pelepasan cukai dan rebat sebelum cukai sebenar ditaksirkan.

“PCB adalah tanggungjawab majikan sepenuhnya dan LHDN langsung tidak masuk campur atas tindakan pemotongan PCB, kami hanya bertanggungjawab menyediakan garis panduan, polisi serta memantau sama ada majikan patuh dengan ketetapan yang dibuat.

“Selebihnya adalah tanggungjawab pembayar cukai untuk memastikan segala potongan cukai mereka melalui PCB adalah betul dan tepat,” katanya ketika sidang media khas mengenai isu PCB di pejabat LHDN Malaysia, di sini semalam.

Mohd Shukor berkata, bagi pekerja yang mengisi borang secara e-filing, mereka boleh memeriksa potongan PCB melalui e-lejar di laman web www.hasil.gov.my bagi memastikan majikan sudah membuat potongan dan diremit ke LHDN.

Katanya, sekiranya didapati majikan tidak membuat sebarang potongan atau ia tidak diremit kepada LHDN, pekerja boleh membuat aduan kepada pihak LHDN.

Beliau berkata, PCB membolehkan pembayar cukai menikmati manfaat potongan, pelepasan dan rebat yang dibenarkan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 sebaik saja ia dibelanjakan.

“Masih ramai golongan pekerja tidak memahami kaedah PCB apabila kebelakangan ini rungutan yang diterima meningkat dari 13,598 aduan pada 2009 kepada 17,289 pada tahun lalu, berikutan rasa tidak puas hati mengenai PCB terlalu tinggi dikenakan atas mereka terutama pada Disember 2010 dan Januari lalu,” katanya.

Katanya, majikan yang masih tidak memahami kaedah pengiraan PCB, boleh menghubungi LHDN untuk taklimat dan majikan yang menggunakan kaedah pembayaran gaji berkomputer diwajibkan menggunakan kaedah ini dengan mendapat spesifikasi serta pengesahan LHDN.

Beliau berkata, potongan dan pelepasan rebat pilihan boleh dituntut pekerja dengan mengisi borang TP1 yang boleh dimuat turun melalui laman web LHDN Malaysia, dalam mana-mana bulan yang dipersetujui oleh majikan.

Harian Metro