Monday, February 2, 2015

MPS catat kutipan cukai tertinggi




Selayang: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatat kutipan cukai taksiran tertinggi setakat ini dengan membabitkan pungutan sebanyak RM90.3 juta daripada jumlah keseluruhannya iaitu RM94.1 juta.

Yang Dipertuanya Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan merangkumi 95.91 peratus daripada jumlah sepatutnya dikumpul sepanjang tempoh 2014 lalu.

Katanya, jumlah itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan terhadap kadar kutipan cukai, malah turut menunjukkan perkembangan positif dalam sistem kutipan MPS.

“Ini antara perkembangan positif yang harus dikekalkan khususnya dalam aspek pengurusan kutipan. Selain daripada jumlah itu, kutipan tunggakan cukai sebanyak RM12 juta juga berjaya dikutip.

“Malah MPS turut mengeluarkan 32,097 waran tahanan sehingga 31 Disember lalu. Waran tahanan ini dikeluarkan bagi pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 ke atas bermula 1 Oktober lalu,” katanya pada majlis perpisahan timbalannya, Mohamad Zain A Hamid, di Dewan MPS di sini, semalam.

Tuesday, January 27, 2015

Tidak Declare Tax

From : Pn. xxxxxxx
To : mr.radzi@yahoo.com
Subject : Tidak declare tax



SOALAN

As-salam, Saya dah bekerja selama 8 tahun tapi x pernah declare tax. tapi PCB ada potong setiap bulan selama tempoh saya bekerja. Adakah saya akan didenda jika declare sekarang. Saya ada cuba isi efiling, nampaknya byk lebihan bayar. Adakah saya tetap akan didenda walaupun saya menyumbangkan jumlah cukai yang lebih?

JAWAPAN
Salam Puan, Terima kasih atas soalan yang diberi. 

Setiap Individu yang menerima sebarang pendapatan di dalam Malaysia perlu mengisytiharkan pendapatan tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Untuk makluman, penalti boleh dikenakan ke atas Individu yang gagal untuk mengisytiharkan pendapatan mereka kepada LHDN atas kesalahan tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 112(1), Akta Cukai Pendapatan 1967. 

Sekiranya selepas Puan menghantar borang cukai dan mempunyai lebihan bayaran daripada hasil potongan PCB yang telah dibuat, maka Puan bolehlah menuntut semula lebihan tersebut daripada LHDN. Pihak LHDN akan memulangkan lebihan bayaran tersebut setelah segala penolakan termasuk Cukai Perlu Dibayar bagi setiap Tahun Taksiran dan penalti lambat hantar dan bayar(sekiranya ada Cukai Perlu Dibayar). 


Sekadar untuk makluman, walaupun Puan menyatakan bahawa Puan telah membuat bayaran lebih, tetapi pihak LHDN akan menyemak semula dan mengemaskini status kedudukan cukai Puan dahulu. Jika mereka bersetuju bahawa terdapat lebihan bayaran, maka barulah mereka akan memulangkan lebihan bayaran tersebut. 


Selain itu, jika Pihak Puan merupakan penjawat awam, Puan akan menghadapi kesulitan ketika bersara disebabkan oleh tidak pernah menghantar Borang Cukai ke LHDN. 

Oleh itu, adalah dinasihatkan kepada Puan supaya menghantar Borang Cukai bagi mengelakkan sebarang masalah dikemudian hari. Semoga jawapan ini dapat membantu.

Terima kasih.

Monday, January 26, 2015

Perbelanjaan Persendirian ataupun Perbelanjaan Perniagaan ?


SOALAN

Selamat sejahtera Mr. Radzi.

Saya ingin bertanyakan tentang penyediaan akaun bagi perniagaan enterprise.

Adakah perbelanjaan pemilik sama dengan perbelanjaan perniagaan seperti perbelanjaan makanan, telefon dan perbelanjaan melancong serta perbelanjaan peribadi pemilik. bagaimana kita treat perbelanjaan tersebut. masukkan dalam penyediaan penyata kewangan ataupun tidak.?

Terima Kasih.

JAWAPAN

Salam Puan,

Untuk makluman Puan, perbelanjaan persendirian pemilik bagi Perniagaan Milikan Tunggal adalah tidak sama dengan perbelanjaan perniagaan. Hal ini adalah kerana, perbelanjaan perniagaan adalah bermaksud perbelanjaan yang dikeluarkan semata-mata untuk menghasilkan pendapatan bagi Perniagaan tersebut. Perkara ini tertakhluk dibawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan 1967 dimana ia menyatakan bahawa hanya perbelanjaan yang sepenuhnya diguna atau ‘wholly and exclusively’ untuk perniagaan.

Oleh itu, setiap perbelanjaan yang bersifat persendirian seperti perbelanjaan oleh pemilik perniagaan tidak boleh dimasukkan ke dalam Penyata Untung Rugi perniagaan. Sekiranya dimasukkan, maka segala perbelanjaan persendirian tersebut akan dilaraskan semula dan ditambah ketika proses pengiraan cukai nanti. Hal ini kerana pengiraan cukai pendapatan adalah berdasarkan Penyata Untung Rugi perniagaan. Hanya perbelanjaan yang berkaitan dengan perniagaan sahaja dibenarkan sebagai penolakan dalam pengiraan cukai pendapatan.

Jika Puan merekodkan perbelanjaan bagi tujuan persendirian tersebut sebagai salah satu perbelanjaan di Penyata Untung Rugi, maka Puan perlu mengambil kira ia sebagai perbelanjaan tidak dibenarkan.

Diharap jawapan ini dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan Puan.

Terima kasih.