LHDN
turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi memantapkan
lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal mematuhi
ansuran cukai tertunggak.
KUALA
LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Kempen Untuk Tingkatkan
Pemungutan (Ops KUTiP) 2017 selama dua hari bermula hari ini secara serentak di
13 cawangan Pejabat Pengarah Negeri seluruh negara dengan jumlah sasaran
kutipan RM16.31 juta.
Ketua
Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata operasi tersebut merupakan
antara inisiatif LHDN bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak 90 peratus atau
RM293.57 juta daripada RM326.19 juta cukai tertunggak menjelang hujung tahun
ini.
"Operasi
melibatkan 3,838 pembayar cukai yang mempunyai tunggakan iaitu 1,402 adalah
dari kategori syarikat dan 2,436 adalah selain syarikat. Ia adalah bagi
meningkatkan dan mempercepatkan pemungutan.
"Program
ini juga bertujuan memperluaskan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan
masyarakat berhubung tanggungjawab cukai mereka agar tahap pematuhan secara
sukarela dapat dipertingkatkan," katanya ketika merasmikan Kunjungan Mesra
Hasil Peringkat Nasional Ketiga 2017 di sini yang disiarkan secara langsung
dari Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau
berkata LHDN turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi
memantapkan lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal
mematuhi ansuran cukai tertunggak dalam tempoh yang ditetapkan.
Sementara
itu, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul
Hamid dalam sidang media berkata di sepanjang program itu, petugas yang
dilantik akan menyerahkan surat tunggakan cukai dan memberikan penerangan
mengenai kaedah pembayaran.
Beliau
berkata pembayaran cukai tertunggak hanya boleh dilakukan secara cek atau draf
bank (atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) melalui petugas yang
dilantik dan pembayaran secara tunai kepada petugas dilantik adalah tidak
dibenarkan.
"Status
pembayaran cukai tertunggak oleh pembayar cukai yang menerima notis tunggakan
cukai daripada petugas juga akan dipantau secara ketat oleh pejabat LHDN di
semua negeri dan Jabatan Pungutan Hasil LHDN," katanya.
--
BERNAMA