Wednesday, October 30, 2013

Tipu LHDN Kena Denda RM10,000

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap bekas Pengarah Operasi Tabung Kebajikan dan Pendidikan E-Pendidikan Genius, kerana menipu untuk mendapatkan pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), enam tahun lalu.

Hakim Nasir Mohd Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hishamsol Othman, 43, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Ng Suat Hon, seorang daripada pemilik syarikat Zamrud Enterprise dengan memperdayakannya untuk mempercayai dia menyumbang RM200,000 dalam tabung berkenaan dan boleh mendapat pengecualian cukai LHDN, sedangkan tertuduh mengetahui Zamrud Enterprise tidak layak ditawarkan pengecualian cukai berdasarkan Warta Kerajaan bertarikh 25 Oktober 2007.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tabung Kebajikan dan Pendidikan E-Genius, Suite 17.2, Tingkat 17, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail di sini, jam 2 petang, 30 November 2007.

Monday, October 28, 2013

MAKLUMAN KEMPEN PERINGATAN CUKAI TERTUNGGAK MELALUI TELEFON



Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa, mulai 7 Oktober 2013 satu kempen peringatan cukai tertunggak akan dilaksanakan di seluruh negara.

Kempen ini akan berlangsung setiap hari kecuali pada hari Sabtu. Waktu operasi kempen adalah seperti berikut:  

Hari
Waktu
Isnin - Jumaat
9.00 pagi – 7.00 malam
Ahad
9.00 pagi – 6.00 petang

 Kempen ini merupakan satu langkah proaktif LHDNM dalam memberikan peringatan kepada pembayar cukai yang masih mempunyai baki cukai tertunggak agar segera menjelaskan tunggakan tersebut.  

Pembayar cukai juga akan diberikan khidmat nasihat yang sewajarnya berkenaan dengan permohonan bayaran cukai secara ansuran sekiranya mereka menghadapi kesulitan untuk menjelaskan tunggakan cukai tersebut sekaligus. Justeru, LHDNM berharap agar pembayar cukai yang dihubungi dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada pegawai yang menghubungi mereka.

Sebagai langkah keselamatan dan untuk mengelakkan penipuan daripada panggilan palsu, pembayar cukai yang dihubungi boleh membuat pengesahan amaun baki cukai tertunggak mereka dengan LHDNM terlebih dahulu sebelum membuat bayaran. Bayaran cukai tertunggak tersebut pula hendaklah dibuat terus ke akaun LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA. Pembayar cukai adalah dilarang untuk membuat bayaran atas nama orang perseorangan atau penerima selain daripada LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA.

Sebagai kemudahan dalam membuat bayaran, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan e-Bayaran LHDNM melalui aplikasi ezHasil di Portal Rasmi LHDNM www.hasil.gov.my.

 Sekian, harap maklum.