Monday, December 19, 2016

Syarikat perlu patuhi undang-undang GST - Kastam



BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengingatkan pengusaha syarikat agar mematuhi perundangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan tidak terlibat dengan perbuatan mentaksirkan cukai lebih rendah daripada sepatutnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk T. Subromaniam berkata pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah dan mengenakan penalti sehingga 40 peratus sekiranya mengesan mana-mana syarikat yang tidak mematuhi undang-undang GST.

"JKDM memandang serius tindakan syarikat yang cuba mengelak untuk membuat pembayaran GST dengan tepat dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kami telah menggerakkan satu pasukan khas bagi melakukan Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) bermula 1 Sept lalu untuk melakukan tinjauan dan penilaian dalam usaha memastikan semua syarikat yang berdaftar mematuhi perundangan GST," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Ops CBOS yang dilakukan di sekitar kawasan Seberang Perai di sini. Turut hadir Pengarah Bahagian GST JKDM Ahmad Maher Abdul Jalil dan Pengarah JKDM Pulau Pinang Datuk Mohd Rudzi Man.

Sementara itu, Subromaniam berkata sehingga 12 Dis lepas, sebanyak 17,381 syarikat telah dilawati untuk memastikan mereka mematuhi perundangan dan membuat pembayaran GST dengan tepat.

Katanya pihaknya juga merancang untuk meneruskan Ops CBOS pada tahun hadapan dengan sasaran membuat lawatan ke 200,000 permis daripada 420,000 syarikat yang berdaftar GST pada masa kini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk membuat lawatan terhadap pengusaha restoran berikutan industri berkenaan dikenal pasti berpotensi tinggi dalam pelbagai kes penyelewengan.

Katanya JKDM akan menggunakan pertimbangan sebaiknya dalam menaksir nilai GST yang perlu dibayar sekiranya mendapati penyata GST yang dikemukakan syarikat terbabit tidak lengkap atau terdapat elemen penyelewengan.
"Kami menjangkakan akan dapat mengutip lebih daripada RM1 bilion pada tahun ini dan akan terus komited dalam menguatkuasakan perundangan GST," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, December 7, 2016

Kutipan Cukai 2016 Dijangka Lebih Rendah - LHDN


KUALA LUMPUR: Kutipan cukai langsung pada 2016 dijangka menurun lagi akibat keadaan ekonomi tidak menentu dan kejatuhan harga minyak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.
Mohd Shukor bagaimanapun berkata, pihaknya optimis untuk mengekalkan angka kutipan tiga digit bagi tahun ini.
  "Sasaran (kutipan cukai) bagi 2016 adalah lebih rendah sedikit berbanding 2015 kerana akibat kejatuhan harga minyak, kerajaan bersetuju untuk kita meminda jumlah yang lebih rendah berbanding 2015.
  "Bagaimanapun kita mempunyai masa dua bulan lagi untuk meneruskan usaha-usaha (perolehan kutipan cukai)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2016 di sini, Khamis.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong.
Terdahulu, dalam ucapan Chee Leong berkata, LHDN berjaya mengutip kutipan cukai langsung berjumlah RM121.236 bilion pada 2015.
Sejak kegawatan ekonomi melanda negara pada 1997, LHDN mencatatkan kutipan tiga digit bermula 2011 berjumlah RM109.609 bilion, dan jumlahnya terus meningkat sehingga 2014 dengan RM133.7 bilion.
Menurut Laporan Ekonomi 2016, kutipan cukai langsung bagi tahun ini dijangka berjumlah RM115 bilion.
Mohd Shukor berkata, selain kejatuhan harga minyak, senario dua tahun kebelakangan ini disebabkan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.
Dengan pengenalan GST, katanya, kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan yang mendorong kepada penurunan jumlah kutipan cukai.
"Kita berharap apabila GST dapat distabilkan, keadaan ekonomi akan pulih semula dan LHDN akan meneruskan usaha untuk memastikan kejatuhan harga minyak tidak memberi kesan negatif kepada pungutan cukai," ujar Mohd Shukor.
Menurut Mohd Shukor, pelbagai usaha untuk memastikan kutipan cukai pada 2016 kekal dengan tiga digit iaitu lebih RM100 bilion.
Beliau menambah, antaranya adalah pengubahsuaian Bajet 2016 awal tahun ini dan tawaran pengurangan penalti bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai dan pengelak cukai.
"Kita dapati bila pengakuan secara sukarela diperkenalkan pada 2015, LHDN memperoleh tambahan RM1 bilion di kalangan pembayar cukai.
"Bagi tahun ini, kita berharap terdapat pertambahan jumlah kutipan menerusi pengakuan secara sukarela. Dengan pertambahan itu, maka keadaan tidak begitu teruk," katanya.
Awal tahun ini, LHDN menawarkan pengurangan penalti pada kadar tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac sehingga 15 Disember.

