Thursday, March 26, 2015

Artikel : LHDN menindas wanita?


Cukai : Lelaki, Wanita Tanggungjawab sama

RAMAI yang rasa kurang senang apabila menerima borang penilaian cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ada saja yang tidak puas hati dengan kaedah pemotongan cukai mereka dan ada yang menganggap agensi itu hanya tahu mengikis duit rakyat.

Hakikatnya, saban tahun, semua rakyat yang makan gaji atau bekerja sendiri wajib mengisytiharkan cukai pendapatan mereka sebagai tanggungjawab kepada negara. Kini musim taksiran pendapatan sudah bermula. Justeru bagi warga pekerja yang mempunyai pendapatan melebihi RM2,500 sebulan perlu mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu (pendapatan selain perniagaan), selewat-lewatnya 30 April manakala mereka yang terbabit dalam aktiviti perniagaan dikembalikan sebelum 30 Jun.

Justeru, orang ramai perlu mengisi borang cukai pendapatan termasuk boleh juga menggunakan kaedah e-filing untuk mengelakkan penalti. Bagi mereka yang gagal mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan sebelum tarikh berkenaan, bakal berhadapan dengan tindakan serius iaitu boleh dikenakan denda antara RM200 hingga RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Apa juga alasannya tidak kira lelaki atau wanita sesibuk mana juga urusan seharian mereka, tanggungjawab sebagai pembayar cukai perlu ditunaikan. Menyentuh mengenai pembayar cukai wanita, sejauh mana kepatuhan mereka terhadap tanggungjawab itu terutama kini dengan peningkatan jumlah penyertaan golongan hawa dalam pasaran pekerja, sudah pasti mereka juga tidak terlepas menjadi sasaran.

Ketika ini, kira-kira 40 peratus daripada 1.5 juta pembayar cukai individu adalah wanita. Tidak kira wanita berkahwin, bujang atau ibu tunggal, cukai pendapatan perlu dilunaskan. Persoalannya, adakah penilaian taksiran bayaran cukai itu adil, tiada diskriminasi dan tidak menindas wanita.

Ketika diajukan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Shukor Mahfar, menjelaskan semua rakyat, tidak kira lelaki atau wanita, tanggungjawab membayar cukai adalah sama dan tiada perbezaan dari segi gender.

Dulu, kaedah penilaian itu mungkin dilihat wujud ketidakseimbangan dari segi penilaiannya terutama kepada wanita yang sudah berkahwin apabila rekod pendapatan mereka disatukan bersama suami.

Sebelum Tahun Taksiran 2004, jelasnya, Borang Nyata Cukai Pendapatan dikeluarkan atas nama suami dan isteri dikehendaki mengisi pendapatan di ruangan yang disediakan pada borang berkenaan.

Jika suami atau isteri ingin memilih Taksiran Bersama, mereka boleh membuat pilihan di ruang yang disediakan, memilih Taksiran Bersama sama ada atas nama suami atau atas nama isteri. Jika suami atau isteri tidak membuat pilihan, maka akan dianggap sebagai Taksiran Berasingan.

Bagaimanapun, apabila Sistem Taksir Sendiri diperkenalkan kepada pembayar cukai individu mulai Tahun Taksiran 2004, suami dan isteri menerima Borang Nyata Cukai Pendapatan atas nama masing-masing.

Suami dan isteri dikehendaki mengisi borang masing-masing dan taksiran dilakukan secara berasingan. Namun begitu, suami atau isteri masih boleh memilih Taksiran Bersama dengan memaklumkannya dalam ruangan tertentu di borang masing-masing.

“Dengan adanya fail sendiri di kalangan isteri, mereka melakukan taksiran sendiri. Ini sekali gus meringankan beban masing-masing. Tanggungjawab suami dan isteri terhadap pendidikan anak atau lain-lain berkaitan keluarga yang mendapat pengecualian cukai boleh dibahagi dua.

“Bagi memastikan sama ada Taksiran Bersama atau Taksiran Berasingan, mana satu lebih menguntungkan, suami dan isteri perlu membuat perbandingan terlebih dulu sebelum membuat pilihan jenis taksiran.

