LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin merujuk kepada keratan akhbar Utusan Malaysia ruangan umum bertarikh 25 September 2013 mengenai ''Tauke Tomyam Dari Negara Jiran Buat Duit Di Sini'' oleh pengadu yang menamakan dirinya sebagai 'Pembayar Cukai'.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan
terima kasih kepada pengadu, 'Pembayar Cukai' atas keprihatinan beliau
dalam memastikan pematuhan perundangan percukaian yang tinggi oleh rakyat Malaysia.
Ingin saya memperjelaskan bahawa LHDNM sentiasa
menjalankan operasi secara berkala membuat lawatan ke semua premis perniagaan
yang dikenali sebagai Operasi Mesra Hasil (OMH) di seluruh Malaysia yang
bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan percukaian kepada peniaga bagi
meningkatkan pematuhan mereka terhadap tanggungjawab tersebut.
Selain daripada itu, OMH ini juga dijalankan
bagi mengenal pasti pembayar cukai baharu yang layak dikenakan cukai serta
mengemaskini maklumat pembayar cukai sedia ada di samping dapat mengurangkan
bilangan dan amaun tunggakan hasil.
Dalam meningkatkan keberkesanan operasi, LHDNM
mengalu-alukan sebarang maklumat pelarian cukai dengan cara melaporkan butiran
maklumat pelarian cukai iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat dan bagaimana
pelarian cukai dilakukan secara bertulis, melalui emel pelariancukai@hasil/gov.my atau
menghubungi kami melalui Borang Maklum Balas Pelanggan di laman web kami www.hasil.gov.my.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada penulis atas peluang ini dalam memberi maklum balas berkenaan cadangan
di atas.