Perbincangan sedang berlangsung di antara YBhg. Datuk Sabin bin Samitah dengan YBhg. Datuk Muhammad bin Ibrahim. |
Kuala Lumpur, 7 Feb – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
(LHDNM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkukuhkan kerjasama strategik
dalam memerangi jenayah kewangan yang menyumbang kepada ketirisan cukai negara.
Komitmen untuk berkolaborasi ini antara topik yang dibincangkan semasa
kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin bin Samitah ke
atas Datuk Muhammad bin Ibrahim, Gabenor Bank Negara Malaysia.
Bagi memastikan penguatkuasaan yang sistematik dan berkesan,
LHDNM dan BNM akan terus bekerjasama menerusi perkongsian maklumat dalam
siasatan ke atas jenayah kewangan.
Hasrat ini mampu dilaksanakan berikutan peranan Bank Negara
Malaysia sebagai Pihak Berkuasa Kompeten di bawah Akta Pencegahan Pengubahan
Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan dan Hasil Daripada Aktiviti
Haram 2001 AMLATFPUAA) dan selaku wakil Malaysia dalam Financial Action Task
Force (FTAF), sebuah pertubuhan kerjasama antara negara dalam menangani
pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan lain-lain ancaman kepada
integriti sistem kewangan antarabangsa.
LHDNM merupakan salah satu agensi yang terlibat secara
langsung dalam menangani isu penggubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA. Bagi
LHDNM, kerjasama strategik di antara dua agensi ini pasti akan memberikan impak
yang besar kepada usaha memerangi jenayah kewangan serta mengurangkan ketirisan
cukai.
Sumber : Kenyataan Media LHDN