Elak penalti, LHDN minta pembayar cukai serah
borang B
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggesa pembayar cukai individu
yang mempunyai pendapatan daripada perniagaan supaya mengemukakan Borang B
Tahun Taksiran 2016 bagi mengelakkan penalti lewat hantar Borang Nyata Cukai
Pendapatan (BNCP) dikenakan terhadap mereka.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN berkata tarikh akhir mengemukakan
Borang B Tahun Taksiran 2016 menurut subseksyen 77(1)(a) ialah pada 30 Jun
namun bagi memberikan kemudahan kepada pembayar cukai, tambahan masa diberikan
sehingga 15 Julai untuk mereka kemukakan borang tersebut melalui kaedah
eFiling.
Ini bermakna mereka mempunyai kira-kira lima hari sahaja lagi untuk
mengemukakan Borang B dan seterusnya menjelaskan semua bayaran cukai pendapatan
Tahun Taksiran 2016 yang dikenakan, katanya.
Katanya menurut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967,
kegagalan mengemukakan BNCP dalam tempoh yang dibenarkan merupakan satu
kesalahan dan boleh dikenakan penalti sehingga tiga kali ganda daripada amaun
cukai yang ditaksirkan.
Menurut LHDN, sehingga 30 Jun pihaknya telah menerima sebanyak
336,382 Borang B Tahun Taksiran 2016 berbanding 334,572 Borang B Tahun Taksiran
2015 dalam tempoh yang sama.