LHDN Mencatat Kutipan Sebanyak RM115 Bilion
Cukai Setakat Awal Disember
CYBERJAYA: Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan sebanyak RM115 bilion
sehingga awal Disember lalu yang merupakan jumlah kutipan tertinggi pernah
dicapai badan itu, setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Tan Sri Dr
Mohd Shukor Mahfar berkata berdasarkan rekod itu, pihaknya yakin sasaran RM123
bilion kutipan cukai sehingga akhir tahun ini dapat dicapai.
"Pada tahun lalu, LHDN berjaya memecah
kebuntuan kutipan cukai daripada dua digit bilion kepada tiga digit bilion
iaitu RM109.6 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah percukaian negara. Usaha
ini diteruskan tahun ini dengan tema 'Meneroka Lautan Biru: Zon Kutipan Cukai
Tiga Digit' untuk mengenal pasti ruang-ruang baru penjanaan sumber pendapatan
negara bagi mengekal dan meningkatkan lagi kutipan cukai langsung,"
katanya berucap dalam majlis Bicara Bersama Negarawan: Tun Dr Mahathir Mohamad
di sini, Isnin.
Dr Mohd Shukor berkata tema 'Menerajui dan
Mengurus Perubahan' ditetapkan sebagai asas perjuangan untuk tahun depan bagi
mencapai kutipan cukai yang lebih tinggi.
Sementara itu Dr Mahathir berkata selain
membantutkan pembangunan negara, kegagalan kerajaan memungut cukai boleh
menyumbang kepada pelbagai masalah lain termasuk meningkatkan kadar rasuah
dalam kalangan penjawat awam.
Katanya, apabila kerajaan tidak mempunyai
hasil yang secukupnya, maka gaji yang lebih tinggi tidak dapat diberi kepada
penjawat awam sekali gus akan memaksa mereka mencari alternatif lain untuk
menambah pendapatan termasuk menerima rasuah.
"Kalau ini berlaku, maka pendapatan
kerajaan tidak akan meningkat dan gaji juga tak akan bertambah maka ia akan
jadi satu putaran berulang," katanya.
Dr Mahathir turut mengingatkan LHDN agar tidak
mengamalkan tindakan 'keras' ketika melaksanakan amanah mengutip hasil daripada
pihak tertentu kerana ia hanya akan menyebabkan berlakunya rasuah.
"Kuasa ni jangan melampaui batas, jangan
salah guna seperti rampas buku akaun, kalau tak perlu jangan buat tindakan
terlalu keras. Gunakan kuasa untuk mengutip hasil bukannya menindas orang
lain," katanya.