Monday, July 1, 2013

Strategi Pencegahan Jenayah Cukai




Singapura: Bank di Singapura kini sedang meneliti akaun pelanggan asing masing-masing berikutan tarikh penguatkuasaan langkah menghukum bank dengan pelanggan asing yang memiliki akaun rahsia, semakin hampir.

Pemilikan akaun rahsia adalah antara strategi pelanggan asing bagi mengelak atau lari daripada membayar cukai yang dikenakan negara asal masing-masing. 

Langkah meneliti akaun pelanggan itu juga secara tidak langsung membuatkan bank di republik berkenaan berdepan keputusan sukar, iaitu terpaksa memaksa sesetengah pelanggan asing mereka yang kaya dan memiliki akaun rahsia, menutup akaun dengan bank terbabit. 

“Berikutan amalan merahsiakan profil dan maklumat pelanggannya, Singapura kini dijadikan tempat terbaik untuk menyimpan wang jika anda tidak mahu pihak berkuasa negara anda tahu tentang hal itu,” kata Ketua Pematuhan Amalan Perbankan di DZ Privatbank Singapura, Erik Wilgenhof Plante.


Singapura kini muncul sebagai pusat kewangan luar pesisir keempat terbesar dunia, namun langkah pengawal selia undang-udang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memburu rakyat mereka yang menipu dan mengelak daripada membayar cukai memaksa kerajaan republik itu melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelak kes pengelakan cukai menerusi bank Switzerland, berlaku di negara itu.



Sebelum 1 Julai ini, semua institusi kewangan di Singapura mesti mengenal pasti akaun pelanggan yang disyaki terbabit dalam penipuan hasil dan sengaja lari daripada membayar cukai, untuk segera ditutup.



Jika didapati masih wujud kumpulan pemegang akaun berkenaan, bank yang terbabit akan dikenakan caj di bawah akta penggubahan wang haram. 


“Berikutan amalan merahsiakan profil dan maklumat pelanggannya, Singapura kini dijadikan tempat terbaik untuk menyimpan wang jika anda tidak mahu pihak berkuasa negara anda tahu tentang hal itu,” kata Ketua Pematuhan Amalan Perbankan di DZ Privatbank Singapura, Erik Wilgenhof Plante. 
Legasi masalah


“Ia meninggalkan satu legasi masalah bagi sesetengah bank,” katanya.


Pegawai pengawal selia Singapura berkata, peraturan kerahsiaan di bandar raya itu bertujuan menjaga kepentingan pelabur yang sah, bukannya menjadi syurga bagi penempatan dana haram. 



Pelaksanaan peraturan yang lebih ketat di Singapura sejajar dengan pengumuman standard baru global iaitu memperlakukan jenayah cukai sebagai satu kesalahan penggubahan wang haram.


Bank di negara itu kini dilihat terpaksa melepaskan sebahagian daripada akaun pelanggan mereka yang menguntungkan, iaitu salah satu faktor pendorong yang membantu mencetuskan ledakan dalam pengurusan aset di Singapura kepada sejumlah lebih daripada AS$1 trilion, dengan pertumbuhan 50 peratus dalam tempoh lima tahun hingga 2011, menurut data terkini kerajaan republik itu.

“Memiliki rangka kerja yang lebih mantap dalam membendung aliran penggubahan wang haram adalah perangsang untuk Singapura,” kata Pengerusi Citi Private Bank Singapura dan Pengerusi Bersama Kumpulan Industri Perbankan Persendirian, Deepak Sharma. - REUTERS

Saturday, June 29, 2013

Jenayah Percukaian


Cyberjaya, 29 Ogos – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini mengingatkan semua pembayar cukai agar tidak mengambil mudah urusan percukaian mereka sekiranya tidak mahu didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Tiga jenis kesalahan cukai yang telah diwartakan oleh kerajaan Malaysia pada 7 Oktober 2010 sebagai kesalahan berat dalam AMLATFA 2001 adalah:

1. Kegagalan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi sesuatu tahun taksiran
2. Mengemukakan penyata yang salah
3. Mengelakkan diri daripada dikenakan cukai

Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Bin Hj. Mahfar dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau lagi, LHDNM boleh membekukan, menyita atau melucut hak harta mereka yang disyaki bersalah semasa siasatan dijalankan. Sepanjang tahun 2011,
LHDNM telah membekukan sebanyak 1,389 akaun bank milik syarikat dan individu yang dipercayai melakukan atau bersubahat melakukan kesalahan di atas.