Ia bertujuan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan tahun ke belakang dan menyelesaikan jumlah tunggakan cukai.



Monday, November 21, 2016

Kos Penampilan Diri Memang Diberi Pelepasan Cukai

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan pihaknya memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan artis atau selebriti tempatan, sama seperti individu awam lain sejak lama dulu. 


Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrum Maslim berkata, potongan cukai diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan artis untuk tujuan pekerjaan termasuk upah jurusolek dan gaji pengurus. 

"Bagaimanapun, tidak ada pengecualian cukai diberi. Sebaliknya, potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk sewa pakaian, upah jurusolek, gaji pengurus, kos untuk ke lokasi penggambaran atau persembahan serta beberapa perbelanjaan lain berkaitan kerja. 

"Ramai golongan seni tidak tahu dan tidak membuat tuntutan ke atas perbelanjaan dikeluarkan. Apa yang diperlukan, hanyalah resit perbelanjaan dalam tempoh setahun yang berkaitan urusan kerja," katanya kepada BH Online. 

Sejak semalam, netizen hangat memperkatakan mengenai kenyataan pelakon dan usahawan jelita, Nora Danish berhubung isu percukaian golongan selebriti. Pandangan Nora bahawa artis perlu sentiasa tampil menarik bagi memenuhi tuntutan kerjaya mereka, menimbulkan pelbagai reaksi peminat dan pembayar cukai. 

Masrum berkata, pengurus artis perlu menitik berat hal berkaitan cukai pendapatan selebriti. "Jika tidak, inilah yang menjadi punca mengapa ada artis tidak tahu mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik ke atas perbelanjaan dikeluarkan," katanya. 

Menyentuh mengenai sekatan ke luar negara yang dikenakan terhadap artis, Masrum berkata LHDN mengenakan sekatan kepada semua rakyat yang gagal mengisytiharkan cukai pendapatan dan tidak mengemukakan bukti atau resit perbelanjaan mereka. 

"Bukan tidak membayar cukai, tetapi lebih kepada gagal mengemukakan bukti perbelanjaan atau dokumen mereka tidak lengkap. Itu membuatkan ada artis yang disekat daripada terbang ke luar negara. 

"Bukan saja tuntutan ke atas perbelanjaan berkaitan kerja, mereka juga boleh menuntut perbelanjaan lain seperti insurans, perubatan, perbelanjaan anak dan sebagainya seperti individu lain," katanya. Sambil menasihatkan golongan seni agar mengambil berat dan bertanggungjawab dalam membayar cukai, 

Masrum berkata tiada pengecualian atau keistimewaan yang diberi kepada artis. "Ini bagi mengelak artis daripada dihalang ke luar negara yang boleh menyulitkan mereka melakukan urusan pekerjaan di seberang laut," katanya.




Monday, February 29, 2016


Pengalaman Rozita tidak bayar cukai



Rozi ta Che Wan


KUALA LUMPUR 17 Feb. – Pengalaman tidak dibenarkan masuk ke negara jiran, Singapura ekoran tidak membayar cukai pendapatan menjadikan pelakon popular, Rozita Che Wan benar-benar serik.Kejadian yang berlaku pada 2014 itu dianggap sebagai pengajaran yang cukup bermakna dalam kehidupan wanita berusia 43 tahun itu.Katanya, beliau sudah berada di kaunter imigresen untuk bercuti di Singapura melalui Woodlands namun terkandas.“Sampai di kaunter imigresen, saya kena tahan.

