Monday, May 8, 2017

LHDN lancar ops kutip di seluruh negara, sasar 16.31 juta kutipan cukai tertunggak


LHDN turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi memantapkan lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal mematuhi ansuran cukai tertunggak.

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Kempen Untuk Tingkatkan Pemungutan (Ops KUTiP) 2017 selama dua hari bermula hari ini secara serentak di 13 cawangan Pejabat Pengarah Negeri seluruh negara dengan jumlah sasaran kutipan RM16.31 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata operasi tersebut merupakan antara inisiatif LHDN bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak 90 peratus atau RM293.57 juta daripada RM326.19 juta cukai tertunggak menjelang hujung tahun ini.

"Operasi melibatkan 3,838 pembayar cukai yang mempunyai tunggakan iaitu 1,402 adalah dari kategori syarikat dan 2,436 adalah selain syarikat. Ia adalah bagi meningkatkan dan mempercepatkan pemungutan.

"Program ini juga bertujuan memperluaskan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat berhubung tanggungjawab cukai mereka agar tahap pematuhan secara sukarela dapat dipertingkatkan," katanya ketika merasmikan Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional Ketiga 2017 di sini yang disiarkan secara langsung dari Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata LHDN turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi memantapkan lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal mematuhi ansuran cukai tertunggak dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul Hamid dalam sidang media berkata di sepanjang program itu, petugas yang dilantik akan menyerahkan surat tunggakan cukai dan memberikan penerangan mengenai kaedah pembayaran.

Beliau berkata pembayaran cukai tertunggak hanya boleh dilakukan secara cek atau draf bank (atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) melalui petugas yang dilantik dan pembayaran secara tunai kepada petugas dilantik adalah tidak dibenarkan.

"Status pembayaran cukai tertunggak oleh pembayar cukai yang menerima notis tunggakan cukai daripada petugas juga akan dipantau secara ketat oleh pejabat LHDN di semua negeri dan Jabatan Pungutan Hasil LHDN," katanya.


-- BERNAMA

Monday, April 17, 2017

BNM, SPRM, LHDN bersama tangani jenayah kewangan


KUALA LUMPUR: Tiga agensi kewangan dan penguatkuasaan menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan usaha mencegah jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan cukai.

Kerjasama itu adalah antara Bank Negara Malaysia (BNM) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia diputuskan melalui mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi ketiga-tiga agensi itu, iaitu Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, hari ini.

Muhammad berkata, kerjasama itu akan membendung penyaluran hasil perolehan wang dan transaksi haram melalui sistem kewangan negara.

"BNM menyambut baik komitmen dan kerjasama dengan LHDN dan SPRM untuk mencegah jenayah kewangan.


"Perkara ini penting bagi mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

                

Monday, March 6, 2017

Serahan Borang Nyata Cukai Pendapatan 2016 mulai 1 Mac




KUALA LUMPUR: Pembayar cukai boleh mula mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran 2016 melalui e-Filing bagi borang E, BE, BT, P, M, MT dan TF boleh dilakukan mulai 1 Mac ini.

Bagi borang BE, pengguna boleh mengemukakan borang menggunakan peranti mudah alih melalui aplikasi Mobile Filing atau m-Filing.

Kedua-dua aplikasi e-Filing dan m-Filing adalah percuma dan boleh dicapai melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my

Berikut kenyataan penuh mengenai tarikh akhir serahan BNCP mengikut jenis borang:
1. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2016 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, BT, P, M, MT dan TF boleh dilakukan mulai 1 Mac 2017.

2. Bagi Borang BE, pembayar cukai juga boleh mengemukakan borang tersebut menggunakan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet melalui aplikasi Mobile Filing (m-Filing).

3. e-Filing dan m-Filing merupakan aplikasi PERCUMA yang disediakan oleh LHDNM untuk memudahkan pembayar cukai melengkapkan dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.

4. Aplikasi ini boleh dicapai terus melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my

5. LHDNM menyeru semua pembayar cukai agar mengemukakan BNCP dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar BNCP dan kenaikan lewat bayar cukai dikenakan terhadap mereka.

6. Tarikh akhir pengemukaan BNCP Tahun Taksiran 2016 bagi Borang E, BE, B, BT, P, M, MT dan TF secara Borang Kertas (manual) adalah seperti berikut:










































7. Harap maklum bahawa para majikan yang terdiri daripada syarikat adalah WAJIB mengemukakan Penyata oleh Majikan (Borang E) Tahun 2016 secara e-Filing seperti yang telah ditetapkan dalam subseksyen 83(1B) Akta Cukai Pendapatan 1967.

8. Pembayar cukai boleh merujuk pautan berikut untuk sebarang maklumat tambahan masa untuk mengemukakan BNCP secara e-Filing: http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfa /ProgramMemfailBNCP_2017_1.pdf

9. Pembayar cukai yang belum pernah menggunakan aplikasi e-Filing perlu memohon nombor PIN e-Filing terlebih dahulu dari kaunter khidmat pelanggan LHDNM.

10. Manakala bagi pembayar cukai yang terlupa kata laluan e-Filing dan mempunyai emel berdaftar dengan LHDNM pula, mereka boleh set semula (reset) kata laluan melalui menu Terlupa Kata Laluan di portal ezHASiL.

11. Selain itu, LHDNM juga menyediakan perkhidmatan reset kata laluan e-Filing melalui nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan LHDNM. Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini hanya disediakan kepada pengguna talian Maxis, Celcom, Digi dan Umobile. Pengguna perkhidmatan ini akan dikenakan bayaran RM0.50 oleh syarikat penyedia telekomunikasi (telco) bagi setiap SMS maklum balas daripada LHDNM.

12. Bagi pembayar cukai yang tidak mempunyai e-mel berdaftar dengan LHDNM atau tidak boleh menggunakan perkhidmatan reset kata laluan melalui nombor telefon bimbit, mereka perlu hadir ke kaunter khidmat pelanggan LHDNM untuk mendapatkan Kod Pengaktifan Sementara kata laluan e-Filing mereka. Sila bawa bersama-sama kad pengenalan atau pasport sebagai pengesahan dan rekod.

13. Adalah diingatkan bahawa permohonan untuk reset kata laluan e-Filing menggunakan selain daripada kaedah-kaedah di atas tidak akan dilayan.

Istihar cukai pendapatan dengan betul dan tepat

14. LHDNM juga ingin memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai agar mengistiharkan maklumat cukai pendapatan mereka dengan betul dan tepat.
 
15. Semua pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2016 daripada semua punca pendapatan seperti penggajian, kelas tuisyen, perniagaan, komisen, jualan langsung, sewa, royalti dan lain-lain pendapatan seperti termaktub dalam seksyen 4 dan seksyen 4A Akta Cukai Pendapatan 1967 mestilah diistiharkan.

16. Setiap dokumen sokongan berkaitan pelepasan cukai dan perbelanjaan yang dituntut dalam mengira cukai pendapatan pula hendaklah disimpan selama tujuh tahun bagi tujuan auditan atau siasatan cukai oleh LHDNM.

17. LHDNM akan menjalankan tindakan penguatkuasaan seperti audit dan siasatan cukai mengikut peruntukan ditetapkan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.
Tindakan ini akan diambil sekiranya LHDNM mendapati terdapat sebarang keraguan atas maklumat dan cukai pendapatan yang telah diistiharkan oleh setiap pembayar cukai.

Sumber : ASTRO Awani