“Masing-masing boleh memilih mana potongan cukai secara berasingan. Contohnya bagi insurans perubatan dan pendidikan anak, jika isteri sudah menuntut pengecualian cukai, maka suami tidak perlu,” katanya yang turut mengingatkan semua pembayar cukai supaya menunaikan tanggungjawab menghantar borang itu secepat mungkin dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter.

Mengulas mengenai kepatuhan dalam membayar cukai, Mohd Shukor berkata, berdasarkan pemerhatiannya memperlihatkan wanita lebih bagus menjalankan tanggungjawab itu. Mungkin ia boleh dikaitkan dengan sifat kewanitaan yang menyebabkan golongan itu lebih patuh.

LHDN mensasarkan kutipan hasil pendapatan lebih tinggi tahun ini iaitu sebanyak RM91 bilion berbanding RM86 tahun lalu.

INFO:

WANITA berkahwin boleh memilih membuat taksiran cukai secara bersama suami atau secara berasingan. Bagaimanapun, isteri digalakkan memilih taksiran berasingan. Ini kerana taksiran cukai secara berasingan, isteri mempunyai tanggungan dan hak yang sama seperti suami, dari segi tuntutan potongan, rebat cukai dan pengenaan cukai.

Tuntutan yang layak dibuat isteri:

1. Potongan untuk diri sendiri RM9,000. Jika individu itu kurang upaya, potongan tambahan dibenarkan sebanyak RM6,000 sejak 2006.

2. Potongan bagi yuran pendidikan untuk diri sendiri bagi mendapat kemahiran atau kelayakan dalam bidang teknikal, vokasional, industri, sains atau teknologi, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi di institusi yang diiktiraf kerajaan.

Bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (sebarang bidang atau kursus pengajian), potongan yang dibenarkan adalah sehingga maksimum RM5,000 dan tuntutan perlu disokong dengan resit asal.

3. Potongan perbelanjaan rawatan perubatan ibu bapa sehingga maksimum RM5,000 dan tuntutan disokong dengan resit asal.

4. Potongan perbelanjaan pembelian alat sokongan asas untuk diri sendiri, suami, anak atau ibu bapa yang cacat atau hilang upaya sehingga maksimum RM5,000.

5. Potongan perbelanjaan rawatan penyakit serius untuk diri sendiri, suami atau anak sehingga maksimum RM5,000. Isteri juga boleh menuntut potongan perbelanjaan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh yang dihadkan, maksimum RM500. Jumlah tuntutan belanja pemeriksaan kesihatan ini termasuk sebahagian daripada had potongan maksimum untuk belanja rawatan penyakit serius RM5,000.

6. Potongan RM6,000 bagi:
a) Caruman kepada kumpulan wang simpanan atau kumpulan wang pencen yang diluluskan, seperti Kumpulan
Wang Simpanan pekerja (KWSP).
b) Bayaran premium atas polisi insurans nyawa yang diambil atas nama diri sendiri, suami atau kedua-duanya.

7. Potongan bayaran premium insurans untuk pendidikan atau manfaat perubatan yang dihadkan tuntutan kepada maksimum RM3,000. Polisi insurans pendidikan atau manfaat perubatan adalah untuk diri sendiri, suami dan anak.

8. Potongan bagi perbelanjaan membeli buku, jurnal, majalah dengan had maksimum RM1,000.

9. Potongan atas faedah yang dibelanjakan untuk faedah pinjaman perumahan. Potongan cukai terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi tahun taksiran berturut-turut, bermula dari tarikh faedah mula dibayar.
Syarat kelayakan adalah seperti berikut:
a) Pemastautin warga negara Malaysia.
b) Pembelian rumah kediaman terhad pada satu unit saja.
c) Perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010; dan
d) Rumah kediaman tidak boleh disewakan.

10. Isteri boleh memilih menuntut keseluruhan atau sebahagian potongan untuk anak.

11. Isteri boleh membuat tuntutan potongan bagi bayaran premium anuiti yang dibeli melalui skim anuiti, yang disahkan oleh KWSP yang dihadkan kepada maksimum RM1,000.

12. Tuntutan rebat cukai sebanyak RM400 jika pendapatan bercukai tidak melebihi RM35,000.

13. Isteri layak menuntut rebat cukai atas bayaran zakat dan fitrah terhad kepada jumlah cukai dikenakan.

Jika seorang wanita itu bercerai dengan suaminya:

a) Status beliau akan kembali sebagai individu sebelum berkahwin. Fail cukai pendapatan sebelum dia berkahwin akan dibuka semula jika fail itu wujud sebelum perkahwinan. Jika tiada nombor rujukan lagi, wanita terbabit akan didaftarkan nombor rujukan yang baru.

b) Selepas mempunyai nombor fail pendapatan sendiri, dia akan mengisytiharkan pendapatannya sendiri (termasuk bayaran nafkah daripada bekas suami, jika ada) dan dikenakan cukai secara berasingan.

c) Jika bekas suami sama-sama menanggung perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak, masing-masing layak diberi potongan anak pada kadar 50 peratus daripada pelepasan anak yang layak dengan syarat mereka menyara anak itu dalam tahun asas tahun taksiran berkenaan.

Monday, March 9, 2015

Cukai Pendapatan dan Buku Akaun

Soalan : 

Assalamualaikum En Radzi 

Saya sekarang sedang menolong seorang kawan yang telah hampir setahun membuka syarikat sdn bhd dan mempunyai 2 pemegang saham. Saya telah diberitahu bahawa beliau tidak pernah membayar syarikat Income tax dan juga buku akaun syarikat tidak pernah dibuat. 

Di bawah saya ingin jelaskan isu tersebut.

1. Income tax company tidak dibayar hampir setahun. Adakah pembayaran income tax perlu dibayar sebulan, dan bagaimana situasi apabila tidak bayar hampir setahun? 

2. Syarikat Sdn Bhd mempunyai seorang pekerja yang melakukan tanggungjawab dalam pentadbiran syarikat dan beliau juga merupakan salah seorang pemegang saham. Perlukah mencarum KWSP dan SOCSO jikalau beliau adalah pemegang saham dan bekerja sendiri? 

3. Apakah yang saya perlu buat untuk akaun syarikat dan juga report yang diperlukan oleh auditor untuk audit tahunan. 

Saya harap En. Radzi dapat membantu menjelaskan isu tersebut. 

Terima Kasih.

Wassalam. 

Jawapan:

Assalamualaikum Puan,

Terima kasih atas soalan yang diberikan.

Untuk makluman Puan, setiap perniagaan yang dijalankan bertanggunggjawab untuk mendaftar di LHDN dan mematuhi segala pematuhan yang telah ditetapkan oleh LHDN. Oleh itu, setiap pendapatan yang diterima semasa perniagaan dijalankan perlu diisyhtiharkan ke LHDN. Cukai perniagaan bagi Syarikat Sdn. Bhd. akan jatuh diatas entiti Syarikat itu sendiri.


Pengiraan cukai Syarikat perlu dilakukan apabila audit dan akaun telah dibuat. Selepas Penyata Kewangan dikeluarkan, maka pengiraan cukai akan dilakukan untuk memastikan sama ada Syarikat dikenakan cukai atau tidak.

Borang cukai yang perlu dihantar ke LHDN ialah Borang C (Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Syarikat di bawah Seksyen 77A Akta Cukai Pendapatan 1967) dan pembuat pemyaran cukai(sekiranya ada)dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup perakaunan. Pembayaran cukai bagi Syarikat perlu dilakukan selepas penghantaran borang cukai (sekiranya ada).

Selain Borang C, Syarikat juga mempunyai tanggungjawab untuk menghantar Anggaran Cukai Bulanan (CP204). Anggaran Cukai Bulanan merupakan anggaran Cukai Yang Kena Dibayar bagi tahun berikutnya dan seterusnya membuat bayaran bulanan berdasarkan anggaran tersebut. Syarikat dikehendaki mengemukakan anggaran cukai yang kena dibayar melalui Borang CP204 kepada LHDN tidak lewat daripada 30 hari sebelum bermula tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran. Untuk makluman, Syarikat yang tidak aktif tidak diwajibkan untuk menghantar Borang CP204 ini.

Pembayaran cukai secara bulanan adalah merujuk kepada Borang CP204. Tetapi pembayaran ini perlulah dilakukan sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ini ke LHDN. Jika tiada sebarang penghantaran Borang CP204 ke LHDN, maka Syarikat tidak perlu membuat bayaran secara bulanan tersebut. Tetapi sekiranya pihak Syarikat telah menghantar Borang CP204 ke LHDN dan tiada pembayaran dibuat, pihak Syarikat boleh dikenakan penalti diatas kegagalan membuat pembayaran bulanan tersebut.