Mereka kata nama saya disenaraihitamkan, saya tidak dibenarkan ke luar negara kerana tidak menjelaskan cukai pendapatan. Memang itu satu kesilapan saya sendiri,” kata ibu kepada tiga anak itu.Rozita berkongsi pengalaman pahit, disekat daripada keluar negara kepada Utusan Malaysia, gara-gara dia tidak melunaskan tanggungjawab sebagai pembayar cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Serik dengan kejadian malang itu, menurut Rozita, dia kemudian telah melantik seorang peguam untuk menguruskan segala pembayaran cukai pendapatan peribadi, juga membabitkan perniagaan yang diceburinya. "Sekarang selepas urusan pembayaran cukai diuruskan dengan baik dan teratur setiap tahun, saya jadi cukup lega,"katanya. Justeru, Rozita turut menasihati mereka yang tidak membayar cukai untuk melunaskan tanggungjawab masing- masing sebelum dikenakan tindakan, seperti yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Mohd. Shukor Mahfar semalam mendedahkan, para artis, doktor dan peguam antara yang menjadi buruan agensi berkenaan tahun ini setelah dikenal pasti sebagai kumpulan pengelak cukai sebelum ini.Sementara itu, pengalaman artis senior yang terpaksa membayar cukai tertangguh dalam jumlah besar dan disekat ke luar negara membuat golongan artis muda seperti Awal Ashaari, akur untuk membayar cukai.Berkongsi pengalamannya, peng­­acara itu mengakui pada awal pembabitannya sebagai artis, dia tidak begitu peduli mengenai sistem pembayaran cukai, kerana kurang diberi pendedahan mengenai proses itu.

- UTUSAN

Monday, January 11, 2016

KEPERLUAN UNTUK MENDAPATKAN PERKHIDMATAN EJEN CUKAI YANG SAH

    
                               



 Cyberjaya, 26 November - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menasihatkan pembayar cukai agar mendapatkan perkhidmatan ejen cukai yang sah dan layak di sisi undang-undang bagi menguruskan hal percukaian mereka. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang masalah kepada mereka pada masa hadapan.

Keburukan menggunakan perkhidmatan ejen cukai yang tidak sah adalah seperti berikut:

i) Ejen cukai yang tidak sah boleh menyebabkan pembayar cukai mendapat nasihat yang tidak tepat atau tidak jelas berhubung peruntukan undang-undang percukaian termasuklah penyediaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang cukai;

ii) Ejen cukai yang tidak sah tidak bertanggungjawab ke atas pembayar cukai sekiranya tindakan undang-undang diambil ke atas pembayar cukai atas sesuatu kesalahan atau dikenakan denda;

iii) Ejen cukai yang tidak sah tidak boleh mewakili pembayar cukai sekiranya tindakan audit atau siasatan dijalankan oleh LHDNM; dan

iv) Ejen cukai yang tidak sah tidak boleh mewakili pembayar cukai dalam sesuatu pertikaian di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan. 

     LHDNM juga ingin memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak bertindak sebagai ejen cukai yang tidak sah. Ejen cukai yang sah mestilah diberikan kelulusan oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 153(3), Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

   Sehubungan itu, mana-mana pihak yang tidak mendapat kelulusan ini tetapi menjalankan tugas sebagai ejen cukai yang memberikan perkhidmatan urusan percukaian telah melanggar peruntukan seksyen 153(1) ACP 1967. Pendakwaan boleh dikenakan ke atas mereka mengikut peruntukan subseksyen 120(1)(d) akta yang sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda RM200 hingga RM2000, atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

     Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut peruntukan subseksyen 114(1A) iaitu kesalahan ke atas seseorang yang membantu dan memberikan nasihat untuk menyediakan BNCP yang mengakibatkan cukai terkurang lapor bagi seseorang. Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini mereka boleh didenda RM2000 hingga RM20000, atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

    Justeru, pembayar cukai hendaklah sentiasa berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada LHDNM jika perlu dalam mendapatkan perkhidmatan ejen cukai yang sah. Pembayar cukai boleh menyemak senarai ejen-ejen cukai yang sah dan maklumat seperti nama ejen cukai, firma/syarikat ejen cukai, alamat beserta nombor telefon ejen cukai dan tempoh sah kelulusan ejen cukai oleh Menteri Kewangan di Portal Rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia http://www.hasil.gov.my/

Sebagai rekod, sehingga kini terdapat 1,902 ejen cukai yang sah dan telah mendapat kelulusan Menteri Kewangan untuk berkhidmat.

Sekian Terima Kasih

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri