KUALA
LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan pihaknya memberi potongan
cukai ke atas perbelanjaan artis atau selebriti tempatan, sama seperti individu
awam lain sejak lama dulu.
Pegawai
Perhubungan Awam LHDN, Masrum Maslim berkata, potongan cukai diberi ke atas
perbelanjaan yang dikeluarkan artis untuk tujuan pekerjaan termasuk upah
jurusolek dan gaji pengurus.
"Bagaimanapun,
tidak ada pengecualian cukai diberi. Sebaliknya, potongan cukai ke atas
perbelanjaan untuk sewa pakaian, upah jurusolek, gaji pengurus, kos untuk ke
lokasi penggambaran atau persembahan serta beberapa perbelanjaan lain berkaitan
kerja.
"Ramai
golongan seni tidak tahu dan tidak membuat tuntutan ke atas perbelanjaan
dikeluarkan. Apa yang diperlukan, hanyalah resit perbelanjaan dalam tempoh
setahun yang berkaitan urusan kerja," katanya kepada BH Online.
Sejak
semalam, netizen hangat memperkatakan mengenai kenyataan pelakon dan usahawan
jelita, Nora Danish berhubung isu percukaian golongan selebriti. Pandangan Nora
bahawa artis perlu sentiasa tampil menarik bagi memenuhi tuntutan kerjaya
mereka, menimbulkan pelbagai reaksi peminat dan pembayar cukai.
Masrum
berkata, pengurus artis perlu menitik berat hal berkaitan cukai pendapatan
selebriti. "Jika tidak, inilah yang menjadi punca mengapa ada artis tidak
tahu mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik ke atas perbelanjaan
dikeluarkan," katanya.
Menyentuh
mengenai sekatan ke luar negara yang dikenakan terhadap artis, Masrum berkata
LHDN mengenakan sekatan kepada semua rakyat yang gagal mengisytiharkan cukai
pendapatan dan tidak mengemukakan bukti atau resit perbelanjaan mereka.
"Bukan
tidak membayar cukai, tetapi lebih kepada gagal mengemukakan bukti perbelanjaan
atau dokumen mereka tidak lengkap. Itu membuatkan ada artis yang disekat
daripada terbang ke luar negara.
"Bukan
saja tuntutan ke atas perbelanjaan berkaitan kerja, mereka juga boleh menuntut
perbelanjaan lain seperti insurans, perubatan, perbelanjaan anak dan sebagainya
seperti individu lain," katanya. Sambil menasihatkan golongan seni agar
mengambil berat dan bertanggungjawab dalam membayar cukai,
Masrum
berkata tiada pengecualian atau keistimewaan yang diberi kepada artis.
"Ini bagi mengelak artis daripada dihalang ke luar negara yang boleh menyulitkan
mereka melakukan urusan pekerjaan di seberang laut," katanya.