Friday, March 6, 2015

Bayar Cukai Guna Kad Kredit Jangan Sampai Jerat Diri

Bagi memberikan keselesaan kepada pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan membayar cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan debit Visa, Mastercard atau American Express yang dikeluarkan institusi perbankan di negara ini.

Ia adalah satu lagi tambahan dalam kaedah pembayaran yang diperkenalkan LHDN untuk memastikan urusan pembayaran cukai bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga lebih pantas.

Pada masa sama kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan menerusi portal Bayar Hasil, https://byrhasil.hasil.gov.my ini juga bermatlamat mewujudkan lebih banyak masyarakat tanpa tunai yang melakukan pembayaran secara dalam talian. 

Sasaran LHDN adalah untuk meningkatkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian pada tahun ini kepada 25 peratus berbanding hanya 13.1 peratus pada tahun lalu.

Dari segi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai, kita amat menyambut baik inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh LHDN ini.

Namun, walaupun kaedah ini adalah sesuatu yang amat memudahkan, mereka yang mahu menggunakannya perlu bijak dan berhemat. Kita tidak mahu nanti, ada yang berjaya melunaskan tanggungjawab mereka membayar cukai pendapatan, tetapi hutang pula bertambah yang seterusnya mungkin menjerat mereka, bahana penggunaan kad kredit.

Dalam hal ini, pembayar cukai seharusnya melihat penggunaan kad kredit ini semata-mata sebagai satu kaedah pembayaran yang memudahkan.

Justeru, jika mahu menggunakan kaedah ini, pastikan bayar semula secara penuh kepada bank pengeluar kad kredit dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak mereka akan dibebankan pula dengan caj faedah.

Lebih buruk lagi jika ia hanya menambah kepada jumlah hutang yang sudah sedia menimbun.

Sudah kerap kita mendengar ramai yang diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit.

Dalam hal ini kita tidak mahu pula mendengar adanya pembayar cukai menerima nasib yang sama gara-gara kemudahan yang disediakan ini.

Statistik Jabatan Insolvensi 2007 hingga 2013 menunjukkan 4,874 kes muflis adalah disebabkan hutang kredit. Selain itu, statistik juga menunjukkan 70 peratus mereka yang mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah bagi kaunseling menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Jika dilihat, memang mudah untuk membayar cukai secara dalam talian menggunakan kad kredit, tetapi seseorang itu harus mengelakkan diri daripada membayar cukai dengan berhutang atau pun mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan LHDN itu untuk membayar secara ansuran.

Kita tidak mahu kaedah ini nanti akan menjadikan seseorang itu seperti apa yang dikatakan, tutup lubang, gali lubang.

Thursday, February 26, 2015

PEMBAYAR CUKAI BOLEH GUNA E-FILING MULAI 1 MAC

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahun taksiran 2014 mereka melalui e-Filing bagi borang E, BE, B, BT, P,M, MT, TP, TF dan TJ mulai 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan di sini pada Selasa memaklumkan tarikh akhir pengemukaan BNCP tahun taksiran 2014 secara borang kertas (manual) bagi borang E adalah pada 31 Mac; borang BE, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan (30 April); borang B, P, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang menjalankan perniagaan (30 Jun).

"Pembayar cukai diminta segera mengemukakan BNCP mereka dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan," menurut kenyataan itu.

e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.

Aplikasi ini boleh dicapai terus melalui laman web ezHASiL di pautan htpps://ez.hasil.gov.my/ atau melalui portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-88-5436

Tuesday, February 24, 2015

Potongan Cukai Berjadual



Kuala Lumpur: Sebelum tahun taksiran 2014, individu yang bekerja perlu menghantar borang cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penilaian sama ada layak menerima bayaran lebihan baki cukai, tidak menerima atau melakukan pembayaran kepada agensi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata, bagaimanapun, kini individu bekerja boleh memilih sama ada mahu menghantar borang cukai atau sebaliknya.

“Ia boleh dilakukan hasil pengenalan konsep potongan cukai berjadual (PCB) sebagai cukai muktamad.

“Dalam konteks PCB sebagai cukai muktamad, setiap pembayar cukai boleh melakukan pengiraan sendiri pada 31 Disember setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, jika pembayar cukai berkenaan mendapati amaun dikira adalah tepat maka seseorang itu boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

Bagaimanapun, jika pembayar cukai mendapati amaun PCB dipotong lebih rendah berbanding cukai dikira atau amaun PCB lebih tinggi, maka mereka dinasihatkan supaya mengisi borang cukai seperti biasa.

“Jika ada lebihan cukai, LHDN akan membayar balik lebihan, tetapi jika sebaliknya, individu terbabit perlu membayar kembali kepada LHDN jumlah yang terkurang.

“Untuk membuat bayaran kepada LHDN, pembayar cukai perlu mengisi borang DE dan tarikh akhir menghantar borang DE ialah pada 30 April setiap tahun,” katanya.

Pembayar cukai lewat menghantar borang DE boleh dikenakan denda dan jumlahnya mengikut tempoh kelewatan iaitu antara 20 peratus hingga 35 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan.

Masrun berkata, untuk melayakkan pekerja memilih PCB sebagai cukai muktamad, mereka perlu memenuhi syarat ditentukan.

“Syarat utama ialah pekerja perlu memperoleh pendapatan hasil daripada satu sumber saja dan jika dia berkhidmat dengan dua majikan maka dia tidak boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad.

“Kedua, pekerja berkaitan membuat taksiran secara bersendirian dan bukannya dengan pasangan seperti isteri. Jika pasangan suami isteri mendaftarkan taksiran secara bersama maka mereka tidak layak untuk memilih PCB sebagai cukai muktamad,” katanya.