MP Pandan Rafizi Ramli menggesa kerajaan mempertimbang bagi
melaksanakan tiga cukai yang telah dilaksanakan negara maju sebelum
melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.
Menurutnya yang juga pengarah strategi PKR, cukai itu antara
lain dapat menambah pendapatan negara sekali gus mengelakkan membebankan rakyat
yang miskin dan berpendapatan rendah jika GST dilaksanakan.
Tiga cukai itu antaranya Cukai Pertambahan Nilai (Capital
Gain Tax), Cukai Durian Runtuh (Windfall Tax) dan cukai yang disifatkan 'cukai
maha kaya' yang dikenakan atas individu berpendapatan berbilion ringgit.
Membahaskan rang undang-undang GST di Dewan Rakyat petang
ini, Rafizi berkata cukai tersebut telah dilaksanakan di negara maju tetapi
tidak dilaksanakan di negara ini.
Malah beliau memberi contoh untuk mudah penjelasannya dan
perbahasannya.
Mengulas 'cukai atas pertambahan nilai', dengan memberi
contoh, jika beliau memegang saham dalam satu syarikat dan kemudiannya mendapat
keuntungan daripada harga saham naik mendadak itu, maka ia dinamakan laba modal
(capital gain).
Tanah
PKFZ
"(Maka keuntungan itu) di negara lain kena cukai, hanya
Malaysia saja tak ada. Ambil tanah PKFZ, dulu ambil cara murah, jual kepada
kerajaan cara mahal, dengan transaksinya dapat untung besar.
"Itu namanya capital gain. Di negara lain capital gain
kena cukai, tapi di Malaysia tak kena cukai.
"Kalau tengok kekayaan orang Malaysia, kalau nak tambah
pendapat tanpa mangsakan rakyat perkenalkan 'Capital Gain Tax' dulu sebelum
perkenalkan GST," katanya.
Mengulas 'Cukai Durian Runtuh' (Windfall Tax) ia perlu
dikenakan kepada pemain industri atau syarikat yang memonopoli industri dengan
mendapat keuntungan yang dianggapnya tidak munasabah atau berganda dengan
memberi contoh seperti syarikat televisyen berbayar.
"Sebut Astro, marah, (syarikat lain) tak boleh masuk.
Kalau di negara lain, syarikat ataupun industri yang monopoli atau syarikat
dapat untung yang tidak munasabah, dikenakan cukai baru.
"Yang kena ini orang-orang kaya dan syarikat besar.
Tapi sebut sahaja di Malaysia, sebut nak (buat saja), semua bangun (berkata
ini) untuk kepentingan ekonomi. (Kerajaan) tak berani nak bangkang seperti kita
bangkang GST.
'Cukai
Maha Kaya'
"Dalam industri (untung) berlipat kali ganda besar,
sepatutnya ada cukai durian runtuh supaya durian itu dikongsi, jangan dia
seorang makan," katanya.
Mengulas 'cukai maha kaya', Rafizi berkata ia dikenakan
kepada individu yang "terlalu kaya dan sampai mati makan tak habis",
bagi membezakan dengan dengan rakyat biasa dan kelas pertengahan.
"Pada kadar dan struktur yang ada sekarang, pekerja
eksekutif, di syarikat swasta,bayar cukai yang sama dengan orang paling kaya di
negara ini.
"Tanya rakyat di kampung atau bandar, adil atau tidak,
untuk melaksanakan GST, sedangkan perkara ini tidak diperbetulkan terlebih
dahulu.
"Kalau kerajaan kata perlu tambah pendapatan, kenapa
tidak dipertimbang perkara ini dulu, sebelum dilaksanakan GST ini,"
katanya.