Untuk pengetahuan pihak Tuan, Borang C dan Borang CP204 merupakan dua borang cukai yang berbeza.

2. Bagi persoalan mengenai KWSP dan SOCSO pula, sekiranya seseorang itu bekerja dan menerima gaji dari Syarikat tersebut, makanya seseorang itu perlulah mencarum KWSP dan SOCSO walaupun beliau merupakan seorang pemegang saham.

Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang :

3. Bagi proses penyediaan akaun Syarikat pula, pihak Syarikat perlu menyediakan semua dokumen yang berkaitan dengan perbelanjaan dan hasil jualan Syarikat. Contoh dokumen yang diperlukan bagi penyediakan akaun adalah seperti dilampiran 1.

Apabila proses penyediaan akaun telah selesai, maka Syarikat hendaklah memastikan bahawa akaun yang telah disediakan itu diaudit oleh juruaudit yang bertauliah. Audit tersebut hendaklah dilakukan bagi menghasilkan laporan kewangan beraudit dimana laporan tersebut perlu dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 169 (15 & 16) Akta Syarikat 1965.

Sekadar untuk makluman tambahan, walaupun akaun bank Syarikat tidak dibuka namun sekiranya terdapat transaksi perniagaan sama ada secara tunai atau pun menggunakan akaun bank pihak ketiga, ianya perlulah direkodkan.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Puan.


Sekian, terima kasih.

Friday, March 6, 2015

Bayar Cukai Guna Kad Kredit Jangan Sampai Jerat Diri

Bagi memberikan keselesaan kepada pembayar cukai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan membayar cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan debit Visa, Mastercard atau American Express yang dikeluarkan institusi perbankan di negara ini.

Ia adalah satu lagi tambahan dalam kaedah pembayaran yang diperkenalkan LHDN untuk memastikan urusan pembayaran cukai bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga lebih pantas.

Pada masa sama kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan menerusi portal Bayar Hasil, https://byrhasil.hasil.gov.my ini juga bermatlamat mewujudkan lebih banyak masyarakat tanpa tunai yang melakukan pembayaran secara dalam talian. 

Sasaran LHDN adalah untuk meningkatkan bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian pada tahun ini kepada 25 peratus berbanding hanya 13.1 peratus pada tahun lalu.

Dari segi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai, kita amat menyambut baik inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh LHDN ini.

Namun, walaupun kaedah ini adalah sesuatu yang amat memudahkan, mereka yang mahu menggunakannya perlu bijak dan berhemat. Kita tidak mahu nanti, ada yang berjaya melunaskan tanggungjawab mereka membayar cukai pendapatan, tetapi hutang pula bertambah yang seterusnya mungkin menjerat mereka, bahana penggunaan kad kredit.

Dalam hal ini, pembayar cukai seharusnya melihat penggunaan kad kredit ini semata-mata sebagai satu kaedah pembayaran yang memudahkan.

Justeru, jika mahu menggunakan kaedah ini, pastikan bayar semula secara penuh kepada bank pengeluar kad kredit dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak mereka akan dibebankan pula dengan caj faedah.

Lebih buruk lagi jika ia hanya menambah kepada jumlah hutang yang sudah sedia menimbun.

Sudah kerap kita mendengar ramai yang diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit.

Dalam hal ini kita tidak mahu pula mendengar adanya pembayar cukai menerima nasib yang sama gara-gara kemudahan yang disediakan ini.

Statistik Jabatan Insolvensi 2007 hingga 2013 menunjukkan 4,874 kes muflis adalah disebabkan hutang kredit. Selain itu, statistik juga menunjukkan 70 peratus mereka yang mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah bagi kaunseling menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Jika dilihat, memang mudah untuk membayar cukai secara dalam talian menggunakan kad kredit, tetapi seseorang itu harus mengelakkan diri daripada membayar cukai dengan berhutang atau pun mengambil kesempatan menggunakan kemudahan yang disediakan LHDN itu untuk membayar secara ansuran.

Kita tidak mahu kaedah ini nanti akan menjadikan seseorang itu seperti apa yang dikatakan, tutup lubang, gali lubang.