Beliau menegaskan bahawa tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak LHDNM
membuktikan LHDNM amat serius untuk membanteras penjenayah-penjenayah cukai
yang menjejaskan keamanan, ekonomi dan kestabilan politik negara.

Dipetik daripada laman web rasmi lembaga hasil dalam negeri - www.hasil.gov.my

Thursday, May 16, 2013

LHDN serius tangani kes elak cukai



SIBU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serius dalam menangani kes-kes elak cukai sehingga mendorong kepada kewujudan kerjasama antara ejen cukai, pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan.Ini adalah satu fakta yang harus difahami setiap pembayar cukai dan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Situasi ini terbukti dengan kewujudan pembayar cukai yang tidak jujur dengan mengamalkan amalan tidak beretika termasuk menyembunyikan pendapatan, inflasi perbelanjaan dan pemalsuan akaun.
“LHDN akan mengambil langkah lebih proaktif seperti pendakwaan jenayah dengan hukuman teruk dan penjara jika sabit kesalahan,” kata jurucakap LHDN Cawangan Sibu dalam kenyataan yang difakskan ke sini semalam.

Ini adalah antara perkara yang akan dibentangkan dalam topik khas ‘Paving the Way for Criminal Tax Investigation in 2013’ pada Seminar Cukai Kebangsaan 2012 yang dijadualkan berlangsung di Hotel RH di sini, pada 18 Oktober depan.

Seminar yang dianjurkan oleh Kesatuan Pegawai LHDN Hasil Dalam Negeri juga memperkenal peserta kepada perbezaan antara penyiasatan cukai sivil dan jenayah. Peserta juga berpeluang memahami prosedur siasatan jenayah dan peruntukan yang berkaitan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan 1950 dengan lebih mendalam.

“Memahami dan mengamalkan penyimpanan rekod yang baik akan mengurangkan risiko penilaian dan penalti tambahan,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, seminar terbabit juga akan memberi maklumat terkini dan wawasan Belanjawan 2013 kepada para peserta. Sehubungan itu, para penceramah yang bakal menyampaikan ceramah mereka nanti adalah terdiri daripada pegawai-pegawai kanan LHDN berpengalaman.

Seminar tersebut turut mengetengahkan perkara yang berkaitan penyiasatan cukai dan memberi pandangan mengenai perspektif LHDN. Pengamal cukai, penasihat, ejen, akauntan, juruaudit, perancang kewangan, peguam bela dan peguam cara dan orang ramai digalak hadir. Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM300 setiap seorang.


Komen

Apa yang dapat dilihat adalah LHDN telah mengemaskinikan undang-undang percukaian di Malaysia dan juga semakin serius dalam menangani masalah pembayaran cukai yang wujud. Ini berlaku disebabkan banyak penyelewangan yang berlaku berpunca daripada pembayar cukai yang tidak jujur di mana ada di kalangan mereka yang menyembunyikan pendapatan, memalsukan akaun, lari daripada ajen cukai dan banyak lagi.


Sebelum ini tindakan yang diambil bagi pesalah-pesalah yang disebut di atas adalah pembayaran penalti tambahan sahaja. Tapi kini, hukuman yang lebih berat seperti dipenjarakan turut akan dilaksanakan. Di harap dengan termeterainya undang-undang baru ini, para pembayar cukai akan lebih serius dalam menguruskan cukai mereka untuk mengelakkan kerugian kepada diri mereka sendiri dan juga pihak lain.